RW Racing GP baru saja mengumumkan penyertaan pelumba dari Malaysia, Hafizh Syahrin untuk saingan Moto2 dalam Kejuaraan Dunia MotoGP 2021, dan beliau akan berlumba bersama pelumba dari Belgium, Barry Baltu.
Berbanding pasukan dalam kelas premier MotoGP yang lebih popular, mungkin ramai kurang tahu tentang pasukan lumba Moto2. Selepas Aspar Team, kini giliran RW Racing GP menjadi fokus peminat permotoran di Malaysia selepas Hafizh direkrut masuk ke pasukan itu.
Menariknya, jumlah pengikut laman Facebook RW Racing GP naik mendadak, termasuk respon pembaca pada status terbaharu dan lama, sebaik saja Hafizh diumumkan sebagai pelumba baharu pasukan itu. Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana rakyat Malaysia memang sentiasa juara di media sosial. Terbaik!
Tentu anda ingin tahu sedikit sebanyak tentang pasukan RW Racing GP ini. Adakah ini pasukan baharu? Siapakah pemiliknya? Teruskan membaca....
BACA >>> NTS RW Racing GP Tagih Khidmat Hafizh Syahrin dalam Moto2 Musim Depan!
DIMILIKI AHLI PERNIAGAAN BELANDA
Pasukan RW Racing GP dimiliki usahawan dari Belanda, Roelof Waninge (berdiri di tengah). Dalam kancah MotoGP, pasukan ini kini berentap dalam kelas Moto2 di bawah nama NTS RW Racing GP.
Tetapi siapakah Roelof Waninge?
Waninge, 73, ialah pewaris perniagaan keluarga Sent Waninge dan memiliki ruang VIP di litar TT, Assen, Belanda. Sejak remaja beliau sudah terlibat dalam sukan pemotoran sebagai staf teknikal rasmi di Royal Dutch Motorsports Union.
Pada 1993, beliau menaja pelumba muda, Jarno Janssen (foto atas) yang kini menjadi pengurus pasukan RW Racing. Segala bermula pada 2011 apabila pasukan lumba Arie Molenaar berdepan masalah kewangan dan Waninge mengambil alih pasukan tersebut, sekali gus menjadi titik permulaan penubuhan RW Racing GP.
Perkataan RW ialah singkatan kepada namanya, Roelof Waninge. Beliau berkata;
Kalau aku tak bertindak, tak ada lagi pasukan Belanda yang tinggal dalam kejuaraan dunia dan mungkin juga takkan ada lagi. Aku buat untuk sukan pemotoran Belanda, aku mahu menyelamatkan pasukan Belanda dengan niat beri peluang kepada bakat Belanda.
"Aku mahu ada orang terbaik dalam pasukan dan boleh dikatakan kami berjaya sekarang. RW Racing GP sekarang pasukan berpengalaman dan pasukan disegani serta kompetitif dalam lapangan antarabangsa."
UMUM SERTAI MOTO2
RW Racing GP mengumumkan penyertaan untuk kelas Moto2 pada 2017 menerusi pelumba Sepanyol, Axel Pons (foto atas) dengan jentera Kalex, sekali gus merealisasikan penyertaan pasukan tersebut dalam kelas kedua MotoGP itu yang sekian lama diimpikan.
Awal kemunculan 2011, RW Racing GP bersaing menerusi pasukan 125cc sedia ada yang diambil alih daripada pasukan Molenaar menerusi jentera Aprilia dengan pelumba Sepanyol, Luis Salom (foto atas). Pada tahun sama juga, pasukan itu memenangi dua podium (GP Belanda dan GP Australia) dan tempat kelapan dalam klasifikasi akhir kejuaraan dunia 125cc.
Salom memberi kejayaan debut RW Racing GP. Pada 2012, pasukan beralih kepada jentera Kalex-KTM apabila berlaku perubahan regulasi dari 125cc ke Moto3 dengan spesifikasi enjin 4-lejang, dan khidmat Salom masih ditagihkan bersama pelumba Afrika Selatan, Brad Binder (foto atas, paling kiri).
Binder mendapat tempat ke-4 di Valencia dan itu persembahan terbaiknya tahun tersebut. Salom pula menang besar dengan meraih lapan podium, termasuk di Indianapolis dan Aragon (tempat kedua). Pada 2015, berlaku perubahan besar pada pasukan apabila menggunakan jentera Honda dan cuma mempertaruhkan pelumba tunggal, Livio Loi.
Loi (foto atas) menang tahun itu di Indianapolis dan meneruskan kontrak bersama RW Racing GP pada 2016 dengan mencatatkan keputusan cemerlang, iaitu podium di Qatar, tetapi juga tidak terlepas daripada beberapa episod mengecewakan.
Seperti niat asal Waninge yang mahu memberi peluang kepada bakat tempatan, RW Racing GP mengambil Jasper Iwema dan Scott Deroue yang masing-masing berusia 18 tahun untuk bersaing dalam Moto3 selama tiga musim dalam Red Bull MotoGP Rookies Cup.
JENTERA NTS
Pada 2018, RW Racing GP memulakan era baharu apabila menjalinkan kerjasama dengan pengeluar dari Jepun, NTS. Pengeluar itu mengkhususkan dalam pembangunan prototaip dan ketepatan kerja untuk industri aeroangkasa, perubatan dan maritim serta sukan permotoran. Setahun kemudian, pasukan itu mengumumkan jentera NTS dengan enjin Triumph baharu.
Jentera yang bakal ditunggang Hafizh itu menggunakan enjin 4-lejang 3-silinder sebaris 765cc berkuasa 138hp dengan berat 217kg (termasuk pelumba). Terdahulu pasukan tersebut pernah menggunakan jentera Aprilia, Kalex-KTM dan Honda ketika berlumba dalam Moto3 (125cc).
Adakah RW Racing GP mampu melakukan sesuatu dengan jentera NTS menerusi Hafizh?
BACA >>> Triumph Dedah Kuasa Kuda Dihasilkan Enjin Jentera Lumba Moto2 - 138hp!
Leave a Reply