PERKHIDMATAN penghantaran di negara kita semakin berkembang pesat, sama ada berurusan secara independen atau tidak kurang juga berkhidmat dengan syarikat start-up menerusi aplikasi mobil.
Apabila menjadi arus perdana, perkhidmatan seperti ini membuka peluang kerja kepada ribuan rakyat tanpa Kerajaan perlu bersusah payah mencari pelabur luar negara, atau pening kepala memikirkan sisa industri dan seumpananya. Persoalannya, sampai bila ia mampu bertahan sebelum muncul trend perkhidmatan baharu memasuki pasaran?
Ford misalnya berkerjasama dengan Agility Robotics bagi meneroka bidang baharu dunia autonomi dan kaedah baharu penghantaran. Apa yang mahu diteroka kedua-dua syarikat itu ialah mobiliti kereta tanpa pemandu dengan kehadiran robot kurier untuk membuat penghantaran terus pintu ke pintu atau secara serahan tangan.
Antara peluang terhidang ialah membeli-belah atas talian yang mana perkhidmatan penghantaran ialah bentuk perniagaan besar. Misalnya, Perkhidmatan Pos Amerika Syarikat (USPS) mengendalikan 6 bilion bungkusan sepanjang 2018, iaitu dua kali ganda berbanding sedekad lalu.
Kenderaan autonomi pemandu menawarkan banyak kelebihan seperti membawa penumpang dan barangan serentak, dan di sinilah idea robot kurier dapat berfungsi.
DIGIT - ROBOT KURIER YANG BOLEH BERJALAN
Agility Robotics sudah mempunyai robot berkaki dua yang mampu berjalan, dipanggil Digit. Robot tersebut dibina dengan bahan ringan dan mampu mengangkat beban seberat 18kg, termasuk boleh turun dan naik tangga serta berjalan atas permukaan tidak rata.
Digit juga mampu melipatkan badan sendiri supaya mudah disimpan dalam kereta. Sebaik saja kereta tanpa autonomi tiba ke destinasi, robot itu akan mengambil barang dalam kereta dan terus menghantar ke tempat ditetapkan. Ajaib bukan? Kunci kepada aktiviti seperti ini program atau aturcara yang sudah disetkan terlebih dulu.
Digit dilengkapi teknologi pengesan laser LiDAR (Light Detection and Ranging) dan beberapa kamera dengan stereo. Apabila berdepan halangan, Digit akan menghantar imej kepada kenderaan untuk membolehkan ia mencari penyelesaian. Kenderaan boleh menghantar maklumat itu kepada aplikasi awan (cloud) dan meminta bantuan daripada sistem lain.
Teknologi robot ini memang canggih dan tidak mustahil ia jadi realiti. Namun, apa yang merisaukan ialah apakah akan terjadi kepada tenaga kerja manusia sedia ada? Semestinya kita mengharapkan ia bakal menambah dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan bukan sekadar mengambil alih tugas manusia semata-mata.
BACA >>> Rotobox Splice - Supermoto Kustom Sentuhan Pengeluar Rim Gentian Karbon Slovenia
Leave a Reply