JIKA ditanya apakah kelebihan Ford Ranger? Jawapannya, model trak pikap ini menggabungkan tiga ciri utama, iaitu lasak, praktikal di bandar dan memiliki teknologi canggih.
Ringkasnya, Ranger membawa keseimbangan antara kelasakan sebuah trak pikap untuk pemanduan dalam bandar dan kecanggihan teknologi.
Ranger juga menawarkan varian untuk pelbagai kategori pelanggan, termasuk kalangan pembeli yang mahukan lebih kelainan, misalnya Ranger Wildtrak. Paling ekstrem semestinya Ranger Raptor dengan badan lebar, suspensi Fox dan enjin 2.0L EcoBlue Bi-Turbo berkuasa 210hp, dan tork 500Nm.
Sebelum Ranger Raptor diperkenal pada 2018, Wildtrak adalah varian paling lengkap dan berkuasa dengan enjin 3.2L DuraTorq berkuasa 197hp, dan tork 470Nm.
Di Britain, pengguna ditawarkan dengan varian lebih eksklusif, iaitu Ranger Thunder yang dihadkan 1,400 unit dan 30 unit untuk Ireland. Ini adalah varian naik taraf Ranger Wildtrak dengan beberapa perubahan dalaman dan luaran. Trak pikap ini menggunakan enjin 2.0L EcoBlue Bi-Turbo berkuasa (210hp, 500Nm) dengan transmisi automatik 10-kelajuan.
Hanya satu spesifikasi Ranger Thunder ditawarkan dengan ciri khas seperti warna badan Sea Grey (kelabu), aksen merah pada gril, sisi sports bar, lencana Ranger hitam dan lencana tiga dimensi (3D) Thunder pada pintu depan dan but. Warna Ebony Black (hitam)cmenjadi kemasan komponen lain seperti gril depan, bampar belakang, plat skid, perumah lampu kabus dan hendal pintu.
Lagi ciri eksklusif ialah lampu depan LED dengan bezel dalaman gelap, sama seperti belakang, penutup kargo jenis roller shutter daripada Mountain Top, manakala pembahagi ruang kargo ditawarkan sebagai opsyen. Ruang dalaman Ranger Thunder dilengkapi kerusi kulit Ebony dengan sulaman Thunder merah. Juga sulaman merah dibuat sedondon pada stereng, kerusi, panel meter dan beberapa bahagian lagi.
Bahagian lantai ada karpet hitam dan dikontraskan pelapik plat sil merah. Ford Ranger diterima baik pada 2019 dengan mencatatkan jualan 52,500 unit di Eropah, dan lebih 16,000 adalah daripada pembeli di Britain. Jualan kumulatif Ranger di Britain dijangka melepasi angka 150,000 unit tahun ini sejak kali pertama dilancarkan pada 1998.
Ranger Thunder yang diperkenalkan ini adalah generasi ketiga selepas 2003 dan 2009.
BACA >>> #BikinKereta: Ford Transit Custom - Daripada Van Biasa Kepada Van Kamper Sporty
Leave a Reply