TOYOTA Corolla Altis sudah terjual 46 juta unit sejak diperkenalkan pada 1966 dan menjadi antara model Toyota paling laris di dunia.
Corolla generasi pertama memberikan sumbangan penting terhadap perkembangan pengangkutan di Jepun. Malah, model sama juga menjadi kereta pertama yang dipasarkan secara pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia. Sehingga kini, lebih 150,000 unit Corolla terjual di pasaran negara ini.
Terbaharu, sedan segmen-C itu kembali dengan menampilkan perubahan signifikan sebagai memenuhi keperluan dan gaya hidup pengguna masa kini menerusi konsep 'Prestij dan Maju' (Prestige and Advanced).
ENJIN 1.8L
Toyota Corolla Altis dijana enjin 2ZR-FE 16 injap 4-silinder 1.8L DOHC dengan teknologi Dual VVT-i. Enjin ini menawarkan keseimbangan terbaik antara prestasi dan kecekapan menerusi hamburan kuasa 137hp @ 6,400rpm dan tork 172Nm @ 4,000rpm.
Sistem transmisi daripada jenis automatik CVT 7-kelajuan Sequential Shiftmatic yang ditambah baik dengan kawalan terotel elektronik (ETC) untuk menghasilkan tahap pemanduan, kelancaran, kesenyapan dan penggunaan bahan api terbaik.
BACA >>> Toyota Corolla GR yang Berkuasa, dan Seronok Dipandu Bakal Muncul?
1. VARIAN DAN HARGA
Corolla Altis versi Malaysia ditawarkan dalam dua pilihan varian iaitu:
- 1.8G - RM136,888
- 1.8E - RM128,888
* Harga tidak termasuk insurans.
2. PLATFORM TGNA, REKABENTUK DINAMIK
Dengan mengambil kira perubahan dan jangkaan pengguna, Corolla Altis generasi ke-12 dibina berasaskan platform baharu, Arkitektur Global Baharu Toyota (Toyota New Global Architecture, TGNA) yang berkonsepkan rekabentuk dinamik.
Lampu utama dipadankan lampu siang (DRL) LED dengan kemasan krom yang menyerlahkan gaya dinamik selain tampak lebar dari depan (1.8G).
Gril signatur trapezoid lebar dengan sudut bampar depan dan belakang menonjol memberikan karakter tegas, manakala imej dapat dilihat jelas pada hujung bampar dan lampu belakang kombi baharu. Posisi cermin sisi dianjak dari pilar-A ke panel pintu.
Posisi baharu dan perumah cermin sisi direka semula menyumbang kepada jarak pandang belakang yang lebih baik. Malah, kini didatangkan ciri cermin sisi elektrik, manakala varian 1.8G dilengkapkan ciri cermin sisi laras automatik yang berubah apabila pemandu memasukkan gear undur (R).
Corolla Altis 1.8G tampil dengan lampu utama LED dan plat krom bentuk J berganda, manakala Corolla Altis 1.8E dipadankan aksen plat krom bentuk J tiga ganda. Kedua-dua varian datang siap dengan lampu kabus LED. Bahagian roda 1.8G dipasangkan rim aloi 17 inci multijejari dan 1.8E dipadankan rim aloi 16 inci jejari pintal.
BACA >>> Toyota Corolla (2019) Versi Sedan Ini Mungkin ke Malaysia Tahun Ini?
3. ADA 5 WARNA MENARIK
Corolla Altis serba baharu yang diimport dari Thailand ini ditawarkan dalam lima warna pilihan:
- Celestite Gray (kelabu) - warna baharu
- White Pearl CS (putih)
- Silver Metallic (perak)
- Red Mica Metallic (merah)
- Attitude Black (hitam)
4. KABIN LUAS DAN MODEN
Bahagian kabin direka untuk keselesaan dan keluasan. Pembaharuan dilakukan pada rekabentuk panel instrumen supaya kabin nampak lebih luas dan selesa, serta elegan. Ciri lain ialah meter optitron dengan paparan multi-info (MID) 7 inci yang boleh diubah kepada paparan meter analog dan digital, monitor pemandangan panorama dengan imej 3D, cermin pandang belakang elektrokromatik, mod Sport dengan pedal syif dan pelindung cahaya matahari belakang.
Corolla Altis 1.8E datang dengan pakej meter MID standard 4.2-inci bersama panel TFT dan paparan berwarna. Kedua-dua varian ada ciri penghidup pintar tanpa kunci aka keyless untuk pemandu dan penumpang depan.
Kerusi 1.8G daripada jenis kulit asli dan sulaman ganda, manakala 1.8E menggunakan fabrik upholsteri dengan sulaman tunggal. Bagi mendapatkan posisi pemanduan ideal, kerusi Corolla Altis boleh dilaraskan mengikut keselesaan dengan 8-tetapan.
Keselesaan penumpang belakang juga tidak dilupakan. Toyota memilih material kusyen baharu untuk mendapatkan lebih banyak agihan berat penumpang atas kusyen kerusi. Kusyen belakang dan saiz perehat tangan tengah (meningkat 244mm) dioptimumkan untuk memastikan keselesaan lebih baik. Ventilator penyaman udara baharu di konsol belakang mampu menyejukkan kabin dengan cepat.
Kedua-dua varian memiliki sistem audio berkualiti tinggi 6.8-inci sebagai standard dengan enam pembesar suara. Turut tersedia ialah sambungan USB mirroring, auksiliari (AUX) dan Bluetooth. Port mengecas tersedia pada konsol tengah bersama wayarles Qi.
Ruang simpanan juga banyak. Kotak utiliti boleh memuatkan telefon pintar 5.5 inci, cakera padat dan peranti lain, manakala poket pintu boleh memuatkan botol besar dan kecil.
5. CIRI KESELAMATAN
Ciri keselamatan turut menjadi antara tawaran penting buat Corolla Altis. Varian 1.8G dipakejkan sistem keselamatan termaju Toyota Safety Sense (TSS), terdiri lima sistem canggih iaitu:
- Sistem Pra-Perlanggaran (PCS) dengan Pengesan Pejalan Kaki dan Penunggang Basikal (PCD)
- Amaran Tukar Lorong (LDA) dengan Bantuan Stereng (SA),
- Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC)
- Lampu Suluh Tinggi Automatik (AHB)
- Bantuan Jejak Lorong (LTA)
1.8G juga dilengkapi ciri tambahan Brek Parkir Elektrik (EPB) dan brek pegun automatik (Brake Hold). Kedua-dua varian dibekalkan ciri keselamatan standard seperti:
- 7 beg udara SRS
- Tali keledar ELR 3-poin
- Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC) dengan kawalan traksi
- Sistem Brek Anti-Kunci (ABS)
- Kawalan Bantuan Daki Bukit (HAC)
- Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS)
BACA >>> Mazda3 (2019) Kini di Malaysia, Inilah Kereta Segmen-C Paling Seksi Buat Masa Ini
SISTEM VTS
UMW Toyota menawarkan pemasangan Sistem Telematik Kenderaan (VTS) yang dapat mengesan lokasi kereta menggunakan GPS/GSM sepanjang masa. Ini cukup membantu sekiranya berlaku kecurian, termasuk meninjau dan merekodkan halaju berserta input lain sebelum dihantar kepada e-mel pengguna.
Leave a Reply