BARU-BARU ini tular di media sosial tentang video perbandingan petrol jenis RON 95 dan RON 97 yang dikritik ramai kerana memberikan maklumat tidak tepat dan mengelirukan. Kami tidak mahu mempertikaikan kredibiliti hos video tersebut memandangkan kami sendiri bukan pakar teknologi, pakar ekonomi, jaguh sukan dan juga jutawan (kenapa kena menyanyi kalau boleh baca macam biasa?).
Namun, kita ada banyak sumber rujukan sahih yang boleh dicari sendiri, terutama di Internet daripada laman-laman berkredibel. Berikut beberapa mitos mengenai RON 95 vs RON 97 yang dapat kami rungkaikan berasaskan sumber yang dinyatakan di akhir artikel ini. 🤨
1. RON 97 BERI KUASA LEBIH TERHADAP KENDERAAN?
Tidak begitu tepat. Nombor oktana kajian (research octane number, RON) cuma klasifikasi untuk ketahanan petrol daripada terbakar sendiri dalam enjin sebelum nyalaan palam pencucuh bermula, disebut pra-nyalaan (pre-ignition).
Pra-nyalaan boleh berlaku daripada tekanan dan suhu tinggi yang terhasil ketika enjin bekerja. Jadi, semakin tinggi keupayaan enjin untuk menghasilkan kuasa, semakin tinggi tekanan dan suhu terhasil. Maka semakin tinggilah keperluan enjin kepada petrol berketahanan tinggi daripada terbakar sendiri.
Bagi kebanyakan kenderaan prestasi tinggi yang ditala untuk menghasilkan kuasa optimum dengan petrol RON 97 atau lebih, anda kemungkinan besar akan peroleh tambahan kuasa apabila menukar petrol yang anda gunakan daripada RON 95 kepada RON 97.
Bagaimanapun, jika kenderaan sudah ditala untuk menggunakan RON lebih rendah, misalnya RON 92 atau RON 95, penggunaan RON 97 tidak akan memberikan sebarang perbezaan ke atas prestasi kenderaan.
2. GUNA RON 97 UNTUK PERODUA AXIA AKAN BUAT ENJIN MUDAH ROSAK?
Ada mitos mendakwa RON 97 tidak sesuai digunakan kenderaan berenjin kapasiti rendah, misalnya Axia. Ini tidak benar.
Jika pengeluar, misalnya Perodua sendiri sudah merekomenkan (recommended, ada ditulis di sebalik penutup tangki petrol) kenderaan anda sesuai untuk petrol RON 95 atau lebih tinggi, itu bermakna penggunaan RON 97, RON 100 atau lebih tidak akan menyebabkan kerosakan kepada kenderaan.
Bagaimanapun jika pengeluar menyarankan kenderaan anda perlu (required) menggunakan RON 97 atau lebih, tindakan menggunakan RON 95 akan menimbulkan masalah ke atas enjin, terutama masalah knocking (bunyi ketukan kuat daripada enjin) yang jika dibiarkan boleh mendatangkan kerosakan.
Kebiasaannya kenderaan sebegini mempunyai enjin dengan nisbah mampatan tinggi atau dipacukan sistem induksi (pengecas turbo atau supercas) yang memberikan tekanan dan suhu tinggi ketika bekerja. Ini membuatkan enjin itu memerlukan petrol berketahanan tinggi terhadap pra-nyalaan.
Jika tidak, letusan gelombang pembakaran yang terhasil daripada pra-nyalaan akan bertembung dengan gelombang letusan daripada nyalaan palam pencucuh, maka terhasillah bunyi kuat aka knocking. Ibarat tamparan berganda isteri tua dan isteri muda yang hinggap ke pipi sang suami selepas terkantoi dimadukan macam dalam drama jam Maghrib.
BACA >>> #TahukahAnda: Bagaimanakah Nozel Pam Minyak Boleh Berhenti Sendiri?
3. GUNA PETROL RON 97 LEBIH JIMAT?
Jika kenderaan anda sudah ditala untuk RON 95 atau lebih rendah, menggunakan RON 97 tidak akan beri sebarang penjimatan. Kalau ada pun, penjimatan tersebut tidak signifikan.
Bagaimanapun, ada beberapa situasi penggunaan RON 97 dapat memberikan ekstra menjimatkan seperti memandu di kawasan berbukit. Ini kerana memandu dalam situasi berkenaan dalam tempoh lama akan meningkatkan stres dan suhu dalam enjin, sekali gus menyebabkan simptom knocking berlaku.
Rata-rata kenderaan masa kini mampu melengahkan pemasaan nyalaan untuk mengurangkan kesan knocking hingga anda sendiri mungkin tidak sedar bilakah simptom itu berlaku. Namun, kesan langsung yang boleh dirasai ialah enjin mengalami gejala hilang kuasa, manakala penggunaan bahan api terasa lebih boros.
Justeru dengan menukar RON 95 kepada RON 97, sebelum mendaki Bukit Fraser misalnya, anda dapat mengurangkan risiko knocking. Lantas, tanpa perlu melengahkan pemasaan nyalaan, enjin boleh beroperasi optimum dan anda tidak perlu memaksa pendikit untuk kekalkan daya pecutan.
Bagaimanapun dengan harga petrol RON 97 yang semakin meningkat naik, penjimatan penggunaan bahan api ini mungkin tidak begitu menjimatkan dompet anda.
4. RON 97 AKAN BUAT ENJIN LEBIH KOTOR?
Ada beberapa kiriman media sosial yang mendakwa penapis minyak (fuel filter) kenderaan mereka tersumbat selepas kerap mengisi petrol RON 97 sebagai rutin. Lalu, mereka pun mengakui petrol jenis ini memang sahih boleh mengotorkan enjin.
Ini sebenarnya bercanggah dengan kenyataan pengeluar dan juga fakta bahawa RON 97 diformulasi dengan aditif berkualiti tinggi yang mampu membersihkan enjin, terutama bahagian injap daripada sisa karbon untuk jangka masa panjang.
Berdasarkan maklumat kami peroleh, isu ini timbul mungkin disebabkan kualiti simpanan petrol RON 97, terutama di stesen petrol luar bandar kerana petrol jenis ini jarang digunakan. Ini menyebabkan keladak dalam tangki rizab mudah terkumpul. Jadi, jika anda mahu guna petrol jenis RON 97, seeloknya pilihlah stesen minyak yang anda yakini ramai orang menggunakan minyak mahal itu.
5. TIDAK ELOK CAMPUR PETROL BERBEZA JENAMA?
Ada pula mendakwa tidak elok mencampurkan petrol berlainan jenama kerana setiap jenama menggunakan formulasi berlainan. Benar, petrol bukan sekadar minyak petroleum semata-mata. Ada pelbagai campuran aditif tambahan, terutama detergen yang berfungsi membersihkan sistem masukan enjin dan juga pengubahsuai geseran (friction modifier) seperti ditawarkan Petronas.
Selain itu, sesetengah petrol seperti Petron disahkan menepati klasifikasi Euro 4M yang mana petrol jenis ini mempunyai kandungan sulfur lebih rendah, sekali gus membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar. Jadi jawapannya, ya, setiap jenama mempunyai formulasi berlainan untuk produk petrol masing-masing.
Namun, perbezaan itu tidaklah membawa kepada perubahan signifikan berbanding efek mencampurkan petrol RON 95 ke dalam kenderaan yang ditala untuk RON 97 atau lebih sahaja. Maknanya, selagi kita mengikuti jenis petrol yang disarankan pengeluar, tiada masalah untuk mencampurkan petrol daripada stesen jenama berlainan.
SUMBER:
Radil Bin Aniel says
Proton saga facelift 1.3 premium 2020.
Perlu kah menggunakn petrol ron97??
10:1 ratio enjin...
Tolong bagi penjelasan...
Rol says
Tak perlu
Nell says
Ron95 sesuai digunakan utk engine kapisiti berapa? Dan ron97 plk utk engine kapisiti berapa y sesuai? Jika Engine Mitsubishi 1.6,apakah jenis minyak y sesuai
Ezaiedishariff says
Berapakah cr yg sesuai utk mengunakan ron 97?