SELEPAS setahun dipasarkan di Malaysia, Proton X70 versi pemasangan tempatan (CKD) kini siap sedia dikeluarkan di kilang baharu Proton di Tanjung Malim, Perak. Pengeluaran model kenderaan utiliti sukan (SUV) itu berjalan seperti mana dijadualkan Proton sebelum ini.
Sejak dilancarkan 12 Disember tahun lalu, SUV segmen-C paling laris di Malaysia itu bakal dipasangkan di kilang baharu Proton yang bernilai RM1.2 bilion. Proton turut bekerjasama dengan pembekal tempatan dan luar negara bagi memastikan stok komponen dan alat ganti mencukupi bagi operasi pemasangan produk pertama X70.
Pengerusi Proton, Datuk Sri Syed Faisal Albar berkata, Proton sekali lagi mencatatkan sejarah dengan mengambil satu langkah ke depan untuk menjadi jenama automotif bertaraf global. Melalui pengeluaran X70 di Tanjung Malim, Proton mengambil langkah besar dalam mengetengahkan kebolehan pengeluar nasional itu.
"Kilang baharu ini bukan saja akan memasang produk-produk baharu yang akan dibangunkan bersama Geely, tetapi berfungsi sebagai pusat pengeluaran bagi model pemanduan sebelah kanan untuk pasaran luar," katanya.
Sebagai persediaan permulaan operasi pengeluaran, Proton bekerjasama dengan pembekal tempatan supaya seiring syarikat lain yang lebih awal membekalkan komponen untuk X70. Hasil daripada usaha tersebut adalah bentuk tujuh kerjasama baharu antara syarikat tempatan dan luar negara dalam perkongsian kecekapan dan sumber pengeluaran.
Antara tawaran lain yang turut dicapai melalui kerjasama itu adalah perjanjian teknikal dan pelaburan asing bernilai RM263 juta dan peluang pekerjaan 1,084 tenaga kerja. Dengan adanya pembuatan X70 dan model lain pada masa depan di kilang Tanjung Malim itu, Proton dijangkan membantu membangunkan komuniti pembekal tempatan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata, Proton dan pembekal tempatan adalah tunjang dalam industri automotif Malaysia yang menyumbang kepada ekonomi negara.
"Dengan pengenalan pelbagai teknologi baharu yang membantu mengembangkan kecekapan industri, Kerajaan harap ini membuka peluang buat Malaysia untuk menembusi pasaran antarabangsa dan menjadi peneraju dalam membekalkan komponen automotif," katanya.
BACA>>>Proton X70 CKD Lancar Bulan Depan, Bakal Ada Talaan Proton Ride & Handling?
BACA>>>#ApaNakBuat: Bagaimanakah Cara Kemas Kini Perisian Unit Infotainment Proton X70?
Leave a Reply