PININFARINA S.p.A. ialah firma rekabentuk dan pembuat koc dari Itali yang terkenal dengan rekabentuk kenderaan berseni dan unggul. Syarikat ini diasaskan Battista 'Pinin' Farina (foto bawah) pada 1930, dan ia kini dimiliki konglomerat dari India, Mahindra Group sejak Disember 2015.
Pelanggan Pininfarina terdiri daripada pengeluar kereta eksotik dan premium seperti Ferrari, Maserati hingga jenama massa seperti Peugeot, Hyundai dan banyak lagi. Menariknya, pengeluar automobil dari Vietnam, VinFast turut mendapatkan khidmat firma tersebut.
BACA >>> VinFast - Kereta Nasional Vietnam, dan Siapa di Sebalik Pengeluar Automotif Itu?
Selepas 90 tahun menghasilkan pelbagai model untuk pengeluar kenderaan, dunia kini bakal menyaksikan lahirnya kereta hiper pertama buatan firma berkenaan, dipanggil Pininfarina Battista.
Bagi menghasilkan jenama sendiri dan syarikat penuh dalam bisnes automotif, Mahindra & Mahindra Ltd Investment menubuhkan Automobili Pininfarina dengan ibu pejabat di Jerman, terdiri daripada staf berpengalaman yang pernah berkhidmat bersama syarikat mewah dan premium.
Automobili Pininfarina ialah hasil perlesenan penjenamaan antara Pininfarina S.p.A. dan Mahindra & Mahindra Ltd. Projek kereta hiper Battista itu berlangsung sejak 2018 dan kini memasuki fasa untuk ditayangkan kepada umum.
BACA >>> Terlalu Pantas Punca Ferrari 288 GTO Evoluzione Jadi Supercar Eksotik
MUNCUL DI GENEVA
Kereta itu dipamerkan di Pameran Motor Geneva, Mac tahun ini sebelum akan diperkenalkan di Amerika Syarikat (AS) sempena acara acara Pebble Beach, 15 Ogos ini, untuk mengisi slot Monterey Car Week.
Prestasi Battista memang luar biasa, badannya dibuat daripada gentian karbon dengan janaan motor elektrik dan bateri berkuasa 1,900hp dan tork 2,300Nm. Pecutan 0-100kmj hanya mengambil masa kurang 2 saat, manakala kelajuan maksimum sekitar 402kmj.
Selain kuasa luar biasa, Battista juga boleh dipandu jauh, dengan jarak perjalanan 450km untuk sekali cas penuh. Kereta hiper ini dikuasakan bateri 120kWh yang membekalkan tenaga kepada empat motor elektrik setiap satu roda.
Individu di sebalik Battista juga bukan biasa-biasa. Projek ini diseliakan Pengarah Rekabentuk, Luca Borgogno, Pengarah Kereta Sport, Rene Wollman, dan Ketua Pemandu Pembangunan, Nick Heidfeld.
Borgogno sudah lama berkhidmat di bawah studio Pininfarina dan pernah bekerja dengan Lamborghini. Wollman pula berpengalaman dalam menerajui pembangunan kereta hiper Mercedes-AMG Project One, manakala Heidfeld rasanya tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau ialah bekas pelumba Formula Satu (F1) dan Formula E dengan pengalaman 20 tahun.
Mereka yang berminat (dan sangat kaya) kini boleh buat tempahan dan penghantaran akan dibuat pada lewat 2020. Battista akan dibina di Itali dan sebanyak 150 unit sahaja. Daripada jumlah itu, 50 unit diperuntukkan untuk pasaran Eropah, 50 unit (Amerika Utara) dan bakinya untuk Timur Tengah dan Asia.
Harga? €2 juta (RM9.42 juta) sahaja.
BACA >>> 10 Fakta Menarik Tentang KISKA, Firma Rekabentuk di Sebalik Kebangkitan KTM
Leave a Reply