KERAJAAN Selangor memperuntukkan RM2 juta untuk program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) untuk membantu golongan belia, terutama kelompok miskin bandar meningkatkan ekonomi diri dengan menjadi penunggang e-hailing terlatih.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program di bawah Majlis Sukan Negeri itu mensasarkan manfaat kepada hampir 3,000 belia berumur 17 hingga 30 tahun untuk mendapatkan lesen motosikal kategori B2 dengan menyediakan subsidi RM350 setiap individu.
BACA >>> #SembangDeras: Boleh Jadi Macam Tokyo, Kenapa Pilih Gojek untuk Jadi Jakarta?
Beliau berkata dalam majlis pelancarana RiDE di Shah Alam, semalam;
“Sektor e-hailing dilihat menjadi trend khususnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini dan ramai anak muda menyertainya.
“Disebabkan itu, Kerajaan Negeri menyantuni golongan muda khususnya yang ‘terperangkap’ dengan miskin bandar memanfaatkan program ini sebagai batu loncatan supaya mereka dapat keluar daripada cengkaman kemiskinan."
Amirudin berkata, selain menawarkan lesen motosikal, program RiDE juga menyediakan latihan supaya peserta dapat menjadi penunggang e-hailing terlatih dan memenuhi kriteria dikehendaki syarikat pengendali terlibat.
Katanya, permohonan menyertai program RiDE akan dibuka bermula 1 Ogos ini. Inisiatif itu dijangka melahirkan penunggang e-hailing terlatih menjelang hujung tahun ini yang secara langsung membantu meningkatkan ekonomi golongan belia miskin bandar.
Golongan belia yang berminat menyertai program RiDE boleh layari laman web www.msnselangor.gov.my untuk maklumat mengenai syarat kelayakan.
BACA >>> #Videotomotif: Penunggang, Pembonceng GrabBike Berdekah Ketawa Kerana Wajah Sama
SUMBER: Bernama
Leave a Reply