PEMINAT perlumbaan Grand Touring (GT) Jepun kini boleh merancang kalendar Jun apabila tiket Pusingan 3 2026 Autobacs Super GT di Litar Antarabangsa Petronas Sepang, pada 19 – 21 Jun ini rasmi dibuka untuk jualan bermula hari ini.
Menariknya, promosi pembeli awal (early bird) membolehkan peminat menyaksikan aksi kelas GT utama Jepun pada harga serendah RM80.
Bagi tempoh terhad, tiket Grandstand K1 (Turn 1) ditawarkan pada harga RM80 berbanding harga biasa RM100.
Grandstand Utama pula dijual pada harga promosi RM200 berbanding RM250. Ini peluang terbaik menyaksikan deruman jentera GT500 dan GT300 dari lokasi strategik tanpa perlu berbelanja besar.
Pilihan Hospitaliti, dari Suite hingga Pakej VVIP

Kepada mereka yang mahukan pengalaman lebih eksklusif, penganjur turut menyediakan beberapa pilihan hospitaliti premium.
GT Club Suite ditawarkan pada harga bermula RM450 seorang (perkongsian suite) sehingga RM30,000 untuk satu suite eksklusif yang boleh memuatkan sehingga 70 tetamu.
Pemegang pas GT Club Suite dan GT Suite turut menikmati akses ‘pitlane walk’ iaitu akses melihat lebih dekat suasana sebalik laluan pin.
GT Paddock Club pula berharga RM2,000 yang hadir dengan akses pitlane dan grid walk. Experience Package bernilai RM5,000 menambah pengalaman safari di trek Circuit Safari dengan menaiki bas khas atas trek bersama jentera GT.
Bagi pengalaman paling lengkap pula, Dream Package (RM15,000 untuk dua orang) dan VVIP Package (RM50,000 untuk dua orang) merangkumi semua keistimewaan seperti taxi ride (menaiki jentera GT) dan lawatan pit eksklusif.
Lebih daripada Perlumbaan – Festival Budaya Jepun

Acara itu dianjurkan pemegang hak dan promoter pusingan Malaysia, HARO Sports & Entertainment bersama penganjur bersama Festival Super GT Malaysia, Nihon Matsuri.
Selepas kembali ke Malaysia tahun lalu dengan kehadiran hampir 76,000 penonton sepanjang hujung minggu perlumbaan, edisi 2026 dijanjikan lebih meriah dengan gabungan aksi trek bertaraf dunia dan festival budaya Jepun.
Sepanjang hujung minggu, pengunjung bukan saja disajikan perlumbaan sengit, tetapi turut berpeluang menikmati pelbagai pilihan makanan Jepun, persembahan kebudayaan dan aktiviti interaktif yang menjadikan tiket perlumbaan ini ibarat pas masuk ke sebuah karnival automotif dan budaya.
ALEPS Ekiden: Larian Malam Unik di Sepang

Antara tarikan baharu disahkan ialah ALEPS Ekiden, iaitu larian berganti-ganti yang diilhamkan daripada konsep tradisional Jepun ‘Ekiden’.
Dianjurkan Alumni Look East Policy Society (ALEPS), acara larian itu berlangsung pada 20 Jun dalam format larian malam.
Setiap pasukan terdiri daripada empat pelari, dengan setiap peserta menamatkan satu pusingan penuh 5.543km di Sepang sebelum menyerahkan ‘Tasuki’ (selempang larian) kepada rakan sepasukan.
Suasana trek yang diterangi lampu dan atmosfera hujung minggu perlumbaan antarabangsa dijangka memberi pengalaman unik kepada peserta.
Aksi Sokongan di Trek

Selain perlumbaan utama Super GT, hujung minggu tersebut turut menampilkan Toyota GAZOO Racing (TGR) Vios Challenge, iaitu siri perlumba satu jenama (one-make), menghimpunkan pelumba profesional, amatur dan bakat muda yang memandu Toyota Vios spesifikasi sama.
Turut membuat penampilan ialah Asean GR86 Cup yang kini diperluas penyertaan ke peringkat serantau.
Penganjuran edisi 2026 juga selari sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Visit Selangor 2026, serta mendapat sokongan Tourism Malaysia dan Tourism Selangor.
Tiket boleh dibeli menerusi rakan jualan rasmi di pautan excitix.com.my dan supergtmalaysia.com.





















