SELEPAS mengejutkan ramai peminat permotoran tempatan dengan sportbike Ninja 250 ABS yang di-Modenas-kan, pengeluar motosikal nasional itu akhirnya menjawab beberapa persoalan dan pelan mengenai kerjasama dengan Kawasaki Heavy Industries (KHI) di Jepun.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Roslan Roskan (foto atas, tiga dari kanan), Modenas akan menghasilkan model Kawasaki versi pemasangan tempatan (CKD) untuk segmen bawah 700cc.
BACA >>> Ini Betul-Betul Bukan Cobaan, Modenas Ninja 250 ABS Bakal Lancar di Malaysia!
Kami akan perkenalkan lapan model membabitkan Modenas dan Kawasaki tahun ini, dan separuh daripadanya ialah Kawasaki.
"Kumpulan DRB-HICOM akan melabur lebih kurang RM5 juta untuk program pengeluaran motosikal Kawasaki CKD, membabitkan model streetbike. Kawasaki (KHI) juga ada buat sejumlah pelaburan tertentu."
- ROSLAN ROSKAN, CEO Modenas
Menurutnya lagi, Modenas akan mengeluarkan kira-kira 1,000 unit model Kawasaki pada penggal kedua tahun ini daripada kilang di Gurun, Kedah untuk pasaran tempatan.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan produk hasil kerjasama Modenas-Kawasaki itu akan dieksport ke luar negara, tetapi masih tertakluk kepada perbincangan dengan KHI. Justeru, kerja-kerja menyiapkan barisan pengeluaran tambahan di kilang Modenas kini sedang rancak dilakukan yang akan dikhaskan untuk pengeluaran unit CKD Modenas-Kawasaki.
"Peralatan dan mesin yang diperlukan sudah tiba di kilang kami. Kini, kerja-kerja untuk menyiapkan barisan pengeluaran ketiga giat dijalankan," katanya.
Kilang Modenas di Gurun mempunyai dua barisan pengeluaran untuk pemasangan model Bajaj dan skuter Modenas. Satu lagi barisan pengeluaran adalah untuk moped Modenas.
BACA >>> Kawasaki Hentikan Jualan di Malaysia, Tunggu JV Rasmi dengan Modenas?
BAJAJ VS KAWASAKI VS MODENAS
Roslan menjelaskan kehadiran program CKD Modenas-Kawasaki tidak akan menjejaskan usahasama dengan Bajaj atau mempengaruhi jualan jenama dari India itu. Menurutnya, produk Bajaj yang dipasang Modenas ialah bawah 200cc dan disasarkan untuk pembeli tertentu, iaitu kalangan penunggang yang mahu naik taraf motosikal dengan bajet terhad.
Bagi model Kawasaki CKD, model-model ini pula disasarkan kepada kalangan penunggang yang ada bajet tambahan dan mahu memiliki motosikal berkapasiti lebih besar, iaitu tidak lebih 700cc.
Pada masa sama, Roslan turut mengesahkan motosikal sentuhan asli Modenas, Kriss MR2 akan kekal diteruskan. Ini termasuk rancangan membangunkan model sendiri untuk kelas bawah 150cc.
BACA >>> #SembangDeras: Super Kapcai Modenas Kembali!
Puas hati dengan jawapan CEO?
Leave a Reply