VOLVO mengumumkan pelancaran kerusi kanak-kanak Volvo generasi baharu yang menjadi sebahagian daripada komitmen syarikat automotif itu dalam memastikan tiada orang yang terbunuh atau cedera teruk dalam kereta Volvo menjelang 2020.
Pengeluar kereta Sweden itu mendakwa kerusi tersebut menumpukan kepada rekabentuk, keselesaan dan mudah. Ketua Teknikal Kanan bahagian Pencegahan Kecederaan di Volvo Car Safety, Lotta Jakobsson berkata, ramai pengguna mengadu isu keselamatan kanak-kanak dalam kereta sebagai perkara rumit dan kadangkala menjadi subjek yang mengelirukan.
SESUAI PELBAGAI PERINGKAT UMUR, SAIZ
"Selama beberapa tahun kami menumpukan usaha mendalami panduan jelas mengenai bagaimana kerusi kanak-kanak sepatutnya digunakan dan cara terbaik memasangnya.
"Fokus kami adalah memastikan kanak-kanak berada dalam perjalanan dengan cara paling selamat bergantung kepada saiz dan usia mereka. Ini bermakna kerusi hadap-belakang sesuai untuk kanak-kanak sekurang-kurangnya tiga atau empat tahun, sebelum beralih kepada boster (booster) atau kerusi kanak-kanak sehingga mencapai ketinggian 140sm.
"Faedah keselamatan masih lagi dipertikai. Ramai ibu bapa tidak menyedari meletakkan kanak-kanak dalam kerusi hadap-depan terlalu awal. Salah satu alasan terbanyak ialah keselesaan, kerana anak-anak mereka mengadu tidak cukup ruang letak kaki dan terlalu panas akibat kesan upholsteri," kata Lotta.
Volvo melancarkan tiga kerusi kanak-kanak, satu kerusi bayi, dan boster yang dibangunkan bersama dengan syarikat pengeluar kerusi kanak-kanak, Britax-Romer. Kerusi baharu itu direka untuk dipadankan dengan keperluan kanak-kanak pelbagai peringkat umur dan saiz.
- Kerusi Bayi – hadap-belakang (hingga 13kg atau 9 bulan).
- Kerusi Kanak-Kanak – hadap-belakang, daripada 9 bulan hingga 6 tahun (sekurang-kurangnya 3 hingga 4 tahun seperti saranan Volvo).
- Kerusi Booster - hadap-depan bagi kanak-kanak yang beralih daripada kerusi hadap-belakang (bermula 3 hingga 10 tahun).
“Kami percaya kanak-kanak akan lebih selesa menggunakan kerusi hadap-belakang ini dan akan menggalakkan ibu bapa meletakkan anak-anak mereka dalam kerusi tersebut lebih lama.
"Ini ialah impak langsung kepada keselamatan kanak-kanak dan menjadi sokongan kepada Visi 2020 kami, di mana tiada orang yang akan terbunuh atau cedera teruk dalam kereta Volvo menjelang 2020," katanya lagi.
Apakah kerusi Volvo ini akan memasuki pasaran Malaysia? Harap-harap ya. Tetapi apa yang menyedihkan adalah ramai kalangan ibu bapa negara ini yang masih kurang peka tentang kepentingan meletakkan anak-anak dalam kerusi khas. Dan statistik kemalangan pula semakin meningkat saban tahun. Sedih bukan. :'(
SUMBER: Sweedespeed.com
Leave a Reply