
JENAMA kereta mewah, Porsche sekali lagi mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat prestasi apabila mengeluarkan teaser rasmi untuk sebuah varian baharu 911 yang dijadual diperkenalkan minggu depan.
Menerusi imej teaser yang dikongsikan, model tersebut masih dilitupi kain hitam, namun beberapa petunjuk awal sudah cukup untuk mencetuskan spekulasi bahawa ia mungkin sebuah 911 GT3 Cabriolet.
Bumbung Cabriolet, Vent Bonet Gaya GT3

Daripada siluet yang dipaparkan, jelas kelihatan satu garisan di bahagian atas cermin hadapan yang menyerupai sambungan bumbung boleh buka, sekali gus memberi bayangan bahawa model ini adalah versi drop-top.
Dalam masa sama, bentuk pada bahagian bonet juga seakan menunjukkan kehadiran hood vents gaya GT3, satu elemen yang biasanya dikaitkan dengan model berprestasi tinggi Porsche.
Mungkin Guna Enjin Flat-Six 4.0L 502hp

Jika benar ini adalah GT3 Cabriolet, model tersebut berkemungkinan besar akan menggunakan enjin 4.0-liter flat-six naturally aspirated yang sama seperti GT3 sedia ada.
Unit itu ketika ini menghasilkan sekitar 502hp, selain dijangka terus menawarkan pilihan transmisi manual enam kelajuan, sesuatu yang pasti menggembirakan peminat pemanduan tulen.
Fokus Kepada Pengalaman Pemanduan

Porsche menggambarkan model baharu ini sebagai sebuah kereta yang menawarkan “pure driving pleasure”, selain menyifatkannya sebagai sports car yang sangat menyeronokkan untuk dipandu.
Frasa itu sendiri memberi petunjuk bahawa model ini mungkin memberi penekanan kepada pengalaman pemanduan analog, pengendalian tajam dan hubungan terus antara pemandu dengan jentera.
Pelancaran Rasmi Minggu Depan
Semua persoalan dijangka terjawab pada 14 April, apabila Porsche secara rasmi memperkenalkan model 911 baharu itu pada jam 10 pagi ET menerusi saluran YouTube rasmi jenama berkenaan.
Buat masa ini, peminat hanya mampu meneka sama ada ini benar-benar GT3 Cabriolet atau satu lagi varian istimewa dalam keluarga 911 yang semakin berkembang.
SUMBER: Motor1.com







