SYARIKAT teknologi mobiliti hasil kerjasama Sony Group Corporation dan Honda Motor Co Ltd, Sony Honda Mobility memulakan 2026 dengan langkah besar.
Sempena acara Pameran Elektronik Pengguna (CES) 2026 di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS), Sony Honda Mobility mendedahkan AFEELA Prototype 2026 buat kali pertama kepada umum.
Syarikat ditubuhkan 2022 itu menggabungkan kepakaran teknologi maklumat Sony dengan kecemerlangan kejuruteraan automotif Honda untuk menerajui inovasi mobiliti masa depan.
Evolusi Ruang Hiburan Kreatif
Model prototaip terbaharu itu dibangunkan berasaskan visi ‘Mobiliti sebagai Ruang Hiburan Kreatif’.
AFEELA Prototype 2026 mengekalkan konsep asas yang diperkenalkan pada model terdahulu, tetapi menawarkan keanjalan ruang kabin lebih tinggi bagi memberikan keselesaan maksimum kepada pengguna.
Melalui pendekatan Vehicle AI, model itu bukan sekadar alat pengangkutan, tetapi berupaya memahami emosi dan pilihan pemandu untuk mengoptimum nilai masa serta ruang sepanjang perjalanan.
Teknologi AI, Pemanduan Autonomi
Dari aspek teknikal, Sony Honda Mobility menggunakan platform Snapdragon Digital Chassis daripada Qualcomm Technologies untuk arkitektur Elektrikal/Elektronik (E/E) generasi akan datang.
Sistem bantuan pemandu, AFEELA Intelligent Drive kini beralih kepada model kecerdasan buatan (AI) jenis hujung-ke-hujung (lengkap) yang menyepadukan Vision Language Model.
Ciri itu bermula dengan sokongan Tahap 2+ dan disasarkan untuk mencapai teknologi setaraf Tahap 4 pada masa depan bagi membolehkan pemandu menikmati kandungan hiburan sepenuhnya tanpa perlu fokus kepada pemanduan.
Interaksi Manusia, Mobiliti
Satu lagi pembaharuan utama adalah penggunaan Azure OpenAI daripada Microsoft untuk fungsi AFEELA Personal Agent. Ejen peribadi itu membolehkan interaksi dialog yang natural dan unik bagi setiap individu.
Bagi memperluas ekosistem digital kenderaan, program penciptaan bersama AFEELA Co-Creation Program diperkenalkan yang membolehkan pencipta luar membangunkan kandungan hiburan, aplikasi dan perkhidmatan luaran menerusi API awan termasuk persekitaran pembangunan aplikasi Android pada sistem IVI kenderaan.
Platform Perkhidmatan Berasaskan Token
Sony Honda Mobility turut membangunkan platform perkhidmatan mobiliti terbuka jenis on-chain yang memanfaatkan model insentif berasaskan token menggunakan teknologi kripto.
Platform itu dibangunkan berasaskan konsep X-to-Earn, membabitkan ekosistem tiga kitaran utama:
- Pencetusan idea
- Pembangunan dan Penggunaan
- Penilaian perkhidmatan mobiliti
Selain itu, platform tersebut dirancang dibuka kepada pengeluar kenderaan dan penyedia perkhidmatan lain bagi mempercepat kerjasama secara terbuka.
AFEELA 1 Keluar Tahun Ini!
Apa khabar model sulung AFEELA 1 selepas beberapa tahun? Model berkenaan dijadualkan mula dihantar kepada pelanggan di California, AS tahun ini (2026), manakala pasaran Arizona bermula 2027.
Di Jepun, penghantaran dijangka bermula separuh pertama 2027. Bagi AFEELA Prototype 2026, model terbaharu itu akan menjadi asas kepada model pengeluaran yang disasarkan untuk pasaran AS pada 2028 dan seterusnya.































