JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ), pada 27 Ogos lalu mengeluarkan 83 notis atas kesalahan cermin gelap dalam satu operasi bersepadu di Plaza Tol Sentul Pasar, Kuala Lumpur, malam itu.
Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata, Operasi Pengarah JPJ WPKL Bil 3/2019 itu berlangsung selama empat jam, bermula 8 malam dan disertai 42 pegawai dan anggota JPJ.
Menurut Ismail, ramai pengguna jalan raya masih tidak faham mengenai peraturan penggunaan cermin gelap yang dikuatkuasakan Mei lalu.
BACA >>> Kerajaan Umum Peraturan Baharu Cermin Gelap, Tiada Had Ketelusan Cermin Belakang
“Kenderaan motor yang didaftar dan digunakan untuk pengangkutan awam dan barangan, peratus ketelusan cahaya adalah tidak boleh kurang 70 peratus.
“Mana-mana individu boleh memohon menggunakan cermin lebih gelap dan setiap permohonan dikenakan bayaran RM5,000,” katanya.
Dalam operasi malam itu, sebanyak 418 notis dikeluarkan JPJ atas pelbagai kesalahan melibatkan 956 kenderaan . Daripada jumlah itu, 196 notis adalah atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh, 112 tiada lesen memandu dan selebihnya cermin gelap (83 notis).
JPJ turut menyita lapan kenderaan atas pelbagai kesalahan yang boleh dikenakan hukuman hingga tidak melebihi RM2,000 di bawah Seksyen 119, Akta Pengangkutan Jalan 1987.
SUMBER: Bernama
Leave a Reply