RAMAI pemandu kurang mengambil berat tentang wiper. Namun jangan ambil mudah kerana alat pengelap cermin itu adalah komponen paling penting apabila memandu ketika hujan.
Berdasarkan survei Bosch Automotive Aftermarket Malaysia (Bosch AA), bilangan pemandu Malaysia yang menganggap wiper sebagai salah satu komponen kereta paling penting meningkat kepada 94 peratus tahun ini berbanding 70 peratus pada 2018.
BACA >>> #TahukahAnda: Bolehkah Guna Sabun Cuci Pinggan untuk Air Wiper?
Berikut 5 tip mudah memilih dan menjaga wiper supaya dapat bertahan lama dan berfungsi baik:
1. PILIH JENAMA DIPERCAYAI
Pilihlah jenama dipercayai yang melakukan ujian kualiti, ketahanan dan jangka hayat wiper. Jenama dipercayai biasanya melakukan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan wiper yang mampu bertahan dengan kondisi cuaca berbeza dan memberikan prestasi terbaik dalam jangka masa lama.
2. CECAIR ANTI-HUJAN BUKAN PENGGANTI WIPER
Salah faham umum, jika cermin depan disapu cecair atau lilin anti-hujan bermakna tidak perlu lagi menukar wiper kerana jarang digunbakan. Faktanya, lapisan anti-hujan ini boleh menyebabkan lebih banyak bahaya kerana menyumbang kepada permukaan wiper tidak rata, termasuk mempengaruhi kualiti dan jangka hayat wiper, serta menimbulkan kesan kabus.
Kesan kabus pada kaca depan dengan bahan anti-hujan memerlukan masa lebih lama untuk hilang selepas setiap kitaran mengelap, dan juga boleh berisiko menyukarkan pandangan ketika memandu malam. Sebagai perbandingan, cermin depan tanpa sapuan cecair anti-hujan boleh menyingkirkan sebarang bendasing atau kotoran hanya dengan sekali pusingan wiper.
Melabur dalam set wiper berjenama baik dan dipercayai adalah lebih baik daripada menghabiskan wang untuk mendapatkan produk tambahan seperti cecair anti-hujan.
BACA >>> #TahukahAnda: Bolehkah Guna Sabun Cuci Pinggan untuk Air Wiper?
3. PASTIKAN CERMIN DEPAN BERSIH
Wiper adalah komponen murah dan mudah ditukar sendiri berbanding komponen kereta lain. Cuaca, bendasing seperti debu dan habuk boleh mempengaruhi prestasi dan jangka hayat wiper. Jadi anda perlu mempunyai tabiat yang baik seperti menjaga kebersihan cermin depan, dan melakukan pemeriksaana berkala sebelum dan selepas memandu dalam hujan. Ini dapat membantu memanjangkan jangka hayat dan menjaga prestasi bilasan wiper.
Ada menanggap wiper perlu ditegakkan pada hari panas supaya tidak rosak dek bahang. Betul, tetapi tidaklah memberikan kesan signifikan. Malah tabiat itu boleh merosakkan spring lengan wiper, sekali gus menjejaslan proses mengelap dan memerlukan kos baik pulih lebih mahal.
4. PERIKSA WIPER 6 BULAN SEKALI
Tip asas penjagaan, terutama kepada pemandu baharu, jadikan tabiat memeriksa wiper setiap enam bulan sekali. Perhatikan sama ada wiper anda sudah keras, lusuh atau koyak yang memerlukan ia ditukar baharu. Ingat, penyenggaraan asas dan penjagaan kenderaan akan memberikan ketenangan ketika memandu.
BACA >>> #ApaNakBuat: Periksa 6 Bahagian Kereta Ini 3 Bulan Sekali
5. TUKAR WIPER JIKA ADA SIMPTOM INI...
Seperti seperti komponen lain, wiper juga akhirnya akan haus disebabkan rutin penggunaan, pengaruh sekeliling, kesan kotoran, dan bendasing seperti daun dan serangga yang melekap pada kaca depan. Serangga mati, atau tahi burung yang atas cermin juga mampu mempercepat kehausan wiper.
Perhatikan garis air, tompok dan kawasan yang tidak dapat dilap rata. Jika ada, itu tandanya wiper anda perlu ditukar baharu.
Disebabkan sekarang musim hujan, pastikan wiper diperiksa dan diganti baharu jika perlu. Menjaga wiper dengan baik akan menjadikan pemanduan anda selamat, selesa dan lancar.
BACA >>> #TahukahAnda: Masalah Flat Spot Kenapa Tayar Boleh Kempis Kalau Diparkir Lama?
BACA >>> #ApaNakBuat: Macam Mana Nak Bikin Motor Bagi Power dan Tahan Lasak?
Leave a Reply