
KONTRAKTOR utama projek LRT3 Shah Alam berdepan denda Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) berjumlah RM474.8 juta setakat 31 Disember 2025 susulan kelewatan penyiapan projek tersebut.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, jumlah itu dikira berdasarkan kadar LAD harian sebanyak RM2.7 juta yang dikenakan kepada kontraktor utama projek berkenaan.
Menurut beliau, kiraan tersebut dibuat bermula selepas tamat tempoh Lanjutan Masa (EOT) No.2 pada 10 Julai 2025, dengan jumlah kelewatan direkodkan sebanyak 174 hari sehingga 31 Disember 2025.
Kontraktor Dimaklumkan Mengenai Penalti
Anthony Loke berkata pihak kontraktor utama sudah dimaklumkan mengenai jumlah LAD yang dikenakan dan memberi jaminan kepada Prasarana Malaysia Berhad untuk menyelesaikan isu berkaitan projek dalam tempoh terdekat.
Beliau menjelaskan perkara itu ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan mengenai jumlah penalti yang dikenakan terhadap kontraktor Setia Utama LRT3 Sdn Bhd kerana tidak menyiapkan projek mengikut jadual.
Kelewatan Libatkan Sistem Semboyan, Ujian Tren
Menurut Anthony, kelewatan projek bukan sahaja berpunca daripada kegagalan pembekal sistem semboyan iaitu Siemens menyediakan perisian mengikut jadual, tetapi turut melibatkan beberapa faktor teknikal lain.
Antaranya termasuk kelewatan ujian kritikal sistem komunikasi, ujian integrasi sistem (SIT) serta beberapa kegagalan semasa ujian Larian Tanpa Gagal (FFR).
Bagaimanapun, beliau berkata fokus utama ketika ini adalah menyelesaikan baki ujian FFR melibatkan lapan set tren sebelum laluan tersebut boleh beroperasi sepenuhnya.
SUMBER: AstroAwani







