PERTENGAHAN Januari lalu Proton membawa media automotif melawat kilang transmisi Geely yang terletak di Ningbo, Zhejiang, China. Apakah relevannya lawatan tersebut dengan Proton?
Seperti mana kita tahu, Geely sudah memperkenalkan transmisi 7DCT pada beberapa model jenama itu, misalnya Binyue, Jiaji, Bo Yue Pro dan tiga model Lynk & Co di China, termasuk Volvo XC40.
Transmisi 7DCT ialah teknologi kotak gear yang dibangunkan Geely bersama Volvo untuk model-model terkini dan akan datang. Jika Boe Yue Pro sudah didatangkan dengan transmisi 7DCT, adakah Proton X70 juga akan menerima teknologi sama?
Jawapannya, ya. Model X70 versi pemasangan tempatan (CKD) tidak lagi menggunakan transmisi automatik 6-kelajuan, sebaliknya digantikan dengan 7DCT. Wow, itu sudah cukkup baguskan?
Apakah transmisi DCT?
KOTAK GEAR DCT
DCT ialah singkatan kepada dual-clutch transmission (transmisi dual-klac), iaitu kotak gear automatik yang beroperasi hampir kepada transmisi manual. Bezanya, anda tidak perlu lagi memijak pedal klac untuk menukar gear. Transmisi tersebut menggunakan dua klac berasingan dalam satu perumah yang mewakili nombor gear ganjil dan genap, tetapi bekerja sebagai satu unit bersepadu.
Secara mudah, transmisi DCT menggunakan dua klac tetapi tanpa pedal klac. Jadi, sistem elektronik dan hidraulik yang akan mengawal klac, sama seperti transmisi automatik biasa. Namun, komponen klac DCT beroperasi berasingan yang masing-masing mengawal gear genap (2, 4, 6) dan ganjil (1, 3, 5, undur). Aturan itu pula sama sekali tidak akan mengganggu hantaran kuasa dari enjin ke transmisi.
Walaupun beroperasi dalam mod automatik penuh, tetapi transmisi DCT mampu menukar gear secara manual dalam mod semi-automatik. Kenapa ramai sukakan DCT? Ini kerana sistem berkenaan menawarkan pecutan yang lebih dinamik dan lebih lancar, serta pada masa sama pemandu boleh memilih kawalan transmisi melalui anjakan manual (pedal syif, atau gear) atau biarkan sistem komputer bekerja.
BACA >>> Proton X70 CKD Rasmi Pasang di Kilang Baharu Proton!
Selain itu, transmisi DCT juga lebih jimat minyak kerana hantaran kuasa dari enjin ke transmisi tidak terjejas. Ada kalangan pengguna berpendapat transmisi DCT 6-kelajuan mampu meningkatkan 10 peratus kecekapan bahan api berbanding 5-kelajuan. Inilah sebab ramai pengeluar berminat dengan teknologi DCT.
Bagi Geely tiada kompromi dalam menawarkan produk terbaik buat pengguna. Pengeluar automotif dari China itu membangunkan kilang Chunxiao yang memulakan operasi pada 2017 dengan kapasiti pengeluaran bulanan 20,000 unit. Malah kotak gear tersebut menerima anugerah 10 Transmisi Terbaik Dunia (2018, 2019).
Kemudian pada 2018, Geely mengembangkan kemudahan transmisi tersebut ke fasa dua bagi menampung pengeluaran tinggi yang mana fasa pertama dan kedua memiliki kapasiti pengeluaran tahunan 300,000 unit dan Geely menjangka mencapai kapasiti penuh 600,000, tahun ini. Sebagai makluman, Geely memiliki 12 kilang pengeluaran dan tujuh kilang trenkuasa.
BACA>>>Proton X70 CKD Lancar Bulan Depan, Bakal Ada Talaan Proton Ride & Handling?
PROTON X70 + 7DCT + ENJIN GEN 3
Cukup dulu tentang kilang pemasangan transmisi tersebut. Kita kupas sedikit tentang transmisi yang bakal digunakan pada Proton X70 CKD. Bakal dilancarkan pertengahan Februari ini, kenderaan utiliti sukan (SUV) itu tidak lagi menggunakan transmisi automatik 6-kelajuan.
Transmisi 7DCT klac basah itu dipadankan enjin 1.8L turbo 4-pot dengan beberapa talaan baharu, dirujuk (secara dalaman) sebagai Generasi 3. Model import (CBU) sebelum ini menggunakan enjin Generasi 2. Enjin generasi ketiga itu dikatakan didatangkan dengan tork lebih tinggi dan dapat memenuhi regulasi emisihingga lima tahun akan datang di Malaysia serta boleh ditingkatkan kepada emisi Euro6.
Tiada perubahan mekanikal yang besar tetapi gabungan dua klac berkenaan membolehkan tambahan tork 15Nm menjadi 300Nm @ 1,750 to 4,000rpm, manakala kuasa kekal 181hp @ 5,500rpm. Pemasangan pam minyak tekanan tinggi bersama generasi Bosch HDP5evo baharu menawarkan prestasi NVH lebih baik.
BACA >>> #ApaNakBuat: Bagaimanakah Cara Kemas Kini Perisian Unit Infotainment Proton X70?
Bukan saja prestasi enjin ditingkatkan, transmisi baharu itu juga menawarkan kecekapan penggunaan bahan api dan mengurangkan emisi, termasuk memberikan pembakaran yang lebih baik dan getaran lebih rendah. Penjimatan bahan api mencatatkan kadar 7.8 liter per 100km ke 7.5 liter per 100km untuk model pacuan depan (FWD).
Transmisi tersebut boleh digunakan untuk model pacuan semua roda (AWD) dan hibrid dengan rekaan satu platform. Bagi kes X70, tentunya FWD dan AWD yang mana transmisi itu menawarkan kecekapan keseluruhan hingga 94.6 peratus sedikit lebih tinggi berbanding DCT Eropah, iaitu 91 peratus (klac basah) dan 92 peratus (klac kering) serta kecekapan maksimum 97 peratus (angka hampir dengan versi manual).
Transmisi berkod 7DCT330 itu memiliki saiz 385mm (panjang), 595mm (lebar) dan 456mm (tinggi) dengan berat 76.6kg (FWD) dan 78.3kg (AWD). Ketua Senior Jurutera Kejuruteraan Transmisi Geely, Tejinder Singh berkata, teknologi 7DCT dikawal secara berasingan sistem hidraulik untuk mengurangkan kehilangan kuasa dan operasi tukaran gear secara elektrik hampir kepada sifar kehilangan kuasa.
Menurut Tejinder lagi, pemilihan klac basah adalah atas faktor reliabiliti dan ketahanan berbanding masalah dihadapi klac kering. Transmisi DCT lama berdepan masalah suhu kerana tidak memiliki kemampuan terma yang baik, isu 'jerk' dan tukaran gear lewat.
"Klac kering terdedah kepada unsur yang boleh dipengaruhi keadaan cuaca apabila perubahan kelembapan dan suhu, persekitaran kotor atau bersih akan banyak berlaku kekangan. Ada hari anda akan rasa tukaran gear yang baik dan kurang menyenangkan. Banyak aduan berlaku daripada pemanduan mendaki bukit hingga cuaca panas.
"Dengan klac basah, tidak banyak masalah kerana minyak akan mengekalkan suhu sekeliling klac dan tukaran gear. Geseran, material dan jenis minyak yang digunakan akan membantu mengawal suhu dalam perumah klac ketika bergerak. Hasil ujian yang dijalani kami yakin dengan ketahanan 7DCT ini," katanya.
Tambahnya, klac basah mengepam kira-kira 12-15 liter minyak per minit untuk menghilangkan haba, tetapi tidak untuk versi yang menjadi punca komponen tersebut mengalami masalah suhu. Jelasnya, secara jangka panjang 7DCT akan menggantikan transmisi pengubah tork tetapi hanya bagi model-model terpilih.
Memiliki jangka hayat penggunaan 350,000km transmisi tersebut menjalani ujian lebih 9 juta kilometer dalam pelbagai kondisi cuaca seperti panas, sejuk, basah, trafik padat, mendaki bukit dan lain-lain. Antara pembekal yang terlibat dalam pembangunan transmisi itu ialah MA6, Gleason, Comau, Mazak, Emag dan Zeiss.
Leave a Reply