HIDEO 'Pop' Yoshimura. Nama keluarga ini begitu sinonim dengan ekzos motosikal. Namun adakah anda kenal Pop Yoshimura sebagai individu yang menjadi tulang belakang kepada jenama ekzos buatan Jepun itu?
Mungkin ramai tidak kenal beliau, tetapi jenama Yoshimura itu sendiri sudah cukup dikenali serata dunia, terutama kalangan peminat motosikal.
BACA >>> #RetroAuto: Sejarah Asal Usul Logo Yamaha yang Perlu Anda Tahu
Seperti mana syarikat terkenal lain, perjalanan syarikat Yoshimura juga tidak terlepas dengan pengorbanan, susah payah dan jerih perih yang tidak dapat dilihat orang luar. Inilah dilalui Pop Yoshimura (1922-1995) yang bermula sebagai seorang pemuda yang boleh berbahasa Inggeris dan terlibat dalam ketenteraan.
Dilahirkan pada Oktober 1922, Pop dilatih menjadi mekanik pesawat ketika dibawa masuk ke dalam kem tentera Jepun pada Perang Dunia Kedua (WWII). Selepas perang tamat, beliau bekerja sebagai tuner motosikal tentera Amerika Syarikat (AS) yang berpangkalan di negaranya.
Pada 1954, beliau mula membangunkan produk sendiri. Ketika itu semua orang ada misi 'American Dream'. Bagaimanapun, untuk menembusi pasaran AS adalah perjalanan panjang yang penuh air mata buat Pop dan produknya, Yoshimura.
AKTIF SERTAI PERLUMBAAN, CIPTA REKOD
Ditubuhkan di Simi Valley dekat Los Angeles pada akhir 1972, 'Yoshimura RACING' menyertai banyak perlumbaan sebagai sebahagian strategi pemasaran. Antara siri perlumbaan dunia disertai adalah:
- Cabaran kelajuan di Daytona pada Mac 1973 (merekodkan beberapa catatan terpantas dunia dengan Kawasaki Z1).
- Kemenangan kelas pengeluaran Isle of Man TT pada Jun.
- Cabaran dunia Bonneville Speed Week pada Ogos (7 set rekod pecutan terpantas dunia baharu).
- Hadiah peringkat tinggi pada perlumbaan 24 jam Bol d'Or pada September (motosikal dilengkapi enjin Yoshimura Z1) dan merekodkan keputusan terbaik.
Sesuai harapan Pop dan Fujio (anak lelakinya), nama Yoshimura semakin kukuh dan terkenal bukan saja di AS, tetapi juga seluruh dunia. Sayangnya, itu hanya pandangan mata luar, tetapi realiti sebenar tidak seindah dilihat. Pemilik bersama AS, Dale Alexander dan Star Thompson melihat situasi itu sebagai membazirkan masa dengan segala usaha dicurahkan.
Walaupun komponen tuner seperti mufler, aci (cam) dan piston yang dihasilkan di Akigawa, Jepun (Yoshimura Competition Motors) dieksport ke AS, tetapi tiada bayaran diterima daripada Alexander. Anak perempuan Pop, Nankai yang menjaga akaun syarikat berang dengan situasi berkenaan.
Sebagai penjaga akaun, segala urusan aliran tunai perlu diaudit dengan betul. Syarikat Yoshimura bukan saja melakukan pemasangan komponen, tetapi turut menjual produk, termasuk menimbangkan aspek material dan kos vendor. Nankai juga perlu menguruskan segala pembayaran dan Pop sendiri tahu situasi tersebut.
"Ya.. Yoshimura Racing ialah syarikat aku, dan jika aku sendiri ke sana keadaan akan jadi lebih baik," kata Pop.
Namun, pihak Alexander menjelaskan akan melunaskan baki bayaran jika Pop ke AS. Kemelut hutang itu diburukkan lagi dengan persepsi Nankai dan suaminya, Mamoru Moriwaki yang begitu skeptikal ke atas orang AS.
BACA >>> Aston Martin Bulldog - Konsep Supercar Terpantas 70-an Akan Dibaik Pulih
HALAU NANKAI, MORIWAKI ENGINEERING DITUBUHKAN
Disebabkan curiga dan berang dengan sikap acuh tidak acuh, Nankai dan Pop saling bertegang urat mengenai bayaran yang belum dilunaskan Alexander sebagai wakil jualan AS. Akhirnya Pop naik angin dan bertindak menghalau Nankai hingga anak perempuannya itu keluar meninggalkan Akikawa beberapa hari kemudian dan tinggal di Kobe sementara waktu.
Kemudian, suaminya, Moriwaki mendapat pekerjaan dalam bidang pembinaan. Bagaimanapun, disebabkan minat mendalam dalam bidang talaan motosikal, lalu berpindak ke Suzuka dalam prefektur Mie. Atas inisiatif Nankai, pasangan itu menubuhkan 'Moriwaki Engineering' pada 30 September 1973.
Benarlah kata peribahasa, air dicincang tidak akan putus. Walaupun diusir keluar, Nankai masih memikirkan tentang Pop. Sekiranya berlaku sesuatu terhadap bapanya, Nankai perlu beri sokongan. Siapa sangka dalam tempoh tersebut, banyak insiden menimpa Pop yang sudah nekad mahu melupuskan tapak kilang Akikawa sebagai fasiliti pemasangan produk Yoshimura.
Pop memutuskan mahu menjual tapak kilang itu ada Januari 1974 dan kilang tersebut dilupuskan pada Mac tahun sama. Akhirnya, Pop merancang berpindah ke AS. Ketika Nankai datang melawat dari Suzuka untuk mengambil kelengkapan dan mesin kilang, kondisi Pop tidak begitu baik.
Rupanya, beliau sudah lama mengalami masalah tekanan darah tinggi dan tekak berdarah. Mujurlah pendarahan itu tidak berlaku di otak dan Pop pulih selepas sebulan dirawat di hospital. Sebelum berpindah ke AS, Pop meminta Nankai kembali ke kilang Akikawa, tetapi permintaan itu ditolak anaknya itu kerana beliau baru saja menubuhkan syarikat baharu di Suzuka.
Akur dengan keputusan anak perempuannya itu, Pop terbang ke AS bersama isterinya Naoe dan beberapa mekanik pada Mei 1975. Serentak itu, Yoshimura Motors di Zankuma-Kanunosu dalam prefektur Fukuoka dan di Fussa, Akigawa, Tokyo, akhirnya lenyap.
Pop menghentikan sepenuhnya segala perlumbaan di Jepun dan memutuskan bertanding di Yoshimura RACING, AS!
BACA >>> #Videotomotif: Kawasaki Perdengar Deruman Ekzos Yoshimura Ninja ZX-25R yang Padu!
BACA >>> #TahukahAnda: Apakah Penukar Bermangkin (Catalytic Converter) Pada Sistem Ekzos?
Leave a Reply