HAIWAN sebagai nama kereta bukanlah perkara baru dalam dunia automobil. Malah, haiwan turut dijadikan konsep atau subjek pada awal proses merekabentuk sesebuah kereta, bersesuaian dengan ciri dan karakter haiwan tersebut.
Sesetengah model kereta berjenama haiwan menjadi ikonik dalam kelasnya seperti Ford Mustang dan Volkswagen Beetle. Lebih menarik, kedua-dua model tersebut tampil dengan ciri dan karakter seperti haiwan di dunia sebenar!
BACA >>> Lompatan Kanggaru Kelirukan Kereta Prototaip Pandu Sendiri Volvo
1. CHEVROLET CHEETAH
Direka oleh pakar penala prestasi Chevrolet, Bill Thomas sebagai lawan kepada Shelby Cobra. Dibina pada 1963-66 dan kini menjadi antara barangan pengumpul (collector item) yang diburu peminat automotif Amerika Syarikat (AS).
2. NISSAN BLUEBIRD
Dilancarkan pada 1957, terkenal sebagai sedan yang lasak dan boleh diharap serta menjadi saingan kuat kepada Toyota Corona. Sangat popular sebagai kereta teksi. Ditamatkan pengeluaran pada 2001 dan digantikan dengan Nissan Teana, Maxima dan Altima.
3. FORD BRONCO
Mula mencetuskan budaya pop (pop culture) di AS apabila digunakan ahli sukan dan aktor AS, O J Simpson dan rakannya Al Cowlings (pemandu) pada 1994 sebagai kereta untuk melarikan diri daripada dikejar puluhan kereta polis. Ketika itu, Simpson dikehendaki polis atas kes pembunuhan bekas isteri dan rakan baik isterinya itu. Adegan kejar-mengejar itu mencatatkan rekod tersendiri dalam sejarah televisyen di AS apabila lebih 95 juta penduduk negara itu menontonnya.
4. VOLKSWAGEN BEETLE
Siapa tidak kenal Volkswagen Beetle? Tiada kereta lain di dunia ini yang serupa dengan si kumbang itu. Walaupun model generasi tertentu pernah digelar kereta gadis, Beetle tidak pernah gagal menawan hati peminat-peminatnya sama ada lelaki atau wanita. Mempunyai kelompok peminat setia antara teramai di dunia.
5. CHEVROLET BISON
Sama seperti haiwan sebenar, Chevy Bison memang besar dan gagah. Dikeluarkan pada 1977 - 1980, dan berada di bawah kategori trak tugasan-berat kategori 8.
6. STUTZ BLACKHAWK
Model pertama Stutz Blackhawk dibeli Elvis Presley pada 9 Oktober 1970 dan berharga AS$26,500 (RM105,336), manakala antara legenda lain yang memiliki kereta ini ialah Frank Sinatra, Sammy Davis Jr, Dean Martin dan Johnny Cash. Dikeluarkan pada 1971 hingga 1987 dan setiap kereta mempunyai plak khas yang tertera nama pemilik asalnya.
BACA >>> Kereta Tesla Kini Ada Mod Anjing dengan Kawalan Penyaman Udara Aktif Automatik
7. PLYMOUTH BARRACUDA
Plymouth Barracuda mungkin tidak nampak seram seperti haiwan sebenar, tetapi segalanya berubah apabila anda membawanya atas trek. Kini menjadi antara barangan pengumpul paling digilai peminat automobil AS, terutama model E-Body 1970-74 dengan versi prestasi tinggi dan konvertibel.
8. SHELBY COBRA
Antara kereta ikon orang Anglo-Amerika. Dikeluarkan sejak 1962 dan pemasangan dibuat di dua negara, Britain dan AS. Menjadi pencabar kepada Chevy Corvette pada zamannya.
9. AMC MARLIN
Rupa ganjilnya tidak ubah seperti seekor marlin sebenar. Kereta dua pintu ini dihasilkan di AS oleh American Motors Corporation pada 1965-67 dan dipasarkan sebagai kereta mewah persendirian. Kini menjadi antara kereta klasik dicari pengumpul kerana tidak banyak model itu yang berada atas jalan.
10. FORD MUSTANG
Tanpa Ford Mustang, mungkin dunia tidak akan mengenali apa itu kereta otot (muscle car). Memang gagah, laju dan buas seperti haiwan sebenar. Masih dihasilkan sehingga ke hari ini yang kini memasuki generasi ke-6.
11. PERODUA KANCIL, RUSA, KENARI &KELISA
Kereta Malaysia juga tidak ketinggalan menamakan model mereka dengan nama haiwan. Syarikat kereta nasional, Perodua pernah meletakkan nama haiwan sebagai model kereta pada awal pengeluaran kereta-kereta mereka dahulu. Sayangnya, semua nama haiwan tersebut tidak lagi digunakan. Ada model sudah ditamatkan pengeluaran dan model seperti Kancil diberikan nama baru menjadi Viva dan Axia.
BACA >>> #TahukahAnda: Aneka Papan Tanda Haiwan Melintas Seluruh Dunia
Bukankah molek nama Kancil itu diteruskan sebagai model legasi atau ikonik Perodua? Kenapa tidak mencontohi Daihatsu yang mengekalkan nama Mira di bawah kereta kompak mini dan dipecahkan kepada subnama seperti AVY dan Gino. Jadi, Kancil boleh saja jadi Kancil Viva dan Kancil Axia. Barulah nama Kancil itu jadi ikonik dan 'lejen'. Betul tak? 😉
Leave a Reply