TOYOTA menambah ahli baharu yang versatil ke dalam barisan kenderaan elektrik bateri (BEV) menerusi pengenalan Toyota bZ Woodland 2026.
Model itu direka khusus untuk pemandu yang mahukan prestasi sebuah EV, tetapi pada masa sama memerlukan keupayaan untuk aktiviti luar lebih lasak.
Toyota bZ Woodland 2026 dijangka mula tiba di rangkaian pengedar Toyota di Amerika Syarikat (AS) pada Mac 2026 pada harga jualan bermula AS$45,300 (RM176,670).
Trenkuasa, Prestasi
Toyota bZ Woodland 2026 dilengkapi sistem pacuan semua roda (AWD) standard yang menggunakan motor elektrik pada gandar elektronik eAxle depan dan belakang.
Gabungan sistem itu menghasilkan output bersih 280kW (375ps), sekali gus menjadikan ia model bZ paling berkuasa setakat ini. Dari segi prestasi pecutan, kenderaan utiliti sukan (SUV) itu mampu memecut 0 – 100kmj sepantas 4.4 saat.
Bagi pemanduan di laluan mencabar, Toyota bZ Woodland hadir dengan sistem X-MODE yang berfungsi mengoptimum kawalan brek dan hantaran kuasa ke roda.
Ada juga ciri kawalan cengkaman Grip Control yang bertindak melaras kuasa motor pada kelajuan rendah bagi mengekalkan momentum dan kestabilan atas permukaan jalan tidak rata atau licin.
Keupayaan Jarak, Pengecasan
Toyota bZ Woodland menggunakan bateri litum-ion berkapasiti 74.7kWj. Mengikut anggaran Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS (EPA), EV itu mampu menawarkan jarak pemanduan sehingga 452km untuk varian Standard.
Bagaimanapun, jika pembeli memilih pilihan All-Road, jarak pemanduan sekitar 418km.
Sistem pengecasan Toyota bZ Woodland kini lebih pantas dan fleksibel menerusi penggunaan port Sistem Pengecasan Amerika Utara (NACS) yang memberikan akses kepada ribuan stesen pengecasan pantas (DC).
Dalam situasi ideal, pengecas DC membolehkan tahap bateri bertambah 10 – 80 peratus sekitar 30 minit.
Toyota turut memberikan ciri Battery Pre-conditioning untuk memastikan bateri berada pada suhu optimum sebelum pengecasan bermula bagi memendekkan masa menunggu.
Rekabentuk Luaran, Praktikaliti
Toyota bZ Woodland 2026 membawakan kelainan pada gaya bZ4X sedia ada menerusi tambahan overfender hitam lasak pada bahagian depan jenis hammerhead Toyota.
SUV EV itu mempunyai jarak tinggi bumi 213mm, hampir 152mm lebih panjang dan hampir 25mm lebih tinggi di belakang berbanding bZ4X standard.
Dimensi lebih besar itu memberikan ruang but luas mencecah 2,104 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.
Tambahan kepada praktikaliti ialah rel bumbung standard untuk memudahkan pemasangan rak basikal atau bagasi, dan kapasiti tunda sehingga 1,587kg.
Ruang Dalaman, Teknologi
Kabin Toyota bZ Woodland 2026 menawarkan ruang luas untuk semua penumpang menerusi penggunaan kemasan SofTex pada kerusi. Papan pemuka didominasi unit infotainmen skrin sentuh Toyota Audio Multimedia 14 inci dengan konektiviti Apple CarPlay dan Android Auto wayarles.
Antara ciri standard lain ialah dua pengecas peranti Qi wayarles, lampu ambien boleh laras, dan sistem kunci digital.
Bagi varian Premium, pembeli akan menerima tambahan sistem audio JBL dengan sembilan pembesar suara, bumbung kaca panoramik tetap, dan fungsi memori untuk kerusi pemandu dan cermin sisi.
Ciri Keselamatan Canggih
Keselamatan pemandu dan penumpang turut diutamakan menerusi pakej Toyota Safety Sense 3.0 (TSS 3.0) yang merangkumi sistem praperlanggaran dengan pengesan pejalan kaki, Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC) penuh, Amaran Keluar Lorong (LDW), dan Bantuan Pengesan Lorong (LDA).
Ciri tambahan seperti Monitor Pandangan Panoramik (PVM) dan Monitor Multi-Rupa Bumi (MTM) memudahkan pemandu melihat kawasan persekitaran ketika melalui laluan sempit atau off-road.
Toyota juga memberikan perhatian khas kepada keselamatan bateri dengan sistem pemantauan berlapis untuk voltan, arus dan suhu bagi mengelakkan panas melampau.
Sistem penyejukan rintangan tinggi turut digunakan bagi mencegah risiko litar pintas walaupun ketika pemanduan laju atau pengecasan pantas yang kerap.
Spesifikasi Utama Toyota bZ Woodland 2026
Trenkuasa: Dual-Motor AWD
Output Kuasa: 280 kW (375 ps)
Pecutan 0 – 100kmj: 4.4 saat
Kapasiti Bateri: 74.7kWj
Jarak Pemamduan (EPA): 452km (418km dengan tayar all-road)
Masa Pengecasan DC (10-80%): Sekitar 30 minit
Jarak Tinggi Bumi: 213mm
Kapasiti Tunda: 1,587kg
Ruang But Maksimum: 2,104 liter
Rim: Aluminium 18 inci dengan penutup aero
Sistem Infotainmen: Skrin sentuh 14 inci dengan 6 atau 9 pembesar suara JBL
Ciri Keselamatan: Toyota Safety Sense (TSS) 3.0, Monitor Titik Buta (BSM), Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA), Amaran Keluar Selamat (SEA)
Pilihan Warna: Stepping Stone (coklat), Halo Steel (perak), Pavement (kelabu), Raven Black (hitam), Trueno Blue (biru)











































