MUNGKIN jualan memberangsangkan ini sedikit sebanyak membantu MV Agusta mengatasi masalah kewangan yang dihadapi pengeluar itu.
Baru saja tempahan awal dibuka Jun lalu, MV Agusta Superveloce 800 Serie Oro tidak perlu menunggu lama untuk menghabiskan 300 unit model edisi terhad itu.
MV Agusta dalam satu kenyataan memaklumkan semua unit sudahpun ada pemilik masing-masing, dengan tempahan dibuat secara atas talian dan media sosial sahaja. Malah, 300 unit Brutale 1000 Serie Oro juga habis dijual.
BACA >>> Tempahan MV Agusta Superveloce 800 Serie Oro Dibuka, Cuma 300 Unit Dikeluarkan
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MV Agusta, Timur Sardarov berkata, perkembangan terbaharu itu menjadi bukti MV Agusta kini atas landasan betul dalam meneruskan tradisi jenama tersebut menerusi inovasi berterusan, prestasi mengagumkan dan rekabentuk hebat.
“Seramai 600 peminat motosikal sedunia menunjukkan penghargaan buat jenama ikonik dan motosikal unik ini. Kami akan lakukan apa saja untuk membuatkan mereka bangga memiliki karya seni ini," katanya.
BACA >>> MV Agusta Dedah Harga Brutale 1000 Serie Oro Edisi Terhad, RM201,700
Superveloce Serie Oro yang bakal dilancarkan tahun depan, dijual pada harga €27,990 (RM131,300) seunit. Superbike ini dibina berasaskan model F3 800 dengan sentuhan klasik jentera Grand Prix (GP).
Model yang dipamerkan pada Pameran Motosikal Milan (EICMA) 2018 itu, dijana enjin 3-silinder 798cc berkuasa 148hp @ 13,000rpm dan tork 88Nm @ 10,600rpm.
Pembangunan superbike tersebut dimulakan dengan asas casis, enjin dan brek F3 800. Namun, untuk Superveloce, MV Agusta melakukan pemetaan semula ke atas enjin untuk mendapatkan julat pertengahan lebih baik. MV Agusta turut bekerjasama dengan SC-Project untuk menghasilkan ekzos asimetri 3-1-3 sebagai tribut kepada sejarah perlumbaan MV Agusta.
BACA >>> MV Agusta Bakal Perkenal Superveloce Versi Pengeluaran Massa yang Lebih Murah
SUMBER: Visordown
Leave a Reply