
Beberapa pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China dilaporkan merancang memulakan aktiviti pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia seawal 2026. Antara jenama disebut ialah Zeekr, XPENG dan MG Motor.
Langkah itu dijangka berlaku susulan tamat tempoh kelonggaran dan insentif cukai bagi model EV import penuh (CBU) yang sebelum ini diperkenalkan bagi merancakkan pasaran EV tempatan.
Insentif Cukai CKD Hingga 2027

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, perancangan syarikat tersebut mengambil kira insentif pengecualian cukai penuh yang masih ditawarkan kepada EV yang dipasang secara CKD.
Pengecualian tersebut dijadual kekal berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2027, sekali gus menjadikan Malaysia antara lokasi menarik bagi pelaburan pemasangan EV di rantau ini.
Harga Lantai EV CBU Kembali RM250,000

Pada masa sama, MITI menjelaskan, penamatan tempoh kelonggaran harga lantai RM100,000 bagi EV import sepenuhnya dan kembali kepada struktur asal RM250,000 seunit adalah langkah wajar.
Menurut Kementerian, keputusan berkenaan bertujuan memastikan peralihan lebih jelas daripada model CBU kepada CKD.
Lindungi Pelaburan Tempatan, Vendor

MITI turut menegaskan, pendekatan tersebut penting bagi melindungi pelaburan yang dibuat syarikat automotif nasional dan vendor tempatan dalam pembangunan ekosistem EV.
Selain itu, ekosistem EV domestik akan terus berkembang secara mampan dan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam negara dapat diwujudkan serta dipelihara,” kata MITI dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Jawapan kepada Soalan Di Parlimen
MITI menjelaskan perkara tersebut bagi menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Musa yang meminta penjelasan mengenai penetapan harga lantai EV import sepenuhnya dan pelaburan syarikat EV dari China dalam pasaran CKD di Malaysia menjelang 2027.
Perkembangan ini menunjukkan Malaysia terus menjadi antara destinasi penting bagi pengeluar EV global yang mahu mengembangkan operasi di Asean.
SUMBER: BeritaHarian






