PENGEDAR rasmi kenderaan Subaru di lapan negara Asia, Motor Image tahun lalu menerbangkan beberapa wakil media automotif Malaysia untuk menghadiri pelancaran global Forester (2019) di Taiwan. Kami juga berpeluang memandu uji model kenderaan utiliti sukan (SUV) saiz pertengahan itu di Taichung, tengah Taiwan.
Selepas setahun Forester (2019) kini tiba ke pasaran Malaysia dengan perincian dan praktikaliti dikemas kini untuk keselesaan dan keseronokan memandu. SUV ini didatangkan dengan ciri keselamatan aktif dan bantuan pemandu yang menjadi sebahagian Teknologi Teras Subaru (SCT), terdiri daripada Platform Global Subaru (SGP), pacuan semua roda simeteri @ Symmetrical AWD, enjin boxer dan teknologi EyeSight.
Berikut fakta pantas yang perlu anda tahu tentang Forester (2019):
BACA >>> 13 Fakta Pantas - Subaru Forester (2019) dengan Teknologi EyeSight®, di Malaysia Tahun Depan
ENJIN 2.0L BOXER
Dikuasakan enjin 2.0L boxer berkuasa 154hp dan tork 196Nm dengan teknologi suntikan terus untuk prestasi optimum dan kecekapan bahan api terbaik. Keseronokan memandu dipertingkat menerusi transmisi CVT dengan mod manual 7-kelajuan baharu, dan dipadankan ciri Symmetrical AWD, iaitu sistem AWD simetri untuk hantaran kuasa lancar ke setiap roda.
Ciri ini menawarkan kestabilan dan kawalan optimun dengan respon stereng yang baik di selekoh. Begitu juga aspek keseimbangan dan kawalan traksi atas permukaan jalan basah, juga dalam talaan terbaik. Ini memudahkan pemandu meredah apa jua cabaran jalan dan rupa bentuk bumi.
TIGA VARIAN, HARGA BERMULA RM139k
Berbanding model global ditawarkan dalam empat pilihan varian, Forester (2019) spesifikasi Malaysia hanya menerima tiga varian iaitu:
- 2.0 i-S EyeSight - RM159,788
- 2.0 i-S - RM149,788
- 2.0 i-L - RM139,788
* Semua model akan mula berada di pusat pameran bermula esok
BACA >>> #SMS2019: Subaru Forester e-Boxer di Singapura, Malaysia Terima Versi Konvensional Dahulu
KEMAS KINI LUARAN SPORTY, KABIN LEBIH LAPANG
Kemas kini bahagian luaran Forester boleh dilihat pada gril, lampu depan dan belakang untuk kelihatan lebih elegan. Sementara varian 2.0i-S dan 2.0 i-S EyeSight didatangkan dengan rim 18 inci dan 2.0 i-L (17-inci).
Kabin Forester (2019) direka semula, konsol tengah menawarkan lebih banyak ruang dengan menggantikan brek tangan konvensional kepada brek parkir elektronik (EPB). Tidak ketinggalan, kabin diperhalusi menerusi ciri poket kerusi dengan pembahagian ruang simpanan, palam USB dan ventilator penyaman udara belakang konsol tengah.
Panel instrumen menampilkan paparan multifungsi berkualiti tinggi. SUV ini turut ditawarkan dengan tambahan ruang kaki belakang dan ruang kargo dengan bukaan pintu but lebih luas.
TEKNOLOGI EYESIGHT
Model spesifikasi Malaysia hanya menerima satu varian: Teknologi EyeSight, terdiri daripada:
- Brek Pra-Perlanggaran (PCB)
Sistem ini mengelak berlaku perlanggaran depan. Ia berfungsi dalam halaju 50kmj ke bawah. Sistem ini akan mengesan objek seperti pejalan kaki, basikal, motosikal dan objek lain. Jika ada risiko perlanggaran, sistem akan mengaktifkan brek secara automatik untuk memperlahankan atau menghentikan kereta apabila mengesan tiada respon segera daripada pemandu.
- Pengurusan Terotel Pra-Perlanggaran (PCTM)
Jika sensor mengesan pedal terotel dipijak dengan daya tidak diperlukan dan kenderaan berada berhampiran objek depan, sistem ini mengeluarkan amaran kepada pemandu dalam bentuk indikator amaran dan bunyi penggera, termasuk menyekat kuasa enjin supaya kenderaan bergerak perlahan bagi mengurangkan risiko perlanggaran mengejut.
- Amaran Keluar Lorong (LSW)
Apabila sistem mengesan kenderaan terkeluar dari laluan dalam halaju lebih 60kmj, sistem akan memberi amaran kepada pemandu dalam bentuk bunyi dan indikator amaran.
- Amaran Tukar Lorong (LDW)
Jika kenderaan terbabas dari laluan asal dalam halaju 50kmj ke atas, amaran bunyi dan indikator akan tercetus sebagai tanda amaran.
- Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
ACC akan mengawal halaju kenderaan untuk mengekalkan jarak yang ditetapkan dengan kenderaan depan pada kelajuan 0-180kmj. Ini meminimumkan penggunaan brek dan terotel.
- Amaran Kenderaan Depan (FCW)
Apabila kenderaan berhenti dan trafik mula bergerak, sistem akan mengeluarkan amaran bunyi dan indikator.
PLATFORM GLOBAL SUBARU (SGP)
Pembangunan Forester (2019) melibatkan proses merekabentuk semula casis berasaskan Platform Global Subaru (SGP) dengan menawarkan respons stereng tinggi, olengan badan berkurangan 50 peratus, ciri serapan perlanggaran dipertingkat hingga 40 peratus dan pengurangan bunyi bising jalan.
Aspek pemanduan kini lebih stabil. Selain itu, platform baharu ini turut menyumbang kepada jarak roda 30mm lebih panjang berbanding generasi keempat dan tambahan 33mm ruang kaki.
CIRI KESELAMATAN STANDARD
Demi ketenangan minda pemilik ketiga-tiga varian didatangkan dengan ciri keselamatan dan kelengkapan premium seperti:
- 7 beg udara
- Pautan tali pinggang keledar boleh laras tinggi (kerusi depan)
- Penyandar belakang kepala dengan tiga tahap pelarasan
- Tali keledar penumpang belakang 3 poin untuk ketiga-tiga kerusi
- 4 sensor/4 saluran Sistem Brek Anti Kunci (ABS) dengan Agihan Tekanan Brek Elektronik (EBPD)
- Sistem Bantuan Brek (BAS)
- ISOFIX
- Imobiliser
Ciri standard menawarkan:
- SI-Drive (Pacuan Pintar Subaru)
- X-Mode
- Kawalan Turun Bukit (HDC)
- Ciri brek pegun, Auto Vehicle Hold (AVH)
- Tork Pemvektoran Aktif (AVT)
- Sistem Kawalan Dinamik (DCS) Tunda Kenderaan
- Brek Parkir Elektronik (EPB)
BACA >>> Honda CR-V (2019) Euro Spec - Kini dengan Varian 7-Kerusi, dan Enjin Hibrid
Leave a Reply