ANTARA dilema pemilik kereta klasik ialah kesukaran mendapatkan komponen dan alat ganti diperlukan supaya kenderaan mereka kekal asli.
Sesetengah komponen boleh dihasilkan semula, termasuk membelinya daripada kedai potong, seperti enjin, panel pintu atau lencana. Sesetengahnya memang payah dicari, seperti tayar klasik era 1960-80-an kerana sudah tidak lagi ditawarkan pengeluar dan pengilang asal.
Berbeza Yokohama, pengeluar tayar dari Jepun itu memilih menawarkan barisan tayar klasik bagi memenuhi impian pengumpul atau pemilik kereta lama.
Produk tayar warisan itu diumumkan Yokohama UK dengan memperkenalkan tayar yang dilengkapi ciri teknologi moden dan berprestasi, serta pada masa sama masih mengekalkan gaya klasik 1960-an ke atas.
BACA >>> Bridgestone Hasilkan Tayar Tanpa Angin yang Kalis Pancit, Tampung Berat 2.2 Tan!
1. YOKOHAMA G.T. SPECIAL Y350
Tayar klasik pertama ialah G.T. Special Y350 dan produk ini sudah ditawarkan kepada pelanggan Eropah. Mula diperkenalkan pada 1967, ini ialah tayar pertama Yokohama yang menggunakan teknologi radial.
Menurut Yokohama, Y350 menawarkan 'keselesaan pemanduan yang lebih lembut tanpa menghilangkan nilai sejarah kereta'. Y350 edisi baharu ini pula masih menggunakan paten dan dinding tayar klasik 1967 yang sesuai untuk kereta jenama Jepun dan Eropah era 1960-70-an.
BACA >>> Tayar Yokohama Advan untuk Kereta Tamiya Mini 4WD
Ada tiga saiz tayar Y350 untuk rim 14 dan 15 inci:
- 165/80 R15 87H
- 175/80 R14 88S
- 165/80 R14 85S
2. YOKOHAMA ADVAN A008P DAN ADVAN HF TYPE D 008
Pada 1981, Yokohama melancarkan tayar prestasi tinggi Yokohama A008 di Eropah (atau ADVAN HF Type D di Jepun). Tayar ini menjadi kegilaan pemilik kereta untuk memandu dalam trek lumba, termasuk ahli Kelab Pemilik Porsche (Porsche Owners Club, POC).
Menurut Yokohaman, selepas menyarung tayar A800 pada model Porsche masing-masing, rata-rata ahli kelab POC menyukainya. Susulan respon positif itu, Yokohama menghasilkan model A800P secara eksklusif untuk Porsche.
Tayar Yokohama ADVAN A008P mula-mula dipasangkan pada 911 Carrera Turbo (Type 930) di kilang Stuttgart, Jerman. Kini, Yokohama menawarkan pilihan saiz:
- 245/45 ZR16
- 205/55 ZR16
Mengikut sejarah, A800 dibangunkan untuk pemandu kereta klasik Austin 7, Mini 850 dan Mini Cooper. Ada tujuh pilihan tayar ADVAN HF Type D 008 (atau A800) ditawarkan untuk rim 10-15 inci:
- 165/70 R10 72H
- 185/60 R13 80H
- 185/70 R13 86H
- 185/60 R14 82H
- 195/70 R14 91H
- 205/50 R15 86V
- 225/50 R15 91V
3. YOKOHAMA A539
Tayar klasik ketiga ialah Yokohama A539 yang didatangkan dengan saiz sesuai untuk rim kereta klasik 12-15 inci. Paten tayar ini dikatakan sesuai untuk menyisihkan air apabila memandu atas jalan basah, termasuk ketika membelok. Tayar ini sesuai untuk kebanyakan model kereta klasik.
BACA >>> #TahukahAnda: 4 Punca Tayar Mudah Pecah atau Meletup
Ada enam saiz A539 untuk dipilih:
- 165/60 R12 71H
- 175/60 R13 77H
- 185/60 R13 80H
- 175/60 R13 72V
- 185/50 R14 77V
- 175/60 R14 79H
SUMBER: Yokohama | AutoIndustriya
Leave a Reply