KAWASAN padok yang dipercayai berlaku insiden kecurian pada Kejuaraan Dunia MotoGP Malaysia, hujung minggu lalu adalah di bawah tanggungjawab Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan bukan kawasan rondaan polis, beritahu Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), ACP Zulkifli Adamshah, dipetik Bernama.
“Ketika acara berlangsung, kawasan padok di bawah SIC dan SIC perlu melantik syarikat keselamatan khusus bagi mengawal keadaan sebagaimana ditetapkan penganjur MotoGP. Sebab itu, untuk masuk ke kawasan itu, perlu ada pas khas dikeluarkan SIC,” katanya.
BACA >>> Khemah Pasukan Moto3, Moto2 di Sepang Kena Pecah Masuk, Rugi Sampai RM233k!
Dalam pada itu, polis menahan tiga pengawal keselamatan di SIC bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian komponen dan barangan beberapa pasukan lumba pada MotoGP Malaysia, minggu lalu.
Zulkifli berkata, tiga lelaki tempatan berusia antara 20-30 tahun ditahan pada kira-kira jam 1 pagi kelmarin (02/11).
“Mereka ditahan ketika dipanggil ke IPD KLIA semalam, dan polis mendapat perintah reman untuk menahan mereka selama tiga hari hingga Rabu ini (6 November),” katanya.
SIC kecoh dengan insiden kecurian melibatkan beberapa pasukan yang dipercayai berlaku awal pagi Jumaat lalu, antara jam 1 hingga 5 pagi. Pasukan yang menanggung kerugian terbesar ialah Angel Nieto yang kehilangan beberapa alat ganti seperti tayar depan, set lengkap absorber dan brek untuk jentera kelas Moto2 dan Moto3.
Leave a Reply