MUSIM Formula Satu (F1) 2020 akan bermula 15 Mac ini di litar Melbourne, Australia. Ada 22 pusingan perlumbaan untuk keseluruhan saingan musim ini dengan aksi sulung berlangsung di GP Vietnam, manakala litar ikonik Zandvoort di Belanda kini memasuki semula kalendar kejuaraan dunia itu.
Beberapa pasukan utama sudah menetapkan tarikh majlis pengenalan jentera F1 baharu masing-masing, termasuk Ferrari pada 11 Februari, dan juara bertahan Mercedes pada 14 Februari ini.
Keperluan spesifikasi jentera lumba baharu pula dibuat berdasarkan peraturan dan undang-undang F1 yang sentiasa berubah setiap tahun. Tujuannya, memberikan dan meningkatkan cabaran setiap pasukan F1 dalam menyediakan jentera terbaik dan berkualiti kepada pelumba.
Apakah perubahan baharu lain dalam regulasi F1 yang dibuat untuk musim 2020?
BACA >>> Rossi Pandu Kereta F1, Hamilton Tuggang Yamaha M1!
1. CHEQUERED FLAG: BENDERA PENAMAT AKHIR PERLUMBAAN
Peraturan F1 2019 mengubah bendera penamat menjadi panel lampu penamat sebagai isyarat rasmi perlumbaan tamat. Walaupun ada perlumbaan masih menggunakan bendera penamat, misalnya di Monza yang mana bendera berkotak dikibarkan Jean Alesi untuk kemenangan Charles Leclerc.
Namun, masalah berlaku apabila panel lampu menyala satu pusingan sebelum perlumbaan tamat di GP Jepun. Ini menyebabkan keputusan rasmi dikira berdasarkan pusingan tersebut, sekali gus menimbulkan kekecohan kerana masih ada satu pusingan sebelum perlumbaan sebenar tamat.
Bagi mengelakkan situasi sama berulang, mungkin sebab belum bersedia sepenuhnya, perlumbaan F1 2020 akan ditamatkan menggunakan kaedah sedia ada, iaitu bendera penamat.
2. PENGURANGAN UJIAN JENTERA
Ujian pramusim 2020 dikurangkan daripada lapan hari kepada enam hari. Medan ujian akan berlangsung di Circuit de Barcelona, Catalunya, Sepanyol dan akan berlangsung dua kali selama tiga hari pada 19-21 Februari dan 26-28 Februari. Tiada lagi ujian pertengahan musim kerana jentera 2020 adalah berdasarkan evolusi jentera 2019.
Jentera pasukan seharusnya tidak memberikan banyak masalah kepada pasukan di pertengahan musim. Apa yang baharu, pelumba muda pasukan akan diberikan peluang memandu jentera pada 2020. Berdasarkan peraturan, setiap pasukan perlu menggunakan pelumba muda sekurang-kurangnya sekali pada ujian akhir musim di Abu Dhabi.
Ini memberi peluang kepada pelumba muda menunjukkan aksi terbaik bagi menarik pengurusan pasukan masing-masing.
3. PERINTAH BERKURUNG LEBIH PANJANG
Berita baik atau buruk untuk pasukan mekanik. Ada tambahan satu jam daripada tempoh berkurung 8 jam sebelum ini.
Tempoh perintah berkurung ialah tempoh jentera tidak boleh diusik pasukan dan boleh diarahkan berada jauh dari kawasan trek. Namun, setiap pasukan diberikan dua peluang melanggar peraturan tersebut sepanjang musim tanpa diberikan penalti.
Situasi berkenaan dijangka memberikan lebih tekanan kepada pasukan mekanik untuk menyediakan jentera pada Khamis dan Jumaat sebelum ujian bebas. Tempoh berkurung itu hanya pada Khamis dan Jumaat, iaitu ketika ujian bebas.
Jadi, segala tetapan dan penambahbaikan perlu dilakukan segera untuk menyediakan jentera terbaik buat pelumba. Ini adalah cabaran kepada pasukan mekanik setiap pasukan. Namun, niat sebenar ialah hendak memberikan lebih waktu rehat kepada mereka.
BACA >>> Pelatih Audi Bunuh Diri Tidak Tahan Dibuli, Pernah Dibakar dan Dikurung
4. 'SIRIP JERUNG'
'Sirip jerung' ialah rekabentuk jentera F1 yang semakin popular dan dijangka hadir untuk semua jentera 2021. Musim ini, semua jentera diwajibkan memiliki satu plat ‘shark fin’ di atas penutup enjin.
Rekabentuk minimum itu adalah seperti jentera awal McLaren pada 2019. Penonton juga dapat membezakan antara dua jentera kerana mempunyai bentuk sirip berbeza. Rekabentuk juga mungkin berbeza mengikut sistem aerodinamik jentera yang juga berbeza mengikut pelumba.
Peraturan itu dijangka tidak memberikan kelebihan kepada mana-mana pasukan. Ini kerana rekabentuk tersebut hanya meninggalkan sedikit kesan kepada keseluruhan aerodinamik jentera. Mungkin hanya ketika mengambil selekoh.
5. PENALTI LEBIH RINGAN UNTUK KESALAHAN 'WEIGHBRIDGE' DAN 'JUMP START'
Selepas bertahun-tahun peraturan menimbang menjadi isu kepada pelumba dan pasukan, tahun ini penalti untuk dua kesalahan akan mengikut pertimbangan pegawai perlumbaan.
Peraturan lama menetapkan jika pelumba melakukan kesalahan itu, mereka akan memulakan perlumbaan dari dalam lorong pit. Ini berlaku kepada Pierre Gasly yang terlepas isyarat memanggil pelumba itu ke kawasan penimbang.
Jadi, kelonggaran peraturan berkenaan diharapkan dapat memberikan penalti sewajarnya. Bagi kesalahan jump start, pegawai diberikan pilihan menetapkan jumlah masa penalti 5-10 saat. Tiada lagi pilihan terus antara penalti pandu lalu di lorong pit atau 10 saat berhenti di pit. Ini kerana penalti lama cukup menjejaskan pelumba yang buat kesalahan.
6. TIADA PENGHADANG KETIKA UJIAN PRAMUSIM
Setiap pasukan mahu mengelakkan pandangan pasukan lawan kepada jentera mereka pada pramusim. Tahun ini, tiada lagi penghadang yang akan digunakan pada siaran langsung ujian pramusim bagi menarik lebih banyak penonton.
Jangka masa bermula jam 9 pagi hingga 6 petang. Jika berlaku situasi seperti jentera tidak lengkap atau sedang dibaik pulih kerana berhenti di kawasan litar, pasukan boleh menggunakan penghadang ketika sedang melakukan baik pulih. Jentera yang sudah siap sepatutnya ditonjolkan kepada penonton dan peminat setia F1.
7. MENGEHADKAN PENGGUNAAN BESI DI KAWASAN DEPAN
Tiada siapa suka tengok sayap depan jentera lawan menyebabkan tayar kereta sendiri pecah atau pancit. Regulasi baharu menetapkan 50mm kawasan luar sayap depan wajib menggunakan bahan gentian karbon. Jika ada skru sekalipun, ia mesti dalam jarak 30mm dari hujung plat sayap depan.
Kerap berlaku situasi yang dinamakan momen Ben Hur yang boleh menyebabkan rasa tidak puas hati dan konflik sesama pasukan bertanding. Jadi, regulasi baharu kali ini diharapkan dapat mengurangkan dan mengelakkan insiden buruk tersebut.
8. 'BRAKE DUSTS' KINI DALAM SENARAI KOMPONEN UTAMA
Salur udara angin di tepi tayar yang berfungsi menyejukkan brek disenaraikan dalam senarai komponen utama. Ini bermakna, pasukan tidak boleh memasang salur udara yang dijual syarikat atau pasukan lain. Mereka perlu menghasilkan salur udara sendiri. Komponen lain yang tersenarai ialah keseluruhan badan jentera, struktur berpusing, struktur impak depan dan kerangka survival (survival cells).
9. PENGURANGAN PENGGUNAAN SISTEM ELEKTRONIK KETIKA MULA PERLUMBAAN
Permulaan perlumbaan ialah detik penting yang dapat menentukan kejayaan sesebuah pasukan. Ada beberapa litar yang memerlukan penguasaan jentera dari mula hingga akhir perlumbaan.
Regulasi baharu akan mengehadkan bantuan sistem elektronik, dan pemandu kini memiliki lebih 90 peratus kawalan ke atas jentera pada awal perlumbaan.
Jadi, koordinasi mantap diperlukan untuk menjamin jentera itu mendapat permulaan yang lancar dan pantas. Pedal syif juga diwajibkan bagi memastikan pemandu dapat ekstra kawalan. Semestinya permulaan perlumbaan musim ini akan semakin mendebarkan.
BACA >>> #TahukahAnda: Kenapa Perlu Pedal Syif Walaupun Gear Auto Kini Serba Pintar, Pantas?
10. TAMBAHAN KUANTITI 'MOTOR GENERATOR UNIT-KINETIC (MGU-K)'
Unit generator motor-kinitek (MGU-K) ditambah susulan kes sembilan pelumba melebihi had kuantiti dibenarkan pada 2019. Ia ditambah kepada tiga bagi penggunaan sepanjang musim ini. Ini bermakna, penalti disebabkan penggunaan sistem berkenaan akan berkurangan.
Secara umum, MGU-K ialah penambah kuasa ke atas enjin ketika memecut dan juga berfungsi mengecas bateri ketika membrek. Unit ini menukarkan tenaga kinetik menerusi pergerakan jentera menjadi tenaga untuk enjin dan bateri.
11. PENGURANGAN PETROL DI LUAR TANGKI UTAMA
Jentera F1 memiliki kerangka survival dengan ruang untuk simpanan minyak. Ini diperlukan supaya kereya dapat sampai ke kawasan pit jika mengalami masalah kekurangan bahan api atau isu lain.
Berdasarkan peraturan baru, kuantiti minyak dikurangkan 250ml daripada 2 liter pada 2019. Ini bagi mengelakkan pasukan menggunakan alternatif tersebut sebagai strategi perlumbaan.
KESIMPULAN
F1 2020 akan menjadi satu lagi musim mendebarkan. Mampukah pasukan Mercedes meneruskan penguasaan mereka? Dengan perincian peraturan yang banyak dilonggarkan, ini dijangka memberi peluang kepada pasukan lain untuk memberikan saingan kepada pasukan juaran itu.
Jadi mari sama-sama kita nantikan aksi-aksi pelumba F1 yang akan bermula tidak lama lagi.
SUMBER: Formula1
Leave a Reply