KTM MALAYSIA memperkenalkan dua model serentak ke pasaran tempatan bagi memenuhi permintaan peminat jenama itu. Model 2019 tersebut ialah 790 Adventure dan 1290 Super Duke GT.
Berikut maklumat ringkas mengenai dua model tersebut:
1. KTM 790 ADVENTURE
- Model dual-guna ini menawarkan keselesaan dan prestasi menerusi enjin 799cc LC8 DOHC Parallel Twin yang berupaya menghasilkan kuasa 94hp dan tork 88Nm. Hantaran kuasa ke roda belakang disalurkan menerusi transmisi 6-kelajuan. Pilihan enjin lebih kompak menyumbang kepada agihan berat lebih baik dan swingarm panjang untuk ekstra kestabilan.
- Seperti enjin, bahagian frem dibuat lebih ringan dan kompak menggunakan material keluli molibdenum. Frem juga ditala supaya nisbah rigiditi menawarkan rasa sporty dengan respons mencukupi kepada penunggang.
- Manfaat lain daripada paduan frem dan enjin baharu itu ialah ketinggian pelana rendah (850mm) selain rim 21 inci (depan) dan 18 inci (belakang).
- Hasilnya, berat bersih 790 Adventure hanya 189kg. Malah tangki minyak underslung menawarkan pusat graviti lebih rendah, sekali gus memberikan pengendalian stabil selain pergerakan yang bebas buat penunggang. Saiz tangki 20 liter menawarkan tunggangan sejauh 450km.
- Bahagian suspensi ialah mantera kepada tagline 'Ready to Race' menerusi pemasangan fork terbalik (USD) WP 43mm (depan) dan penyerap hentak WP (belakang).
- Ciri standard seperti terotel ride-by-wire, Kawalan Traksi Motosikal sudut miring (MTC), ABS Selekoh, ABS Off-Road dan Mod Tunggangan Off-Road.
- Penunggang juga boleh memasang Pek Rally tambahan, termasuk mod Rally yang melaraskan tahap gelinciran roda belakang dan respon terotel mengikut permukaan off-road. Pilihan tambahan lain termasuklah Quickshifter+ untuk tukaran gear dan tarikan klac lebih lancar dan lembut.
- Seperti model KTM terkini, 790 Adventure juga dilengkapi paparan TFT warna penuh yang boleh dihubungkan dengan telefon pintar menerusi aplikasi KTM MY RIDE.
- KTM 790 Adventure dipadankan lampu depan LED terpisah bersama visor pengadang angin yang boleh dilaraskan ketinggian.
- Ini ialah model import (CBU), harga 790 Adventure ialah RM 78,800 (tanpa insurans).
BACA >>> KTM 790 Duke CBU @ Sang Pisau Bedah Kini di Malaysia - RM64k Sahaja!
2. KTM 1290 SUPER DUKE GT
- KTM 1290 Super Duke GT dijana enjin dikemas kini, iaitu generasi baharu 1,301cc 75o LC8 V-Twin yang lebih berkuasa menerusi penambahbaikan kebuk resonator, inlet injap titanium dan pemetaan baharu. Hasilnya jentera ini mampu menghasilkan kuasa 173hp dan tork 141Nm bersama padanan transmisi 6-kelajuan.
- Tawaran tunggangan lebih lancar pada prestasi rpm rendah dalam apa juga julat enjin kini lengkap dengan fungsi Quickshifter+.
- Perubahan terbesar ialah kemas kini skrin TFT 6.5 inci berwarna penuh yang boleh dioperasi menerusi butang menu pada bar hendal kiri. Bagi model 2019, butang kawalan jelajah dipindahkan ke bar hendal kiri.
BACA >>> #TahukahAnda: Apakah Itu Quick Shifter untuk Motosikal?
- Satu lagi ciri baharu ialah sistem kunci kawalan jauh KTM Race On yang membolehkan anda menghidupkan enjin tanpa kunci.
- Ciri kawalan stabiliti motosikal sudut miring bantuan IMU memberikan keyakinan tunggangan dan membrek dalam apa juga keadaan.
- Penunggang boleh juga menambah mod tambahan Track untuk meneroka keupayaan penuh enjin LC8 dan casis. Tidak ketinggalan pilihan tambahan Kawalan Pegun Bukit (HHC) dan Regulasi Gelincir Motor (MSR).
- Casis juga dipadankan dengan suspensi semi-aktif WP generasi baharu. Sensor baharu akan menganalisis parameter lebih besar dan disesuaikan dengan permukaan jalan untuk pengendalian lebih tepat.
- Suspensi prabeban boleh melaraskan ketinggian dan casis mengikut keselesaan penunggang dengan hanya menekan butang khas. Penunggang boleh memilih nisbah damper menerusi: Comfort, Street dan Sport.
- Tawaran KTM MY RIDE yang boleh disambung ke telefon pintar membolehkan pemilik memainkan muzik, navigasi dan menerima panggilan telefon.
- Harga 1290 Super Duke GT ialah RM124,800 (tanpa insurans).
Leave a Reply