BUAT kaki kereta mereka beranggapan ia ibarat objek bernyawa atau kekasih nombor dua. Ada kalanya kita berborak dan memujuk kereta apabila merasakan bibit-bibit kereta mula mogok atau merajuk. Sayangnya komunikasi hanya satu hala kerana kereta tidak dapat berbicara kembali memberitahu masalah yang dihadapi.
Nah...kita hanya tahu kereta kesayangan ada masalah apabila secara tiba-tiba indikator jingga berbentuk enjin muncul di kluster instrumen. Ketika ini apa lagi tepuk dahilah kerana punca masalah perlu dirungkaikan. Ibarat anda cuba mengenalpasti kesalahan sendiri apabila kekasih mula muncung sedepa.
Jadi banyak komponen yang ada kebarangkalian tinggi punca kepada menyalanya indikator minyak itu. Langkah pertama jangan ambil mudah dan jangan terlalu bimbang. Soal wang yang perlu dikeluarkan bergantung kepada bahagian yang rosak. Jadi ada kemungkinan 10 masalah paling biasa melibatkan indikator 'check engine' menyala!.
1. SENSOR OKSIGEN
Sensor oksigen atau dipanggil sensor O2 mengukur jumlah oksigen tidak terbakar dalam sistem ekzos. Kemudian data akan dihantar ke komputer yang mana ia akan mengatur campuran udara dan bahan bakar yang memasuki silinder. Enjin akan terus berjalan walaupun sensor O2 perlu diganti, tetapi ia akan membakar lebih banyak bahan bakar daripada biasa.
Dalam jangka masa panjang, sensor O2 yang sudah tidak elok boleh merosakkan komponen seperti palam pencucuh dan pengubah pemangkin serta menyebabkan kereta gagal dalam ujian pelepasan emisi.
2. PENUTUP MINYAK LONGGAR
Penutup minyak yang longgar adalah punca biasa indikator minyak menyala. Komponen itu penting dalam sistem penghantaran minyak kereta dan mencegah asap petrol keluar dari tangki bahan bakar dan ini membantu menjaga seluruh sistem di bawah tekanan yang betul. Kadang-kala anda perlu menggantikan penutup dengan baharu namun harganya tidaklah mahal, serendah RM20.
BACA>>>#TahukahAnda: Penutup Tangki Ada Penyangkut, Kenapa Perlu Letak Atas Bumbung?
3. PENGUBAH PEMANGKIN
Komponen ini digabungkan ke sistem ekzos kenderaan dan semasa proses pembakaran mengubah karbon monoksida menjadi karbon dioksida. Ini adalah bahagian yang cukup mudah dan boleh diatasi. Pengubah pemangkin baharu boleh didapati serendah RM200 hinggalah kepada RM600 bahkan ribuan ringgit (bergantung model).
Jadi pastikan penyelenggaraan biasa seperti menukar minyak dilakukan pada masanya bagi memastikan pengubah pemangkin bekerja dengan baik. Sekiranya anda tinggal di bandar dan kebanyakannya memandu jarak pendek, sesekali pandu kereta ke lebuh raya untuk memastikan komponen itu tidak tersumbat. Seperti biasa, peka dengan bunyi yang luar dari kebiasaan atau warna asap yang keluar dari ekzos
4. PALAM PENCUCUH/KOIL PENCUCUHAN
Koil pencucuhan menghasilkan elektrik yang disalurkan ke palam pencucuh untuk menyalakan campuran bahan bakar dan udara dalam silinder. Kereta klasik mempunyai koil tunggal, tetapi rata-rata kenderaan moden menggunakan satu koil setiap silinder. Jika enjin V8 maka ada lapan koil yang berasingan. Tidak kira berapa banyak yang anda miliki, gegelung yang tidak berfungsi hampir pasti akan menyalakan indikator 'check engine'.
Tetapi ingat, jika kereta anda adalah diesel, anda miliki sama ada koil pencucuhan atau palam pencucuh. Bercakap tentang palam pencucuh, komponen yang haus atau sudah tercemar boleh menyebabkan banyak masalah termasuklah cetusan yang salah (misfire) pada enjin dan gejala teragak-agak ketika pecutan berat
Koil yang haus juga boleh menyebabkan simptom yang sama dan kadang kala kereta boleh berhenti sendiri. Harga palam pencucuh boleh didapati serendah RM30 hinggalah ratusan ringgit manakala koil pencucuhan pada harga bermula RM53.
BACA>>>#TahukahAnda: Ketahui Perbezaan Jenis Palam Pencucuh di Pasaran
5. WAYAR PALAM PENCUCUH
Wayar palam pencucuh akan menghantar elektrik dari koil ke palam pencucuh dan tanpanya campuran minyak dan udara dalam silinder tidak akan berlaku. Kebanyakan kereta menggunakan satu wayar per silinder tetapi ada model dengan dua palam pencucuh per silinder dan miliki dua wayar. Selalunya digunakan pada model Mercedes-Benz lama.
Gejala wayar palam pencucuh haus termasuklah kasar ketika melahu ataupun secara tiba-tiba prestasi enjin menurun dan perbatuan minyak yang rendah. Untuk set wayar palam pencucuh ini anda boleh dapatkan pada harga serendah RM100 tergantung pada model.
6. SENSOR SALURAN UDARA
Sensor ini memantau jumlah udara memasuki enjin. Menjadi sebahagian daripada sistem pengurusan enjin tanpanya kereta anda tidak dapat melaraskan perubahan ketinggian. Simptom kegagalan komponen ini termasuklah melahu yang kasar, kesukaran menghidupkan kereta dan perubahan tiba-tiba pada kedudukan pedal terotel. Harga sensor ini sekitar RM70 hingga RM500.
7. ISU ALARM
Sistem penggera selepas pasaran boleh menyebabkan masalah jika tidak dipasang dengan betul. Bukan saja mengurangkan tenaga bateri dan tidak dapat menghidupkan kereta tetapi boleh menjadi pencetus kepada lampu 'check engine' menyala. Kemudian tanpa diduga penggera akan mati di tengah malam hanya kerana daun pokok jatuh di atas hud. Jadi anda perlu baiki penggera dengan pemasangan semula atau gantikan keseluruhan komponen.
8. VAKUM BOCOR
Setiap kereta mempunyai sistem vakum yang melakukan pelbagai fungsi. Brek booster dikendalikan dengan vakum, dan sistem vakum juga membantu menurunkan emisi berbahaya dengan mengarahkan asap ketika petrol menguap melalui enjin. Sekiranya ketika melahu kereta anda mulai melonjak atau berhenti pada rpm yang sangat tinggi, ini boleh jadi punca vakum bocor.
Hos vakum boleh kering dan retak seiring bertambahnya usia, terutamanya jika terkena panas yang melampau. Ini adalah penyebab kebocoran vakum yang paling biasa. Masalah umum lain termasuk kelengkapan retak dan sambungan yang longgar. Tetapi mengesan sumber kebocoran itu memakan masa dan agak mahal.
9. INJAP AGIHAN GAS EKZOS
Sistem kitaran semula gas ekzos (EGR) mempunyai jumlah nitrogen oksida yang keluar dari enjin kereta dan membantunya bergerak dengan lebih cekap. Komponen itu mengarahkan gas ekzos panas kembali ke ruang pembakaran, yang memanaskan bahan bakar dan menjadikannya lebih mudah dibakar. Ia juga mengurangkan emisi.
Injap EGR boleh tersumbat atau gagal sepenuhnya. Jika anda punya skill, bolehlah mencabut injap itu, membersihkannya, dan memasang semula dalam jangka masa yang agak singkat. Sekiranya injap perlu diganti, sediakan wang sekitar RM200.
BACA>>>#ApaNakBuat: Tip Panjangkan Hayat Bateri Sel Basah
10. BATERI HABIS
Bateri adalah penting tanpanya anda tidak boleh menghidupkan banyak komponen seperti lampu, mengecas telefon apatah lagi menghidupkan kereta. Harga bateri bergantung kepada model anda pandu, pada harga RM160 anda sudah mendapatkan bateri berkualiti.
*Harga komponen hasil tinjauan menerusi gedung atas talian (bergantung kepada jenama dan model).
SUMBER: Digitaltrends
Abdullah says
Salam engine kereta pegeout begegar dah tukar spak plug dan cuci throtlee body masalah masih sama