BMW Motorrad sebenarnya banyak menghabiskan masa untuk menarik perhatian peminat motosikal dunia dengan berkongsi pelbagai foto acah cruiser R18.
Rasanya tidak kurang 18 bulan digunakan untuk mempromosi R18 sama ada secara langsung daripada BMW atau tidak disengajakan seperti perkongsian beberapa foto acah, dan foto bocor yang tular di Internet, pengumuman enjin big boxer 1.8L, pendedahan model kustom dengan enjin 1.8L ke pameran motosikal dan pembukaan pratempahan R18.
BACA >>> Tempahan BMW R18 Dibuka dengan Bayaran Bulanan RM2.5k Sahaja
Malangnya, kegemilangan debut model cruiser ini tidak dapat dibuat secara langsung dan terpaksa ditukar kepada pelancaran digital pada 3 April lalu. Ini kerana dunia sedang sibuk bergelut dengan krisis penularan Covid-19 dan model ini seakan hilang sebentar dari radar media dan perhatian orang ramai.
Terkini, BMW Motorrad cuba menjadikan semula R18 sebagai topik bualan ramai menerusi projek baharu. Caranya, melantik Roland Sands dari firma kustom Roland Sands Design (RSD) di California, Amerika Syarikat untuk membuat kejutan.
RSD dan BMW Motorrad sebenarnya memiliki sejarah kolaborasi yang mana RSD bertanggungjawab mencipta beberapa komponen aftermarket dalam katalog R18. Jangan terkejut kerana projek RSD ini diiktiraf sebagai model kustom rasmi pertama BMW R18, walhak ada banyak versi modifikasi dan kustom R18 lain yang pernah muncul.
Sands, yang sukakan gaya pantas seperti muscle car Amerika, memilih mengubah bentuk asal R18 kepada gaya dragster hardtail yang dijenamakannya sebagai BMW R18 Dragster. Ya, mengubah suai R18 sebagai jentera drag bukan 'perkara normal' jika melihat pada output asal model itu, cuma berkuasa 91hp dan tork 158Nm.
Sands dan pasukannya menanggalkan set suspensi belakang, termasuk subfrem dan mencipta komponen baharu sebagai pengganti. Pada masa sama memilih menggunakan aci pacu (drive shaft) buatan OEM. Peg kaki asal ditanggalkan dan posisi asal pemijak kaki dianjak untuk bersambung dekat tayar belakang. Begitu juga tuil brek kaki, pam minyak brek dan gear kustom.
Satu pengadang logam kecil ditambah sebelan kanan subfrem baharu untuk melindungi kaki penunggang daripada terkena sambungan aci pacu.
Transformasi bahagian depan menyaksikan penggunaan fork boleh laras yang dipinjam daripada R nineT. Set brek pula diambil daripada S1000RR, manakala rim sama seperti dalam katalog R18 buatan RSD.
Bar hendal ditukar kepada jenis clip-on dan direndahkan posisi. Tambahan komponen lain ialah spidometer BMW/RSD, lampu depan, penutup pam silinder utama dan penutup tangki minyak. RSD juga mengekalkan sebahagian besar gaya asli R18 standard dan cuma memotong kedua-dua fender supaya lebih tirus. Pelana buatan Saddlemen dipilih sebagai tempat duduk baharu.
Permukaan tangki minyak ditampal pad kulit untuk memberi sedikit perlindungan pada dada penunggang ketika membongkok apabila memecut. Bahagian bawah enjin ada belly pan dibuat daripada aluminium. Komponen tiga bahagian bertujuan meningkatkan faktor aerodinamik R1B Dragster dan menyimpan sebahagian besar pendawaian motosikal ini.
Di bawah pelana, ada tong krom dan ini ialah sistem nitrus basah keluaran Nitrous Express. Bahan pemangkin kelajuan ini disambung terus dalam manifold ambilan kustom daripada keluli.
Manifold itu juga ada sambungan pam bahan api berasingan untuk saluran campuran nitrus dan tambahan petrol. Ini membolehkan R18 Dragster ditunggang menggunakan campuran nitrus atau petrol sahaja.
Pemetaan dalam unit kawalan enjin (ECU) masih standard dan tidak mendapat talaan pecutan. RSD turut memasang injap pembersihan Nitrous Express dan sensor posisi terotel elektronik (ETP), bertujuan memastikan campuran petrol-nitrus cuma masuk apabila terotel dibuka luas.
Satu sistem ekzos kembar kustom daripada keluli tahan karat disambung pada unit enjin untuk membantu menyalurkan sisa asap dengan lebih efisien. Setakat ini, tiada maklumat didedahkan mengenai output sebenar enjin R18 Dragster, berat motosikal atau berapa pantas ia boleh memecut.
BACA >>> Toyota Land Cruiser Prado (2021) dengan Turbo Lebih Kuasa, Gaya Dipertingkat
GALERI
SUMBER: Asphalt and Rubber | BikeExif
Leave a Reply