DUCATI Streetfighter V4 dan Streetfighter V4 S baru saja dilancarkan di Malaysia pada 21 Oktober lalu pada harga masing-masing RM115,900 dan RM145,900.
Di Britain pula, pengeluar motosikal Itali itu memperkenalkan Streetfighter V4 S (2021) dalam warna serba hitam dengan nama 'Dark Stealth' baharu sebagai alternatif kepada warna ikonik Ducati Red.
BACA >>> Ducati Streetfighter V4 Sudah Ada di Malaysia! Harga Bermula RM115k!
Model Streetfighter ialah hasil daripada Fight Formula, iaitu versi Panigale V4 yang ditanggalkan fairing dengan bar hendal lebar dan tinggi. Warna hitam kusam Dark Stealth tampak garang untuk Streetfighter dan pastinya menjadi sesuatu yang berbeza dalam lautan warna merah model-model Ducati.
Streetfighter dijana enjin 1100cc Desmosedici Stradale dengan winglet biplane untuk fungsi aerodinamik dan turut dilengkapi sistem elektronik untuk membantu tunggangan dan pengendalian.
Ducati memperbaharui Streetfighter V4 (2021) dengan menghasilkan trenkuasa patuh regulasi Euro5 yang mengekalkan kuasa dan tork maksimum, tetapi memiliki halaju berbeza.
BACA >>> Inilah 5 Sebab Ducati Scrambler Icon Dark Sesuai untuk Anda
Streetfighter V4 edisi Euro5 mempunyai output kuasa 208hp @ 13,000rpm, iaitu 250rpm lebih tinggi daripada model Euro4. Tork pula 123Nm @ 9,500 rpm atau 2,000 rpm lebih rendah daripada model Euro4. Angka tersebut dicapai daripada kalibrasi dan ekzos baharu yang menjadikan model itu lebih seronok ditunggang melewati jalan-jalan berliku.
Ducati melakukan pelbagai pengubahsuaian pada sistem ekzos dan kalibrasi enjin dalam usaha mematuhi piawaian baharu Eropah untuk alam sekitar. Silenser ekzos masih sama dari segi rupa, tetapi dipasangkan pemangkin (catalysts) lebih besar, iaitu penambahan 10mm panjang.
Selain itu, manifold belakang ekzos (rear bank) dipendekkan 100mm dengan diameter dikurangkan daripada 42mm kepada 38mm. Komponen baharu itu membolehkan penggunaan pelindung haba (heat shield) belakang yang lebih kompak dan dipasangkan pada badan motosikal.
Ducati turut memasang brek depan dan pam klac baharu jenis penjujuhan sendiri (self-bleeding) yang sebelum ini digunakan pada Superleggera V4.
Tempahan Ducati Streetfighter V4 dan V4 S (2021) untuk pasaran Britain ini sudah dibuka dengan model Dark Stealth ini boleh didapati sebelum penghujung tahun ini pada harga £20,295 (RM110,070).
BACA >>> Ducati Superleggera V4 Siri #001 daripada 500 Unit Edisi Terhad Sudah Siap!
Leave a Reply