
VOLKSWAGEN of America, Inc. memperkenalkan Volkswagen Atlas 2027 serba baharu pada Pameran Auto Antarabangsa New York. SUV generasi kedua ini dibina atas kejayaan model asal dengan reka bentuk lebih menyerlah serta teknologi lebih pintar.

SUV jenama Jerman ini dipasang di Chattanooga, Tennessee yang menggaji kira-kira 4,000 orang seterusnya menyumbang kepada ekonomi Amerika Syarikat. Atlas tujuh penumpang dan Atlas Cross Sport lima penumpang menyumbang 30 peratus jualan pada 2025.
Trenkuasa dan Prestasi
Meskipun berada pada era elektrifikasi, Atlas dikuasakan enjin 2.0 liter turbo tunggal namun VW tetap merancang untuk mempunyai versi hibrid yang akan diperkenalkan kelak.

SUV ini dibina di atas arkitektur MQB evo yang dipertingkatkan, menjadikan panjang bertambah kira-kira 25.4 mm manakala lebar, jarak roda dan tinggi kekal sama.
- Enjin: 2.0 liter EA888 evo5 turbo empat silinder TSI suntikan terus
- Kuasa Maksimum: 286 ps (peningkatan 13 ps berbanding model terdahulu)
- Tork Maksimum: 350 Nm
- Transmisi: Automatik 8-kelajuan
- Sistem Pacuan: Pacuan roda hadapan (standard) atau 4Motion pacuan semua roda
- Kapasiti Tunda: 2,268 kg (dengan hitch pemasangan kilang)
- Varian Masa Hadapan: Versi hibrid pada kemas kini kitaran pertengahan
Rekaan Luaran dan Estetik Moden

Atlas 2027 tampil dengan rekaan luaran serba baharu bersama sistem pencahayaan yang direka semula sepenuhnya. Penampilan luaran kini lebih dinamik dengan beberapa perincian utama:
- Pencahayaan LED: Lampu hadapan LED bertingkat dan gril atas jenis masked dipadankan dengan bonet yang tegap. Garisan lampu berkembar serta lencana VW bercahaya menjadi standard untuk semua varian kecuali model asas.
- Profil Sisi: Bahagian sisi kini kelihatan lebih tegap dengan permukaan yang lebih kemas serta garisan badan yang tajam. Atlas 2027 turut menawarkan hendal pintu bercahaya dan lampu suluhan (puddle lamps) dengan pancaran corak yang unik.
- Bahagian Belakang: Spoiler kini lebih menonjol dengan pintu belakang yang terletak rata dengan bampar. Rekaan lampu belakang merentasi badan dilengkapi lampu isyarat dinamik standard dengan tiga animasi.
- Rim dan Warna: Varian asas menggunakan rim 18 inci, manakala varian lain menerima rim aloi aluminium 20 inci atau 21 inci dengan kemasan aloi mesin atau hitam. Tiga warna baharu diperkenalkan iaitu Blackberry, Sacramento Green, dan Sandstone.
Ruang Kabin dan Keselesaan Premium

Bahagian dalaman direka dengan bahan mewah dan susun atur yang lebih praktikal. Antara pembaharuan utama termasuk:
- Kokpit Moden: Tuas gear dipindahkan ke turus stereng untuk ruang pada konsol tengah yang besar.
- Pilihan Warna: Terdapat tiga palet warna di antaranya Pebble Grey yang cerah, Black and Dark Grey yang dramatik.
- Varian Kulit: Kemasan hiasan kayu asli adalah standard, manakala pilihan kulit Varenna atau Nappa hanya tersedia untuk dua varian teratas.
- Pencahayaan Ambien: Sistem 10 warna adalah standard, manakala varian teratas menerima 30 pilihan warna. Ciri Atmospheres menyelaras tetapan cahaya dan audio. Varian tertinggi menambah corak spiral organik pada papan pemuka yang berubah melalui panel pintu dengan lampu latar pada baris pertama dan kedua.
- Ciri Mesra Keluarga: Standard dengan pintu belakang kuasa, pelindung cahaya matahari belakang, cermin sisi pemandu malap automatik, lampu but dua sisi, serta kawalan jarak parkir hadapan dan belakang.
- Keselesaan Tempat Duduk: Corong udara baharu pada tiang B serta pilihan pengudaraan tempat duduk baris kedua. Pemandu menerima kerusi ergonomik 12 arah dengan sokongan lumbar empat arah. Varian tertinggi menambah sokongan paha dan fungsi urutan empat arah pada kedua-dua tempat duduk hadapan. Kerusi kapten dan bumbung suria panoramik tersedia untuk hampir semua varian.
Teknologi Pintar dan Keselamatan

- Paparan Digital: Skrin infotaimen bersaiz 15 inci (12.9 inci untuk model asas) dipadankan dengan Digital Cockpit Pro 10.25 inci. Tombol Driver Experience pada konsol tengah mengawal audio, mod pemanduan dan ciri Atmospheres.
- Konektiviti: Pengecasan wayarles Qi2 untuk dua telefon secara bersebelahan serta tujuh port USB C tersedia di dalam kabin. Sistem pembantu suara AI Premium Speech disertakan dengan langganan percubaan setahun.
- Sistem Audio: Varian asas ditingkatkan kepada 9 pembesar suara, manakala sistem 14 pembesar suara Harman Kardon tersedia untuk varian tertinggi.
- Suit Keselamatan IQ.DRIVE: Membolehkan penukaran lorong atas arahan pemandu bagi kelajuan 0 hingga 153 km/j. Ciri Emergency Assist kini mampu membantu kenderaan ke bahu jalan jika berlaku kecemasan perubatan. Versi terbaru Park Assist Plus ditambah pada varian tertinggi.
- Beg Udara: Penambahan beg udara tengah hadapan menjadikan jumlah keseluruhan tujuh beg udara.







