ADAKAH anda masih ingat, penghujung tahun lalu, Boon Siew Honda (BSH) ada mengumumkan pelan perancangan 2020. Antara pelan utama adalah memperkenalkan 13 model, terdiri daripada pelbagai produk dua roda baharu dan dinaik taraf.
Setakat ini BSH sudah melancarkan beberapa produk seperti EX5, Vario, RS150R, CBR1000RR-R Fireblade SP, GL1800 Gold Wing dan CRF1100L Africa Twin. Ini termasuk CBR250RR yang akan menjengah penghujung tahun ini.
BACA >>> Boon Siew Honda Kuasai 30 Peratus Pasaran 2018, Bakal Perkenal 13 Model Baharu
Setakat ini, BSH sudah melancarkan enam produk (tidak termasuk CBR250RR) dan ada tujuh lagi model belum diperkenalkan. Masih ada masa empat bulan untuk pembeli menerima produk baharu atau dinaik taraf. Mungkin banyak rombakan perlu dibuat berikutan krisis Covid-19 yang menjejaskan pasaran automotif dunia.
Jadi ada kemungkinan beberapa produk 2020 tidak dapat dilancarkan tahun ini. Kalau anda masih ingat mengenai artikel Honda ADV tahun lalu, BSH ketika itu sedang berbincang dengan Honda Japan untuk membawa masuk skuter advencer tersebut.
BACA >>> Skuter Advencer 150cc Pertama Dunia, Honda ADV 150 Debut di GIIAS 2019
Jika mengambil kira tempoh dan masa yang ada, ADV 150 sepatutnya sudah memasuki pasaran Malaysia tahun ini. Sebaliknya gagal direalisasikan atas sebab tidak dapat dielakkan. Menurut sumber dalaman BSH, model itu akan dilancarkan tahun depan sebagai produk 2021.
Bagaimanapun, sumber BSH enggan dikenali itu memaklumkan tidak diketahui sama ada ADV 150 akan dilancarkan awal atau pertengahan tahun. Apa yang dapat disahkan ialah model memang akan dilancarkan di pasaran tempatan tahun depan.
Kelewatan yang berlaku mungkin disebabkan situasi Covid-19 yang memaksa banyak pengeluar merancang semula pelan perniagaan masing-masing. Jadi, kepada anda yang sudah lama menanti ketibaan ADV 150, harap banyak sabar sampai tahun depan. Bolehlah menabung lagi...
BACA >>> #BikinMotor: Honda ADV 150 Advance Explorer - Modifikasi Touring untuk Kembara Lasak
Leave a Reply