KONTRAK Johann Zarco dengan Red Bull KTM Factory sepatutnya berakhir penghujung 2020 (tahun depan), tetapi pelumba Perancis itu nekad meninggalkan pasukan itu selepas berakhir saingan MotoGP musim ini.
Apa yang tidak kena dengan Zarco yang pernah digembar-gemburkan sebagai masa depan baharu MotoGP untuk menamatkan dominasi adinda Marc Marquez?
BACA >>> Rossi: Zarco Tak Ada Feeling dengan KTM
BUKAN KERANA WANG SEMATA-MATA
Juara Moto2 dua kali itu berhijrah ke KTM selepas tertarik dengan projek besar antara pasukannya Tech3 (masih bersama Yamaha ketika itu) dan pengeluar Austria itu. Sebagai balasan kesediaan Tech3 menguruskan pasukan satelit KTM, Zarco ditawarkan slot sebagai pelumba pasukan pengilang, Red Bull KTM Factory bersama Pol Espargaro yang sudah dua musim bersama KTM, sejak 2017.
Jadi ia bukan soal wang semata-mata, tetapi atas dasar rasa percaya Zarco kepada Tech3 yang bertanggungjawab menaikkan namanya dalam kancah kelas premier sebelum itu. Malah Espargaro sendiri ialah bekas pelumba Yamaha Tech3 (2014-2016) sebelum dia berhijrah ke KTM.
Apa dialami Zarco sama saja seperti pelumba negara, Hafizh Syahrin. Kedua-duanya cemerlang bersama Yamaha dan masing-masing berhutang budi dengan Tech3. Ketika mengemudi M1, Zarco meraih enam podium dan empat kali petak depan (pole) sepanjang dua musim bersama Yamaha Tech3.
Namun segalanya berubah sekelip mata apabila dia diberikan KTM RC16.
BACA >>> Zarco Mengaku Penat Bawa KTM, Semuanya Rasa Payah
NASIB BERUBAH BERSAMA KTM
Atas trek, Zarco terkenal dengan gaya tunggangan yang lembut dan lancar, tetapi semua itu hancur dengan KTM. Dia kemudian seakan menunjukkan peningkatan apabila meraih grid ke-12 (terbaik sepanjang musim ini) di GP Republik Czech lalu, dan dijangka melakukan kejutan pada aksi final.
Namun, Zarco sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-14. Pun masih di belakang rakan pasukannya, Pol Espargaro. Kalau kita lupakan sekejap tentang Espargaro, dan cuba bandingkan dia dengan rookie pasukan satelit Red Bull KTM Tech3, Miguel Oliveira, prestasinya memang teruk jika mengambil kira pengalaman dan reputasi dimiliki. Malah boleh dikatakan Zarco lebih teruk daripada Hafizh sendiri!
Atas kertas, prestasi Zarco dan Oliveira lebih kurang sama sahaja. Bezanya, Oliveira ialah rookie MotoGP, sebaliknya Zarco pernah tiga kali memijak podium.
APA LAGI TIDAK KENA?
Semua sudah dilakukan Zarco, termasuk meniru gaya Espargaro berlumba. Namun, setiap kali cuba ditiru, dia tergolek sebanyak tiga kali dalam tempoh seminggu ketika beraksi di Mugello.
Geram punya pasal, Zarco tampil mengeluarkan kenyataan pedas. Katanya, KTM sepatutnya menghasilkan RC16 yang dapat disesuaikan dengan gaya tunggangannya.
Sebaliknya kenyataan itu ditempelak pengurusan KTM yang membalas, Zarco sepatutnya sudah cukup bagus untuk menyesuaikan diri dengan RC16, dan bukan menyuruh pasukan pengilang itu mencampakkan segala penat lelah lebih empat tahun menghasilkan jentera MotoGP semata-mata untuk dirinya. Wow!
Penantian memang satu penyeksaan dan tempoh 18 bulan terlalu lama untuk menghalang bintang muda MotoGP itu. Persoalannya, ke mana Zarco selepas akhir musim ini?
Leave a Reply