ADA dua jenis asbak (ashtray) kereta iaitu berupa laci buka-tutup siap dipasang (terletak di bawah panel audio atau belakang perehat lengan (armrest) di konsol tengah), dan asbak mudah alih berupa bekas yang boleh dimuatkan dalam pemegang cawan (cup holder) - rujuk foto bawah.
Tetapi, jarang sekali perokok menggunakan asbak kereta mereka. Sebaliknya lebih gemar mengetis abu rokok ke luar tingkap. Agaknya mungkin posisi pemanduan sebelah kanan (right hand drive) yang membuatkan perokok kekok kerana mereka biasanya mengepit rokok di tangan kanan, tetapi asbak pula di sebelah kiri. Ataupun kerana tidak mahu mengotorkan dalaman kereta.
Mungkin juga sekadar alasan saja kerana perokok Malaysia sebenarnya memang tidak pernah peduli tentang fungsi asbak. Tak percaya? Tengoklah perokok di kedai makan, rata-rata mereka mengetis abu rokok di bawah meja walaupun asbak ada di atas meja!
BACA >>> Ok atau Tak Cuci Kereta Guna 'Chemical'? Ketahui 3 Tip Mudah Tanggalkan Kotoran Degil
Jika perokok pun mengabaikan fungsi sebenar asbak, apatah lagi pemandu bukan perokok yang sesetengahnya tidak mempedulikan langsung kewujudan bekas tersebut. Namun, kebanyakan pemandu menukar fungsi asbak kereta mereka kepada fungsi lain seperti di bawah. Apapun, jika merokok, anda sepatutnya mengetis abu ke dalam asbak kereta OK.
1. TABUNG DUIT
Syiling paling kerap diisi dalam asbak. Ini mungkin disebabkan ruang atau slot sedia ada tidak cukup dan dirasakan kurang selamat kerana dibiarkan terdedah. Syiling paling banyak dikumpul jika anda pengguna tegar lorong tol tunai. Namun, jumlah tabungan syiling mungkin susah hendak dikurangkan kerana kebanyakan lorong tol masa kini sudah mula melaksanakan akses tanpa tunai seperti Touch n Go dan Smart Tag.
Tetapi selain duit tol tunai (yang sudah tiada), syiling yang disimpan dalam asbak boleh digunakan sebagai duit parkir, derma, belanja sekolah anak atau 'duit pecah' untuk beli barang kecil seperti aiskrim, air tin, atau gula-gula.
2. BEKAS SAMPAH
Sesuai untuk buang sampah kecil seperti tisu, pembalut coklat dan gula-gula, resit tol dan parkir, atau tag harga. Jangan lupa, abu rokok juga dikategori sebagai sampah. Malangnya, jarang sekali digunakan.
3. CAWAN MINUM
Ya, asbak kereta boleh dijadikan cawan minuman dan idea ini paling jarang dibuat orang. Ini mungkin disebabkan faktor kebersihan, tetapi boleh saja dibersihkan bukan? Istimewa tentang asbak kereta sebagai cawan ini ialah penebat aluminium siap ada yang boleh berfungsi seakan termos, sekali gus membuatkan suhu minuman anda dapat bertahan lebih lama sama ada sejuk atau panas. Pernah try tak?
4. BEKAS GULA-GULA
Mengantuk ketika kesesakan jalan raya? Anak-anak meragam? Jangan lupa sentiasa penuhkan asbak kereta anda dengan gula-gula. Malah, gula-gula juga memainkan peranan penting untuk hilangkan mulut berbau, terutama selepas makan atau merokok. Jadi, siap sedialah dengan gula-gula 'angin' seperti Hacks atau Mentos.
5. PEMEGANG TELEFON BIMBIT
Banyak kereta moden dan mahal menyediakan slot khas untuk letak telefon bimbit, tetapi tidak bagi model lama. Kebiasaannya, pemandu atau penumpang meletakkan telefon bimbit mereka, terutama ketika mengecas ke dalam pemegang cawan, kompartmen konsol tengah yang sempit atau slot khas di bawah panel audio.
Jadi, inilah masanya tukarkan asbak kereta anda sebagai tempat letak telefon bimbit. Boleh juga mengisi pengecaj mudah alih atau power bank. Bagaimanapun, ia terhad kepada telefon bimbit bersaiz tertentu saja yang muat dimasukkan. Kalau besar sangat memang tak muat!
6. KOTAK TISU
Situasi orang minta derma dan anda diberikan tisu pek kecil mungkin ada di Malaysia sahaja. Tisu tersebut mungkin dicampak begitu saja dalam glovebox atau diselitkan di belakang poket belakang kerusi. Apa kata selepas ini, isikan tisu tersebut ke dalam asbak kereta? Sekarang, kereta anda sudah ada tisu yang siap sedia digunakan bila-bila masa.
BACA >>> #RetroAuto: Asal-Usul 'Glove Box' yang Ramai Pemandu Malaysia Tidak Tahu
7. 'CARD HOLDER' JADIAN
Bagi anda yang ada ramai kenalan, asbak kereta paling sesuai dijadikan 'card holder' untuk menyimpan kad nama dan bisnes. Tidak perlu lagi simpan di rumah atau beli dompet khas. Tidak perlu juga risau tertinggal maklumat individu penting di rumah.
8. BEG MUNTAH
Ada penumpang mabuk perjalanan dan tekak rasa loya mahu muntah? Kalau sudah buntu kerana tiada beg plastik untuk menadah muntah, terus saja ambil asbak kereta dan biarkan mereka membuang segala isi perut ke dalam bekas itu. Tetapi pastikan kapasiti muntahan tidak melebihi had dibenarkan. 😛
BACA >>> #ApaNakBuat: Mana Satu Jenis Servis Kereta Saya Kena Buat? Minor atau Major?
Leave a Reply