JUN lalu kami terbang ke Jepun bersama Mazda Malaysia untuk memandu uji Mazda3 (2019) generasi keempat sebelum dibawa masuk ke pasaran tempatan. Masa dinanti kini sudah tiba apabila kereta segmen-C itu rasmi dilancarkan menerusi tawaran versi sedan dan hatchback.
Dijual pada harga bermula RM139,000 hingga RM160,000, berikut ialah tujuh perkara menarik yang patut anda tahu mengenai Mazda3 (2019).
1. LIMA PILIHAN VARIAN
Mazda3 (2019)yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun berkenaan ditawarkan dengan lima pilihan varian bersama tujuh warna menarik buat pengguna tempatan. Tentunya harga jualan sedikit mahal kerana status model import, berikut senarai harga mengikut varian untuk pasaran Malaysia:
- Mazda3 1.5 Skyactiv-G sedan/hatchback: RM139,620
- Mazda3 2.0 Skyactiv-G sedan (High): RM150,059
- Mazda3 2.0 Skyactiv-G sedan/hatchback (High Plus): RM160,059
*Harga atas jalan tidak termasuk insurans
2. TUJUH WARNA PILIHAN
- Soul Red Crystal - Merah
- Polymetal Grey - Kelabu Polymetal
- Machine Grey - Kelabu Machine
- Snowflake White Pearl - Putih
- Sonic Silver - Perak
- Deep Crystal Blue - Biru
- Jet Black - Hitam
BACA >>> Brosur Mazda2 Facelift Bocor Sebelum Rasmi Dilancarkan di Jepun
3. ADA DUA PILIHAN ENJIN - 1.5L & 2.0L Skyactiv-G
Sayangnya Mazda3 (2019) pasaran Malaysia tidak menerima pilihan enjin Skyactiv-D 1.8L Diesel, Skyactiv-G 2.5L dan Skyactiv-X. Ini mungkin juga mengambil kira cukai dan harga insurans yang lebih mahal. Tawaran enjin petrol 1.5L dan 2.0L sudah cukup untuk segmen-C dan bersaing secara sihat dengan model sedia ada di pasaran.
Enjin bersesaran 1,496cc (1.5L) mampu menghasilkan kuasa 118hp pada 6,000rpm dan tork maksimum 153Nm pada 4,000rpm. Manakala enjin bersesaran 1,998cc (2.0L) pula menghamburkan kuasa 162hp pada 6,000rpm dan 213Nm tork. Penghantaran kuasa ke roda depan disalurkan menerusi kotak gear automatik 6-kelajuan Skyactiv Drive.
Sementara itu kelajuan maksimum dan rekod kecekapan bahan api di atas kertas bagi setiap varian ialah:
- Mazda3 1.5 Skyactiv-G sedan: 200kmj/ 5.8L per 100km
- Mazda3 2.0 Skyactiv-G sedan (High): 216kmj/ 6.2L per 100km
- Mazda3 2.0 Skyactiv-G sedan (High Plus): 216kmj/ 6.2L per 100km
- Mazda3 1.5 Skyactiv-G hatchback: 193kmj/ 5.9km per 100km
- Mazda3 2.0 Skyactiv-G hatchback (High Plus): 207kmj/ 6.3L per 100km
4. LEKUK BADAN YANG MENGGIURKAN
Penampilan baharu Mazda3 (2019) mengambil ilham Konsep Kai menerusi lampu depan LED runcing dan gril besar agresif. Bahagian bawah bampar depan kelihatan ambilan udara, diapit lampu kabus kecil. Lampu belakang diperincikan dengan rekaan bulatan ganda untuk setiap kluster dengan hujung but ditinggikan seperti ekor itik, mirip spoiler.
Bawah bampar belakang kelihatan ekzos kembar dan perkataan Mazda3 dengan fon baharu berbanding versi lama. Melengkapkan penampilan seksi berkenaan Mazda menawarkan rim 18-inci hanya pada varian High Plus dan 16-inci untuk varian yang lain.
Dimensi Mazda3 (2019) juga bertambah berbanding versi sedia ada. Model sedan memiliki panjang 4,662mm (bertambah 82mm), lebar 1,797mm (+2mm) dan tinggi 1,445mm (+5mm), manakala jarak roda dipanjangkan 25mm kepada 2,725mm. Manakala versi hatchback pula memiliki panjang 4,459mm (pendek 1mm), lebar 1,797mm (+2mm), dan tinggi 1,440mm (-10 mm).
BACA>>>Mazda3 (2019) Tawar Teknologi SkyActiv-X, Enjin Petrol dengan Pembakaran Cara Diesel
5. KABIN RINGKAS
Mazda cukup terkenal dengan bentangan kabin ringkas, bersih dan mudah dikendalikan. Pengguna tidak memerlukan masa untuk serasi dengan butang kawalan yang ada dalam kabin. Kesemua varian ditawarkan dengan kluster instrumen berwarna TFT bersaiz 7-inci yang memaparkan pelbagai maklumat berkaitan kenderaan dan paparan head-up berwarna.
Kemasan kulit boleh dilihat pada tombol gear dan kerusi. Bagaimanapun varian Mazda3 (2019) 1.5 Skyactiv-G sedan dan hatchback didatangkan dengan material fabrik pada kerusi. Untuk mendapatkan pandangan ideal buat saiz pemandu yang pelbagai pihak Mazda menawarkan kerusi dengan 10-cara pelarasan elektrik dan pelarasan manual bagi varian 1.5 Skyactiv-G.
Ciri peralatan standard lain yang ditawarkan termasuk Sistem Hiburan MZD Connect bersama perintah suara, fungsi Apple Car Play dan Android Auto, paparan skrin hiburan warna penuh 8-inci, sambungan bluetooth, 8-pembesar suara, Kawalan Commander Multi-fungsi, 2-port USB dan paparan kamera undur serta Teknologi Mazda i-Stop Idling dan Teknologi Kawalan G-Vectoring Plus Mazda.
6. SEGUDANG CIRI KESELAMATAN TERKINI
Demi ketenangan minda pemilik dan penumpang pihak Mazda tidak berkompromi dengan tawaran ciri keselamatan yang ditawarkan. Berikut senarai peralatan standard yang ditawarkan:
- 7 beg udara
- Sistem Brek Anti Kunci (ABS)
- Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC)
- Agihan Tekanan Brek Elektronik (EBD)
- Bantuan Brek Kecemasan (EBA)
- Sistem Kawalan Traksi (TCS)
- Signal Henti Kecemasan (ESS)
- Hill Launch Assist (HLA)
- Fungsi Auto Hold
- Sensor Kelajuan Auto Kunci
- Isofix
- Sistem Anti Kunci Enjin-Immobilizer
Di samping itu, Mazda3 (2019) turut didatangkan dengan ciri keselamatan termaju yang digelar i-Activsense. Bagaimanapun sistem berkenaan hanya ditawarkan pada varian High Plus yang terdiri daripada:
- SistemLampu Depan Adaptif (AFS)
- Kawalan Lampu Tinggi (HBC)
- Pemantauan Titik Buta (BSM)
- Amaran Trafik Belakang (RCTA)
- Sistem Amaran Masuk Lorong (LDWS)
- Sistem Bantuan Kekal Lorong (DAA)
- Sokongan Brek Pintar (SBS)
- Kawalan Kruise Radar Mazda (MRCC)
BACA >>> Mazda2 Remuk Teruk, Tetapi Pemandu Hanya Luka Kecil
7. WARANTI
Mazda3 (2019) didatangkan dengan jaminan 5 tahun atau 100,000km (yang mana tiba terdahulu) dan 5-tahun jadual penyelenggaraan percuma atau 100,000km (yang mana tiba terdahulu).
Leave a Reply