
PROTON hari ini memperkenalkan Saga Serba Baharu kepada media tempatan menerusi sesi pra-tonton eksklusif, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam evolusi jenama automotif kebanggaan Malaysia. Model ini merupakan kenderaan pertama dalam sejarah PROTON yang dibangunkan sepenuhnya oleh tenaga tempatan, merangkumi reka bentuk, kejuruteraan, pengesahan dan sokongan teknikal daripada rakan strategik, Geely.
Saga baharu ini menjadi simbol kematangan kejuruteraan PROTON, yang kini semakin berdikari dalam menerajui pembangunan teknologi automotif moden.
Platform Baharu Advanced Modular Architecture (AMA)
Dibina atas platform baharu Advanced Modular Architecture (AMA), Saga serba baharu menawarkan asas yang fleksibel dan bersedia untuk masa depan, direka untuk memenuhi piawaian antarabangsa dari segi keselamatan, prestasi dan emisi. Seni bina elektronik yang lebih pintar turut membolehkan integrasi teknologi generasi baharu seperti sistem sambungan pintar dan ciri pemanduan separa autonomi.
Dengan pemilikan penuh terhadap hak harta intelek (IPR) platform AMA, PROTON kini mempunyai kelebihan strategik untuk memperluas kerjasama dalam ekosistem Kumpulan Geely, sekaligus berpotensi menjadikan Malaysia sebagai hab kejuruteraan serantau bagi model masa depan.
Tagline Baharu: “Intelligence That Thrills”
Menampilkan 35 ciri baharu, Saga Serba Baharu mengetengahkan keseimbangan antara gaya moden, teknologi pintar, dan pengalaman pemanduan menyeronokkan. Ia membawa aspirasi PROTON untuk mempamerkan kehebatan automotif Malaysia di peringkat global.
“Saga Serba Baharu ini bukan sekadar kesinambungan legasi sedan kami. Ia adalah lambang keupayaan jurutera dan pereka tempatan yang kini berdiri setaraf dengan pengeluar antarabangsa,” jelas Zhang Qiang, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar.
Intipati I.C.O.N. – Gaya dan Teknologi Baharu
I – Impressive Performance
Saga Serba Baharu dikuasakan oleh enjin 1.5L i-GT baharu bersama transmisi CVT, menawarkan pemanduan lancar dan efisien dengan penggunaan bahan api serendah 4.9L/100km (MDC). Sistem stereng kuasa elektrik (EPS) baharu memberikan kawalan lebih responsif tanpa menjejaskan keselesaan.
C – Comprehensive Safety
Model ini dilengkapi sistem ADAS Tahap 1 dengan sembilan fungsi keselamatan pintar seperti AEB, FCW, LDW, LCA dan RCTA. Perlindungan tambahan hadir melalui enam beg udara dan struktur badan PROTON Reinforced Safety Structure (RESS) yang menggunakan komponen Hot Press Forming (HPF), memberikan keteguhan terbaik dalam kelasnya.

O – Optimised Intelligence
Paparan dwi-skrin bersepadu bersaiz 16 inci menggabungkan kluster digital dan infotainmen, kini menyokong Apple CarPlay® dan Android Auto™ tanpa wayar. Ciri kemudahan harian turut dipertingkat dengan lampu utama automatik, fungsi follow-me-home, dan pelarasan aras lampu utama.
N – Next-Gen Style
Reka bentuk luar menyerlah dengan lampu projektor LED penuh, bar lampu belakang LED penuh, dan gril hadapan bermotifkan songket elemen yang menggabungkan warisan tempatan dengan gaya moden. Bahagian dalamannya pula tampil premium dengan rim aloi dua tona 15 inci dan sentuhan material yang lebih berkualiti.
“Model ini dihasilkan oleh rakyat Malaysia, untuk rakyat Malaysia dan kini bersedia untuk mengangkat kejuruteraan negara ke peringkat global,” tambah Zhang.
Pelancaran Rasmi dan Kempen Nasional
Menjelang pelancaran rasminya tidak lama lagi, PROTON bakal melancarkan kempen promosi nasional melibatkan kolaborasi media, kandungan digital dan siaran langsung bagi memperkenalkan kisah di sebalik sedan ikonik yang kini dilahirkan semula.
Untuk maklumat lanjut, layari www.proton.com atau ikuti @protoncarsofficial di semua platform media sosial untuk kemas kini terkini, promosi serta pra-tonton eksklusif.










Leave a Reply