DUNIA modifikasi motosikal memang penuh kreativiti. Honda Cub boleh dijadikan café racer dan Modenas Jaguh pula dibuat bobber. Kreativiti dan ketelitian pengubahsuaian mampu menjadikan sesebuah motosikal itu sesempurna seperti keluaran asal kilang.
Pengeluar juga sporting dengan menganjurkan sendiri pertandingan modifikasi melibatkan produk sendiri. Contohnya Ducati Scrambler yang kini memasuki edisi ketiga penganjuran 'Custom Rumble'.
BACA >>> Jack Miller Sah Jadi Pelumba Ducati Team untuk MotoGP 2021
Pemenang tahun ini jatuh kepada Scrambler 1100 FT yang mendapat sentuhan pengubahsuai Itali, Marco Graziani dari CC Racing Garage. Majlis anugerah dibuat secara strim video atas talian yang ditonton 16,000 audien.
Panel juri pula bukan calang-calang, ada aktor Nicholas Hoult, penunggang Ducati Corse, Chaz Davies, pelumba Ducati Team MotoGP, Andrea Dovizioso, pengasas Bike Shed Dutch Van Someren dan pengubahsuai Officine Rossopuro dari Itali, Filippo Barbacane.
Scrambler 1100 FT menerima sambutan hangat sejak peringkat kelayakan lagi dengan memperoleh undian tertinggi. Motosikal sentuhan Graziani itu bertanding dalam kategori Bully yang membolehkan pengubahsuai bebas membikin Scrambler Ducati tanpa halangan sama ada dari segi rekabentuk atau gaya.
Asal Scrambler 1100 FT adalah Scrambler 1100 Special dan kemudian diubah suai warna, grafik, ekzos dan pelana. Hasil kerja Graziani cukup menyerlah dan sempurna, terutama pada lekuk ekzos yang nampak seperti arca seni.
BACA >>> 12 Fakta Pantas: Ducati Scrambler 1100 Kini Lancar di Malaysia, Harga Bermula RM83k
Walaupun bebas berkarya, Graziani masih mengekalkan lampu utama, bahagian belakang dan tangki mirip kepada asal yang mengikut pendapat beliau adalah elemen utama bagi sebuah Ducati Scrambler. Sebagai pemenang, beliau menerima meja kerja Beta dan kit perkakasan lengkap.
Scrambler 1100 Special ditawarkan di pasaran tempatan pada 2018 pada harga sekitar RM85,000. Model terkini, iaitu Scrambler 1100 Pro dan Scrambler 1100 Sport Pro pula dilancarkan di Eropah pada awal tahun ini.
BACA >>> Ducati Perkenal 3 Scrambler (2019) - Full Throttle, Café Racer dan Desert Sled
Leave a Reply