VOLVO Cars memperkenalkan kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik premium, Volvo EX60 2027, yang juga model pertama yang dibina berasaskan arkitektur SPA3 yang menawarkan tahap modulariti dan kecekapan pembuatan lebih tinggi.
Seperkara menarik, SUV elektrik saiz pertengahan itu diperkenalkan pada hari sama pelancaran sedan elektrik Volvo ES90 2026 dilancarkan di pasaran tempatan.
Volvo Cars mendakwa EX60 menandakan permulaan baharu pengeluar itu dalam memperkenalkan teknologi seperti tuangan mega (mega casting), teknologi sel-ke-badan (cell-to-body, CTB) dan sistem pengkomputeran teras HuginCore.
Volvo EX60 Cross Country 2027
Bersama pelancaran model standard, Volvo turut mendedahkan varian Volvo EX60 Cross Country 2027 yang membawa warisan lasak Volvo ke era elektrik moden.
Varian itu menampilkan rekabentuk yang lebih lasak dengan penggunaan warna eksklusif Frost Green (hijau) yang diilhamkan daripada alam semula jadi Skandinavia.
Penampilan lasak diperkukuh dengan gerbang roda lebih lebar, plat pelindung keluli tahan karat digilap (brushed) di depan dan belakang, serta rim khas eksklusif untuk model Cross Country.
Berbeza model standard, Volvo EX60 Cross Country menawarkan posisi pemanduan lebih tinggi untuk pandangan jalan lebih baik.
SUV segmen-D itu mempunyai jarak tinggi bumi tambahan 20mm berbanding X60 standard yang lebih kelihatan seperti crossover.
Dengan bantuan sistem suspensi udara, pemandu boleh melaras tinggi kenderaan hingga 234mm sekiranya perlu, atau merendahkan kenderaan untuk meningkatkan kestabilan dan aerodinamik ketika pemanduan di lebuh raya.
Trenkuasa, Pengecasan Dwi-Arah (Bi-directional)
Volvo EX60 Cross Country dilengkapi teknologi pengecasan dwi-arah yang membolehkan bateri kenderaan membekalkan kuasa elektrik dengan kapasiti maksimum 22kW.
Dari segi pengecasan pantas (DC), SUV itu menyokong pengecasan DC hingga 370kW. Tambahan jarak pemanduan hingga 315km dapat dibuat dalam masa 10 minit apabila menggunakan stesen pengecas 400kW.
Spesifikasi Teknikal Volvo EX60 Cross Country (EX60 Biasa)
Trenkuasa, Prestasi dan Bateri
P10 AWD Electric
- Outpu kuasa 375kW (510hp), tork 710Nm
- Moto elektrik depan dan belakang
- Pecutan 0 – 100kmj sepantas 4.7 saat (EX60: 4.6 saat)
- Kelajuan maksimum 180kmj
- Kandungan tenaga bersih 91kWj
- Gabungan jarak pandu 640km (WLTP)
- Pengecasan DC 370kW
- Masa pengecasan DC 400kW (10 – 80 peratus) 18 minit
P12 AWD Electric
- Varian prestasi tinggi itu menawarkan jarak pandu lebih jauh dalam sistem pacuan semua roda (AWD).
Sistem Pengecasan, Mekanikal
- Pengecasan standard AC dwi-arah 22kW
- Sistem suspensi udara dengan absorber semi-aktif
- Jarak membrek 100 – 0kmj 35 meter
- Pekali seretan 0.27Cd (EX60: 0.26Cd)
Dimensi, Kapasiti
- Dimensi panjang: 4,811mm (EX60: 4,803mm), lebar 1,899mm (lebar termasuk cermin 2,067mm) dan jarak roda 2,970mm
- Jarak tinggi bumi 193mm – 234mm (EX60: 178mm)
- Kapasiti but 634 liter
- Kapasiti but maksimum 1,647 liter
- Kapasiti frunk (bonet) hingga 85 liter
- Berat kerb 2,295kg
- Kapasiti tunda 2,400kg



























































