JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak semalam membuka bidaan tempahan bagi nombor pendaftaran kenderaan siri 'ALL' kepada orang awam bermula esok hingga Isnin depan.
Pengarah JPJ Perak, Severinus Tukah berkata, pihaknya mensasarkan jumlah bidaan lebih RM1 juta untuk keseluruhan nombor pendaftaran siri 'ALL' yang akan dibuat menerusi Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) buat kali pertama di Perak.
"Sasaran itu dijangka mampu dicapai berdasarkan sambutan pada siri nombor pendaftaran lalu yang dibida secara manual iaitu AKU dengan mengutip RM3.1 juta dan juga kutipan tertinggi JPJ Perak setakat ini.
"Selain itu, nilai bidaan dan jualan siri ALA pula merekodkan RM1.6 juta, diikuti ALE sebanyak RM1.1 juta," katanya dipetik Bernama dalam sidang media di Ipoh, semalam. Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Bahagian Pelesenan Kenderaan JPJ, Mohd Hafiz Shamsani Othman.
Severinus berkata, ada empat kategori harga tempahan yang ditawarkan kepada orang ramai, iaitu nombor utama berharga minimum RM20,000, dan nombor menarik berharga minimum RM3,000.
“Selain itu, harga minimum RM800 dikenakan kepada mereka yang mahu menempah nombor pendaftaran siri kategori nombor popular dan harga minimum RM300 untuk nombor biasa,” katanya.
Severinus berkata lagi, bidaan selama lima hari itu dibuka bermula jam 12 malam Khamis ini (tengah malam esok) hingga 11.59 malam pada hari terakhir. Kaedah pembayaran JPJebid adalah menggunakan kad kredit dan kad debit tempatan sahaja.
Sementara itu, orang ramai yang berminat membida nombor diminati dengan bayaran Fi Perkhidmatan RM10 boleh mengakses sistem secara dalam talian menggunakan aplikasi JPJebid atau melalui portal jpjebid.jpj gov.my.
LELONGAN KERETA SITA - 25 SEPTEMBER 2019
Menurut Severinus, JPJ Perak juga akan melakukan lelongan kenderaan yang disita atas pelbagai kesalahan pada 25 September ini.
Katanya, sebanyak 81 kereta, tiga van, sebuah lori dan 20 motosikal akan dilelong, termasuk kenderaan jenis BMW 5 Series, Toyota Wish, Toyota Alphard, Toyota Estima dan Honda Odyssey.
"Semua kenderaan yang akan dilelong mula dipamerkan di JPJ Ipoh pada hari ini (semalam) hingga Selasa depan dan sesiapa berminat boleh mendapatkan dokumen jualan lelongan pada harga RM70," katanya.
Leave a Reply