
ŠKODA UK memperkenalkan warna baharu yang cukup menyerlah iaitu Dragon Skin bagi meraikan ulang tahun ke-30 Octavia.
Apa yang menarik, pemilihan warna ini bukanlah ditentukan oleh pihak pengilang semata-mata, sebaliknya merupakan hasil keputusan undian peminat setia Škoda UK melalui platform media sosial.
Kuasa Undian Peminat Media Sosial

Langkah unik ini diambil oleh Škoda UK dengan menjalankan siri undian di Instagram, Facebook, dan LinkedIn.
Dalam persaingan yang sengit, warna Dragon Skin berjaya menewaskan dua calon lain iaitu Storm Blue (biru) dan Tangerine Orange (jingga/oren) dengan perbezaan undi yang tipis.
Pilihan terbaru ini akan melengkapkan lagi barisan beberapa warna eksklusif lain yang telah terpilih dalam undian tahun lalu.
Sebelum ini, peminat model vRS telah memilih Waterworld Green dan Space Violet (ungu) warna kegemaran dalam undian 2025, yang mana kedua-dua warna tersebut telah menewaskan pilihan Hot Chilli Red (merah )dan Plum Blue (biru).
Penawaran Eksklusif Untuk Octavia vRS

Warna Dragon Skin bakal ditawarkan sebagai kemasan cat eksklusif untuk kedua-dua varian Octavia vRS iaitu versi hatch dan juga estate.
Kehadiran warna baharu ini bertujuan memberikan impak visual yang lebih dramatik kepada model yang memfokuskan kepada prestasi ini.
Tempahan di UK untuk Octavia vRS dengan warna Dragon Skin akan dibuka mulai 4 Mac 2026 pada harga 855 pound (RM4,484).
Penambahan ini mengukuhkan lagi identiti Octavia vRS yang dikenali dengan gabungan praktikaliti harian, prestasi mantap dan gaya tersendiri, sekali gus memberi peluang kepada pemilik untuk lebih menyerlah di jalan raya.

Edisi Terhad Octavia SportLine
Selain model vRS, Škoda juga merancang untuk memperkenalkan warna Dragon Skin pada model Octavia SportLine dalam jumlah yang sangat terhad iaitu hanya 130 unit sahaja pada lewat tahun ini.
Model edisi khas ini juga akan tersedia dalam tiga kemasan cat eksklusif yang diperkenalkan baru-baru ini iaitu Waterworld Green (hijau), Space Violet (ungu), dan Royal Green (hijau).
Prestasi Mantap Trenkuasa

Kini dalam generasi keempat, Octavia terus berevolusi dengan teknologi termaju dan rangkaian kuasa yang lebih cekap tanpa mengabaikan nilai teras iaitu praktikaliti dan harga yang munasabah.
Di bawah hud enjin, Octavia vRS dipacu enjin 2.0 TSI yang menghasilkan kuasa maksimum 265 ps dan tork setinggi 370 Nm. Kuasa ini dihantar ke roda hadapan melalui transmisi automatik DSG 7-kelajuan.

Dari segi prestasi pecutan, varian hatch mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa 6.4 saat, manakala varian estate yang lebih berat hanya ketinggalan sedikit dengan catatan 6.5 saat.
Kedua-dua varian ini mampu mencecah kelajuan maksimum 250 km/j.
Škoda vRS Octavia Dragon Skin 2026
Škoda vRS Octavia Estate Dragon Skin 2026










