KEPADA pengeluar yang masih berkira-kira mahu menawarkan kenderaan utiliti sukan (SUV), lihat keputusan dicapai Automobili Lamborghini SpA sepanjang tahun lalu.
Tahun fiskal 2019 (1 Jan-31 Dis) adalah tempoh terbaik buat Lamborghini dengan pencapaian yang belum pernah diraih pengeluar itu sepanjang sejarah 56 tahun. Semua jualan, yakni perolehan dan keuntungan mencatatkan rekod baharu, meningkat 28 peratus daripada €1.42 bilion kepada €1.81 bilion pada 2019.
Jualan global melonjak 43 peratus kepada 8,205 unit yang mencatatkan peningkatan rekod jualan di pasaran utama iaitu Amerika, EMEA (Eropah, Timur Tengah, Afrika) dan Asia Pasifik.
BACA >>> Covid-19: Lamborghini Tutup Kilang Lebih Seminggu, Sahut Arahan Kuarantin
Prestasi luar biasa semestinya disumbangkan Super SUV, Urus dengan jualan 4,962 unit. Turut menyumbang kepada jualan signifikan ialah Huracán V10 (2,139 unit) dan Aventador V12 (1,104 unit).
Bagi pengeluar kereta kebanyakan, jualan 8,000 unit boleh dicapai dalam tempoh sehari saja, tetapi ia situasi berbeza untuk pengeluar kereta eksotik seperti Lamborghini. Jualan tinggi turut memberikan manfaat kepada ekonomi setempat yang mana 1,787 orang diambil sebagai pekerja baharu setakat penghujung 2019.
BACA >>> 7 Fakta Awal Tentang Lamborghini Urus yang Perlu Anda Tahu
Lamborghini juga cemerlang dalam sumber manusia dengan pelbagai polisi pengurusan bakat. Sepanjang 2019, pengeluar Itali itu diiktiraf sebagai antara majikan paling menarik dengan meraih 'Sijil Majikan Terbaik Itali' buat kali ke-7 berturut-turut.
Lamborghini beroperasi di peringkat global dengan 165 pengedar di 51 negara. Dari segi portfolio produk, tahun ini sepatutnya penghantaran Huracán EVO V10, Sián dan beberapa pelancaran lain dibuat.
Namun, dengan penularan wabak Covid-19 yang melanda banyak negara, termasuk Itali hingga memaksa operasi kilang Lamborghini digantung, masih awal untuk menganggarkan impak diterima. Apa pun berlaku, Lamborghini sebenarnya sudah mencipta sejarah pada 2019 dan terima kasih patut diberikan kepada Urus.
BACA >>> Lamborghini Sián - Supercar Hibrid Superkapasitor Pertama Dunia Inspirasi Countach
Leave a Reply