INI antara model menarik yang dibuka untuk bidaan, Mercedes-Benz 190SL Roadster (1955) dan walaupun sudah berusia lebih enam dekad, model ini masih kelihatan anggun. Inilah contoh rekabentuk yang dikatakan malar segar atau tak lapuk dek masa.
Bidaan model ikonik ini ditawarkan platform atas talian dan aplikasi jual beli kenderaan klasik di Britain, The Market yang mendakwa hanya empat unit dipercayai wujud di negara itu. Model yang hendak dibida ini dihasilkan pada tahun pertama daripada sembilan tahun pengeluaran.
BACA >>> 6 Fakta Pantas: Mercedes-Benz C 200 AMG Line di Malaysia, Ansuran RM2.9k Sahaja
Unit bernombor 729 ini adalah satu daripada keseluruhan 26,000 unit dikeluarkan Mercedes-Benz dan kini sudah mencapai status langka. Tempoh masa dua tahun diambil untuk melakukan restorasi dan baik pulih penuh. Nilai bidaan unit pemanduan sebelah kiri ini adalahantara £165,000 (RM891,520) hingga £200,000 (RM1.08 juta) dan ditawarkan atas talian bermula 23 Julai-29 Julai ini.
190SL Roadster mengambil gaya 300SL Gullwing yang juga model ikonik. Model ini adalah kereta 2-pintu grand-tourer mewah yang digerakkan enjin 1.9L berkuasa 104hp dan kelajuan maksimum 175kmj.
Tidak semua unit dikeluarkan sama. Model awal keluaran 1955 mempunyai papan pemuka dua bahagian, kerusi Gullwing, gerbang roda depan dan belakang tanpa krom, tiada jam, lampu belakang lebih kecil, penutup lampu signal depan warna jernih berbanding kuning-oren (amber) dan lampu nombor pendaftaran.
Kerja baik pulih unit ini dilakukan pasukan pakar Mercedes-Benz, Redcastle Classics dan disiapkan pada September 2012. Antara komponen ditukar ialah bumbung retrak hitam dan badan dicat semula.
BACA >>> #RetroAuto: Mazda Miata - Roadster Popular Unik Lebih Tiga Dekad
Selain itu rel kerusi (seat runners) dipanjangkan mengikut kesesuaian tinggi pemandu 6 kaki 6 inci, sistem audio dengan set Kenwood Bluetooth di belakang radio asal Becker Europa, pembesar suara di kaki, amplifier dan subwufer bawah kerusi.
Unit ini berada dalam keadaan baik hingga layak untuk acara Mille Miglia (perlumbaan tahan lasak 1,000km) yang membolehkan pemiliknya menyertai satu daripada perlumbaan paling eksklusif dunia.
Ini antara contoh pelaburan kereta sebagai aset dengan peningkatan harga tinggi. Faktor tempoh lama sebelum harga meningkat tinggi juga perlu dikira. Namun, anda sebenarnya tidak hanya membeli kereta, tetapi satu daripada sejarah automotif.
BACA >>> Inilah Harga Dibayar untuk Miliki Mercedes-Benz 500E (W124) 'Mr Bean'
Leave a Reply