SELEPAS berhari-hari berlumba, dengan jarak trek sekitar 7,500km, kejuaraan Rali Dakar 2020 yang julung kali diadakan di Arab Saudi melabuhkan tirai dengan kemenangan menjadi milik pelumba handalan, Carlos Sainz dan jurupandu arah, Lucas Cruz daripada pasukan Bahrain, JCW X‑raid.
Ini kejuaraan ketiga buat pasangan Sepanyol itu selepas menjadi juara 2010 dan 2018. Pasangan itu turut membantu MINI memenangi perlumbaan ikonik tersebut buat kali kelima.
BACA >>> Nasser dan Hilux Bantu Toyota Raih Gelaran Pertama Rali Dakar
Sainz dan Cruz memandu jentera MINI John Cooper Works Buggy untuk menamatkan perlumbaan dengan jarak masa 6:21 minit di depan juara Rali Dakar tahun lalu, Nasser Al-Attiyah.
Seorang lagi pelumba, Stéphane Peterhansel, dengan rekod juara Rali Dakar 13 kali, menamatkan perlumbaan di tempat ketiga bersama jurupandu arah, Paulo Fiuza. Pasangan itu, yang juga mewakili Bahrain JCW X‑raid, mencatatkan masa 9:58 minit di belakang Sainz dan Cruz, sekali gus mengukuhkan dominasi MINI di podium.
BACA >>> Padah Tidak Dengar Amaran, Kereta Rookie Rali Dakar 2018 Tergolek dan Hancur
Kedua-dua pelumba itu menang lapan daripada 12 peringkat perlumbaan, manakala jentera MINI mencatatkan masa terpantas dalam sembilan daripada 12 hari perlumbaan. Pasangan Vaidotas Zala dan Saulius Jurgelenas yang memandu MINI JCW Rally pula memenangi hari pertama perlumbaan.
Secara keseluruhan, tujuh pasangan yang memandu MINI JCW Buggy, JCW Rally dan ALL4 Racing menduduki kelompok 19 terbaik yang secara tidak langsung membuktikan kehebatan jentera MINI.
BACA >>> #PanduUji: Sebuah Kisah Sentimental Tentang MINI Cooper S Clubman
Leave a Reply