
BMW Group Malaysia mencipta sejarah baharu dalam landskap automotif tempatan menerusi pengenalan BMW i5 eDrive40 M Sport Pro Serba Baharu, iaitu model BMW elektrik (EV) pertama yang dipasang secara tempatan (CKD) dan Asia Pasifik.
Pelancaran itu menandakan fasa baharu komitmen BMW Group Malaysia dalam memperkukuh ekosistem EV premium di negara ini.
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Benjamin Nagel berkata, pemasangan tempatan BMW i5 bukan sekadar pencapaian teknikal, tetapi bukti kemajuan Malaysia sebagai hab serantau bagi inovasi dan pembuatan EV.
Dengan tanda harga bawah RM400,000, model sedan eksekutif itu direka untuk kegunaan profesional dan peribadi yang menggabungkan keselesaan, prestasi serta teknologi pintar terkini.
Rekabentuk Elegan dengan Sentuhan M Sport
BMW i5 eDrive40 M Sport Pro versi CKD itu menampilkan identiti visual moden dan sporty. Rupa depan diserlahkan gril ginjal ikonik BMW Iconic Glow Shadowline, dan disepadan dengan lampu depan LED Adaptif baharu.
Profil sisi horizontal disempurnakan dengan rim aerodinamik M 20 inci, manakala rupa belakang menampilkan lampu LED langsing dan spoiler M kemasan hitam kilat.

Ruang kabin pula menonjolkan pendekatan digital sepenuhnya menerusi BMW Curved Display yang menggabungkan kluster instrumen 12.3 inci dan unit infotainmen skrin sentuh 14.9 inci, yang dikuasakan sistem operasi (OS) BMW Operating System 8.5.
Kemasan dalaman menggunakan upholsteri kulit Merino BMW Individual, gentian karbon, BMW Interaction Bar dan sistem bunyi premium Bowers & Wilkins 655W.
Prestasi Elektrik, Jarak Pemanduan
Dikuasakan motor elektrik pacuan belakang, BMW i5 eDrive40 M Sport Pro menjana output kuasa 250kW (340hp) dan tork 430Nm, dengan pecutan 0 – 100kmj sepantas 6 saat.
Bateri voltan tinggi dengan teknologi BMW eDrive generasi kelima memberikan jarak pemanduan antara 513km dan 627km (WLTP).
Dari segi pengecasan, sedan EV itu menyokong pengecasan standard (AC) hingga 22kW (0 – 100 peratus dalam 4 jam 15 minit) dan pengecasan pantas (DC) hingga 205kW, untuk mengecas 10 – 80 peratus sepantas 34 minit.
Harga, Waranti

BMW i5 eDrive40 M Sport Pro Serba Baharu versi CKD itu ditawarkan pada harga RM368,800, atas jalan tanpa insurans, dan dipakejkan lima (5) tahun BMW Service & Repair Inclusive (BSRI) tanpa had perbatuan, enam (6) tahun servis BEV tanpa had perbatuan, dan lapan (8) tahun waranti bateri voltan tinggi.



























