PROTON Holdings Bhd (Proton) menutup 2019 dengan mencatatkan 11,117 unit jualan pada Disember lalu yang juga jualan tertinggi keseluruhan 2019, meningkat 112 peratus berbanding bulan sama pada 2018.
Angka jualan itu bersamaan 20.5 peratus daripada jumlah jualan kenderaan (TIV) pada Disember dan juga kali pertama Proton menjual lebih 11,000 unit kenderaan dalam sebulan sejak Julai 2014.
Hasilnya, jumlah jualan sepanjang 2019 mencapai angka 100,821 unit kenderaan (domestik+eksport) , juga kali pertama Proton melepasi angka jualan 100,000 unit kenderaan sejak 2015. Angka jualan itu meningkat 55.7 peratus berbanding 2018.
Ini meletakkan Proton sebagai satu daripada lima jenama automotif yang mencatatkan jualan tertinggi Malaysia sepanjang 2019. Perkongsian keseluruhan pasaran yang dikuasai pengeluar nasional itu sepanjang tahun dianggarkan 16.7 peratus, iaitu angka tertinggi sejak 2014.
BACA >>> 7 Perkara Patut Anda Tahu Tentang Proton Iriz (2019) Facelift - Harga Bermula RM36,700!
X70 PALING LARIS
Berikut prestasi angka jualan dicatatkan Proton sepanjang 2019 membabit lima model, seperti berikut:
- Proton X70 - 26,331 unit
- Proton Saga - 38,144 unit (3,892 unit - Disember 2019), meningkat 36 peratus
- Proton Persona - 21,876 unit (3,384 unit - Disember 2019), meningkat 29 peratus
- Proton Iriz - meningkat 97 peratus
- Proton Exora - meningkat 40 peratus
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, X70 dan Saga adalah ramuan utama kepada kejayaan jualan Proton sepanjang 2019.
"Kami terkesan dengan populariti X70 dan mahu berterima kasih kepada semua pelanggan kami atas sokongan mereka walaupun ia segmen pasaran baharu buat Proton.
"Bagi Saga, dengan lebih 41,000 tempahan dan masih meningkat, ia kekal sebagai produk teras kami dan pilihan popular tanpa mengira usia, status dan kuasa beli pembeli, menjadikan ia kereta buat semua rakyat Malaysia.
Menurutnya, Proton bekerja keras melancarkan empat model dinaik taraf pada 2019, sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Hasilnya, angka jualan dicapai membuktikan pengeluar nasional itu berada atas landasan tepat yang mana keputusan memperkenalkan empat model tahun lalu dengan ciri pintar mendapat sambutan baik kalangan pembeli.
"Pada masa sama, kami juga menumpukan kepada penambahbaikan kualiti produk dan menjelang akhir 2019, skor audit kualiti dalaman syarikat mendapat 1,190 mata GCPA, meningkat lebih enam kali ganda berbanding 2017 ketika kami mula menggunakan unjuran tersebut.
"Ini juga skor kualiti yang lebih baik berbanding apa Geely ada sekarang, membuktikan kejayaan usaha kami," kata Dr Li.
BACA >>> Proton Perkenal Model MPV, SUV Baharu Tahun Depan!
Leave a Reply