UMW Toyota Motor (UMWT) secara rasmi melancarkan Toyota Vios HEV 2026 dan Toyota Vios HEV GR Sport, sekali gus menandakan kemasukan sedan segmen-B-paling popular di Malaysia itu ke era elektrifikasi hibrid.
Menariknya, pelancaran itu turut disokong pemasangan bateri hibrid secara tempatan (CKD) di kilang Bukit Raja, sekali gus memperkukuh ekosistem mobiliti elektrik negara dan menjadikan Vios versi hibrid itu lebih relevan dari sudut kos, kebolehpercayaan serta kelestarian jangka panjang.
Vios Hibrid: Hibrid Paling ‘Masuk Akal’ untuk Rakyat Malaysia
Berteraskan falsafah Mobility for All dan strategi Multipathway Toyota, Toyota Vios HEV 2026 diperkenalkan sebagai model hibrid paling mudah diakses dalam barisan Toyota Malaysia, tanpa keperluan pengecasan luaran atau perubahan gaya hidup.
Ringkasnya, cums perlu isi petrol dan memandu seperti biasa, tetapi penggunaan minyak pula jauh lebih jimat. Sistem Toyota Hybrid Electric System menggabungkan:
- Enjin petrol 1.5L
- Output motor elektrik 80ps, dan tork 141Nm
- Bateri litium-ion kompak (direka tahan seumur hayat kenderaan)
Gabungan itu menghasilkan kuasa keseluruhan 111ps, dengan penggunaan bahan api 3.6 liter per 100km (NEDC), juga angka yang sangat kompetitif untuk sedan harian.
Mod elektrik (EV) berfungsi pada halaju rendah dan trafik bandar, manakala sistem brek regeneratif mengecas semula bateri secara automatik.
Bateri Hibrid Dipasang di Bukit Raja – Isyarat Besar buat Industri Tempatan
Seiring pelancaran Toyota Vios HEV 2026, UMWT mengesahkan pemasangan bateri hibrid secara CKD di kilang Bukit Raja, Selangor.
Fakta penting mengenai bateri itu adalah:
- Kapasiti sehingga 30,000 unit bateri setahun
- 97 peratus komponen bateri diperoleh secara tempatan
- Mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO₂) logistik
- Sistem pemasangan ketepatan tinggi, ujian prestasi penuh, dan kebolehkesanan menyeluruh
Langkah itu bukan sekadar mengenai kos, tetapi menunjukkan kesediaan Toyota untuk melabur jangka panjang dalam teknologi elektrifikasi di Malaysia.
Dalaman Lebih Moden, Paparan Khas Hibrid
Menjengah ruang kabin, Toyota Vios HEV 2026 mengekalkan praktikaliti Vios yang dikenali ramai, tetapi ditambah sentuhan teknologi:
- Unit infotainmen skrin sentuh 10.1 inci
- Kluster instrumen 7 inci khas hibrid
- Paparan aliran tenaga dan status EV
- Kemasan eksklusif hibrid dan pencahayaan ambien
Ruang kabin dan but kekal praktikal untuk kegunaan harian yang menjadi satu kelebihan berbanding EV penuh dalam segmen harga sama.
Toyora Vios HEV GR Sport – Jimat, Tapi Jiwa Sporty
Bagi pembeli yang mahukan sedikit karakter agresif, Toyota Vios HEV GR Sport 2026 menampilkan:
- Kit aerodinamik GR dan kemasan hitam
- Suspensi dan stereng ditala GAZOO Racing (GR)
- kerusi kulit sued
- Sulaman benang kontras dan stereng logo GR
- Karpet lantai GR
Hasilnya, pemanduan lebih stabil dan tajam pada kelajuan tinggi, tanpa mengorbankan keselesaan harian.
Keselamatan: Lengkap, 5-Bintang Asean NCAP
Kedua-dua varian hadir standard dengan Toyota Safety Sense, termasuk:
- Sistem pra-Perlanggaran (PCS)
- Kawalan Kekal Lorong (LKC)
- Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
- Monitor Titik Buta (BSM)
- Lampu Suluh Tinggi Automatik (AHB)
- Monitor Pandang Panoramik 3D (PVM)
Berdasarkan sepsifikasi keselamatan diberikan, memang tidak mengejutkan, Toyota Vios HEV 2026 meraih rating 5-bintang Asean NCAP.
Harga Toyota Vios HEV 2026 di Malaysia
Bagi pasaran Semenanjung Malaysia:
- Toyota Vios HEV: RM103,900
- Toyota Vios HEV GR Sport: RM109,900
Toyota Vios HEV 2026 kini menjadi model hibrid Toyota paling mampu milik di Malaysia.
Waranti, Pemilikan Jangka Panjang
- Waranti kenderaan lima [5] tahun dengan perbatuan tanpa had
- Waranti sistem hibrid lapan [8] tahun dengan perbatuan tanpa had (bateri, inverter dan unit kawalan kuasa)
Toyota nampaknya tidak gopoh untuk melompat jauh kepada model kenderaan elektrik (EV) penuh, sebaliknya melakukan langkah paling realistik.
Toyota Vios HEV 2026 adalah jawapan kepada pengguna yang mahukan penjimatan minyak, rendah emisi, tidak mahu memikirkan mengenai hal pengecasan, dan pada masa sama masih percayakan jenama Jepun.




































































































































































