KAWASAKI Vietnam mengumumkan ketibaan naked bike Z650 (2020), seiring pengenalan sportbike Ninja 650 generasi baharu. Model ini menawarkan saiz keseluruhan hampir sama seperti Ninja 650, tetapi lebih ringan 5kg daripada model fairing itu 188kg.
BACA >>> Kawasaki Ninja 650 (2020) Kini dengan Lampu LED, Skrin TFT Warna Penuh
1. WAJAH SUGOMI DENGAN LAMPU SEMI-LED
Z650 (2020) didatangkan dengan rekabentuk lebih agresif sebagai famili baharu siri Z berkonsepkan Sugomi.
'Sugomi' berasal daripada perkataan 'sugoi', bermaksud 'menakjubkan' atau 'menakutkan'. Model ini juga dipasang unit spoiler kecil bawah lampu LED depan dan pelindung radiator. Naked bike urban ini dipasangkan lampu utama LED, juga lampu brek jenis LED, tetapi lampu signal belok masih menggunakan mentol halogen.
2. KLUSTER METER LCD PENUH
Kawasaki akhirnya menukar instrumen meter lama kurang mengancam kepada panel LCD berwarna bersaiz 4.3 inci yang lebih moden. Kluster meter ini dilengkapi ciri Bluetooth yang dapat disambungkan kepada telefon pintar. Maklumat dipaparkan ialah posisi gear, halaju tunggangan, suhu enjin, tarikh, masa, dua trip tunggangan, dan voltan bateri.
3. CIRI BREK ABS
Kawasaki menggunakan set brek cakera kembar pada roda depan, setiap cakera bersaiz 300mm, dan brek cakera tunggal pada roda belakang bersaiz 220mm. Kedua-dua sistem brek depan dan belakang dilengkapkan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).
BACA >>> Kawasaki Z250 ABS (2019) Kini di Malaysia, Harga RM21,998!!!
4. TAYAR BAHARU
Z650 dipasangkan set tayar Dunlop Sportmax RoadSport 2 (sebelum ini Dunlop Sportmax) yang lebih seimbang antara nilai dan prestasi. Jenis tayar ini menawarkan kualiti pengendalian lebih tajam dan agresif ketika membelok, dan lebih stabil ketika membrek dalam cuaca panas atau hujan.
5. TANGKI MINYAK NINJA 650
Z650 (2020) menggunakan tangki minyak mirip komponen sama seperti Ninja 650 (2020) dengan kapasiti isian petrol hingga 15 liter.
6. PELANA LEBIH TEBAL
Pembonceng Z650 akan lebih selesa di belakang untuk perjalanan jauh yang lama menerusi penambahbaikan pelana belakang lebih lebar dan tebal. Ini memastikan pembonceng lebih selesa, kurang lengguh atau kebas.
Posisi pelana penunggang pula antara paling rendah berbanding model lain dalam segmen 650cc, kira-kira 790mm. Sesuai untuk penunggang berketinggian rendah dan sederhana..
7. KEKAL 'DUA DAPUR'
Kawasaki masih menggunakan enjin dwi-silinder sebaris 649cc berkuasa kuasa 67.3hp @ 8,000rpm dan tork 64Nm @ 6,700rpm.
Enjin ini menggunakan sistem terotel kembar yang membolehkan enjin memiliki daya pecut lebih pantas dan lancar. Walapun, tiada ciri Quick Shifter, tetapi model ini dibekalkan Sistem Bantuan Anjakan dan Klac Anti-Gelincir (A&S).
8. LEBIH MURAH DARIPADA PESAING
Z650 (2020) di Vietnam berharga 187 juta dong (RM33,490), lebih murah hampir 60 juta dong (RM10,740) daripada pesaingnya, Honda CB650R. Namun model lawan itu memiliki enjin 4-silinder , fork terbalik (USD), sistem kawalan traksi Honda Selectable Traction Control (HSTC), dan juga lebih banyak teknologi berbanding Z650.
BACA >>> Honda CBR650R dan CB650R Kini di Malaysia, Harga Bermula RM43k
Jan says
Terkilan dgn penurunan kuasa dari model ER6-N, walaupun itu sudah dijangkakan dengan euro5. rasanya kalau nak kekalkan kuasa ditahap yang sama, harga mungkin akan lebih mahal.