PELANA motosikal biasanya dilapisi pelapik kulit untuk memberikan keselesaan kepada penunggang dan pemboncang. Material pelapik kulit yang digunakan itu pula ada pelbagai jenis, sama ada kulit sintetik, kulit lembu dan kulit bebiri.
Antara tiga jenis material itu, kulit sintetik paling banyak digunakan pengeluar kerana kos lebih murah. Namun, material jenis ini jugalah paling mudah rosak. Biasanya ia hanya mampu bertahan lebih kurang empat tahun mengikut cara penggunaan pemilik.
BACA >>> Honda Patenkan Sistem Kawalan Suhu Pelana Motosikal
CARA RAWAT KULIT SINTETIK
Penjagaan kulit sintetik tidak sukar, cukup hanya menggunakan lilin (wax) khas yang banyak dijual di pasaran. Boleh beli di kedai aksesori kenderaan atau kedai kasut. Anda hanya perlu sapukan lilin tersebut 1-2 bulan sekali. Lilin digunakan itu akan bertindak sebagai lapisan pelindung supaya kulit sintetik tidak mudah kering.
Apabila kering, material akan mudah pecah, merekah, retak dan menggelupas. Jadi, bahan lilin inilah yang akan mengekalkan kelembapan kulit sintetik.
Tahukah anda, bukan kulit asli saja, kulit sintetik pun perlu dilembapkan supaya kandungan bahan poliretana (polyrethane) tidak kering. Sebagai makluman, poliretana adalah sejenis getah atau polimer yang biasa dipakai untuk menghasilkan kulit sintetik.
Selain itu, kulit asli juga perlu dirawat dan disapu dengan lilin khas supaya keadaannya kekal terjaga. Paling penting, gunakan jenis lilin yang betul.
SUMBER: Suzuki.co.id
Leave a Reply