MEMBACA laporan jualan kenderaan pada masa sekarang bukanlah sesuatu yang enak kerana kejatuhan sudah dijangka akibat krisis Covid-19. Namun, permintaan tetap ada seperti di Amerika Syarikat (AS) walaupun negara itu terjejas teruk disebabkan pandemik tersebut.
Sepanjang April lalu, Kia Motors America mencatatkan jualan 31,705 unit, merosot 13,708 unit daripada 45,413 unit berbanding bulan sebelum itu Mac.
Apapun, situasi menarik di sebalik kejatuhan itu adalah jenis model yang menerajui jualan, iaitu sedan Optima (6,894 unit) dan disusuli kenderaan utiliti sukan (SUV) Sorento (4,286 unit).
Seperti diketahui umum, model paling popular biasanya dibolot SUV. Namun, Optima bukan setakat juara April, tetapi juga mendahului mana-mana model sejak Januari tahun ini dengan jualan terkumpul 27,239 unit. Model kedua terlaris setakat April pun dimiliki sedan, iaitu Forte (26,581 unit).
Bagaimanapun, Sorento boleh dikira mencatatkan prestasi hebat dengan jualan setakat April lalu sebanyak 22,341 unit kerana SUV itu kini dalam fasa kitaran akhir produk, dan model baharu siap sedia dilancarkan. Prestasi sedan dan SUV yang meneraju jualan ketika ini pasti dapat dinilai dengan lebih bermakna kerana Optima dan Sorento juga baharu memasuki pasaran.
BACA >>> #Spyshot: Kia Sorento (2020) Serba Baharu Dikesan
Mengenai model lama, SUV Sportage juga masih mencatatkan prestasi baik dengan jualan terkumpul Januari-April, 24,021 unit, dan 3,964 unit dicapai pada April lalu.
Ini bermakna Sportage menerajui jualan kumulatif SUV Kia di AS selepas Sorento, manakala tempat ketiga SUV popular di negara Uncle Sam itu ialah Telluride yang baru saja memenangi anugerah Kereta Terbaik Dunia (WCOTY) 2020. Jualan kumulatif Telluride sejak Januari-April ialah 19,913 unit, dan 3,087 unit diperoleh sepanjang bulan lalu.
BACA >>> Kia Telluride Menang Kereta Terbaik Dunia (WCOTY) 2020!
Di sini dapat dilihat kekuatan segmen SUV dalam menerajui jualan Kia di AS. Satu lagi model yang menarik diperhatikan ialah model sedan prestasi, Stinger. Berdasarkan angka jualan, model itu boleh dikatakan berada dalam segmen niche. Jualan April ialah 871 unit dengan jumlah terkumpul sejak Januari 3,431 unit.
Berdasarkan carta jualan di bawah ini, walaupun AS terjejas teruk akibat Covid-19, permintaan jualan kenderaan masih ada daripada pengguna. April boleh dikatakan sebagai bulan kemuncak wabak berkenaan di AS dan sama seperti negara kita, banyak sektor ekonomi terjejas.
BACA >>> Kia Stinger GTS Edisi Terhad dengan Mod Drift, 800 Unit Sahaja di Amerika!
Leave a Reply