SULTAN Perak Sultan Nazrin Shah memperkenankan kebenaran solat Jumaat diadakan di masjid dan surau diri Jumaat bermula esok selepas mendapat pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, baginda turut memberi perkenan untuk solat sunat Aidilfitri diadakan di masjid dan surau pada pagi 1 Syawal.
Bagaimanapun, kebenaran itu tertakluk kepada beberapa syarat iaitu bilangan jemaah tidak lebih 12 orang, termasuk imam dan khatib. Shahrul Azam berkata;
Masjid dan surau bagaimanapun masih tidak dibuka kepada orang awam. Pengerusi jawatankuasa kariah hendaklah mengenal pasti dan menetapkan bahawa jemaah yang dibenarkan hadir terbatas kepada kalangan ahli jawatankuasa kariah dan pegawai masjid/surau.
"Individu yang berusia lebih 60 tahun tidak digalakkan hadir berjemaah. Mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selesema, sejarah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, barah dan sebagainya tidak dibenarkan hadir."
Menurutnya lagi, setiap jemaah diwajibkan:
- Buat pemeriksaan suhu badan
- Gunakan sanitasi tangan
- Merekodkan kehadiran dalam buku kehadiran
- Ambil wuduk sebelum datang ke masjid atau surau
- Bawa sejadah sendiri
Shahrul Azam berkata, jawatankuasa kariah masjid dan surau diri Jumaat dibenarkan menggunakan pembesar suara luar ketika membaca teks khutbah dan takbir untuk manfaat ahli kariah sekitar rumah ibadat tersebut.
Syarat lain, tempoh masa bermula azan, khutbah hingga selesai solat Jumaat, termasuk tempoh mula bertakbir hingga selesai khutbah solat sunat Aidilfitri dalam masjid dan surau dihadkan tidak lebih 20 minit.
Teks khutbah solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) juga hendaklah ringkas dan padat dengan masa penyampaian tidak lebih 10 minit. Penyusunan saf dan kedudukan hendaklah mematuhi prosedur ditetapkan Kementerian Kesihatan, dan jemaah hendaklah bersurai serta tidak mengadakan sebarang jamuan makan minum di masjid/surau selepas selesai solat.
BACA >>> Ramalan Tepat, Tempoh PKPB Lanjut Sampai 9 Jun!
BACA >>> PKPB: Rapid KL Pertingkat SOP, Hadkan Penumpang dan Tambah Kekerapan Tren
SUMBER: Bernama
Leave a Reply